Halaman

24 February 2014

Persatuan Kereta Sewa Besut tubuh unit RELA sendiri.


YB Muhamad Pehimi memeriksa perbarisan anggota RELA Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Persatuan Kebajikan, Sukan Pemandu dan Tuan Punya Kereta Sewa Besut , mencatat sejarah apabila berusaha menggalakkan ahlinya menyertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Penubuhan unit RELA berkenaan sebahagian persatuan menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat menyertai agensi keselamatan berkenaan.

Selain pemandu, isteri dan anak-anak mereka turut menganggotai pasukan itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan rakyat boleh hidup dalam keadaan aman dan selesa.

Perasmian pejabat Rela Platun itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof di kawasan stesen kereta Jertih, dekat semalam.

Muhammad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih memuji inisiatif persatuan itu yang peka dan mahu menyumbangkan tenaga sebagai sokongan kepada usaha kerajaan membendung jenayah dalam masyarakat.

Katanya, pada masa ini kes kecurian motosikal dan pecah rumah mencatatkan bilangan yang tinggi dan penyertaan pemandu serta ahli keluarga mereka bertepatan untuk sama-sama melibatkan diri sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

Menurutnya, dengan penyertaan daripada ahli dan keluarga pemandu teksi itu telah menambahkan lagi kekuatan keanggotaan Rela di daerah Besut yang kini mencecah lebih 26,000 orang.

"Menjadi anggota Rela dengan bidang kuasa tertentu akan membolehkan kita merasai dan melihat sendiri suasana yang berlaku dalam masyarakat dan melaporkan sebarang gelagat yang menyalahi undang-undang dan peraturan kepada pihak kuasa," katanya.