Halaman

26 February 2014

RM200,000 atasi masalah hakisan sungai di Payong.

Sabri dan Adnan memerhati tebing yang runtuh.
Oleh: Aminudin Ismail.

MASALAH hakisan tebing Sungai Payong Anak berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Payong Baru, Setiu yang kini menghampiri sebatang jalan akan dapat diatasi apabila Jabatan Pengairan Dan Saliran bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja menghalang hakisan tebing itu daripada terus berlaku tidak lama lagi.

Jurutera Daerah Setiu, Mohamad Adnan Fauzi, berkata pihaknya akan membuat dua pilihan iaitu membuat penyelesaian secara jangka pendek dan jangka panjang.

“Penyelesaian jangka pendek ialah kita akan membuat bagaimana untuk mengelakan tebing sungai ini daripada runtuh dan menghampiri jalan.

Pemandangan hakisan Sungai Payong Anak, Langkap.
“Kalau kita tengok, runtuhan itu sudah hampir dengan jalan, jadi yang itu nanti kita akan membuat penyelesaian jangka pendek iaitu kita akan membina struktur (gabian) bagi menghalang runtuhan itu,” katanya.

Penyelesaian jangka panjang pula, katanya, pihaknya akan cuba perhatikan apakah kaedah paling sesuai untuk dilakukan bagi mengelakan hakisan daripada terus berlaku.

“Kita akan buat satu kertas kerja untuk dihantar kepada kerajaan negeri ataupun persekutuan bagi memohon peruntukan untuk menyelesaikan masalah hakisan sungai itu. Saya rasa kita memerlukan peruntukan sekitar RM500,000,” katanya.

Adnan berkata demikian selepas bersama-sama Adun Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor membuat lawatan ke tempat hakisan itu di Kampung Payong, hari ini.

Sebelum ini, Teganukita melaporkan hakisan Sungai Payong Anak mengalami hakisan yang teruk sehingga satu meter menghampiri sebatang jalan yang menghubungkan Kampung Payong Lama ke jalan utama dan kira-kira 15 meter menghampiri pagar sekolah.

Sementara itu, Dato’ Sabri berkata, beliau berharap supaya JPS dapat mengatasi masalah hakisan sungai itu dengan segera kerana bimbang dalam masa beberapa tahun lagi, ia akan menghakis jalan yang menjadi laluan penduduk Kampung Payong Lama.

“Selain itu, melihat keadaan persekitaran sungai itu yang agak menarik, beliau bercadang akan menjadikan kawasan itu sebagai tempat riadah dan berkelah dengan membina beberapa kemudahan untuk pengunjung,” katanya.