Halaman

21 February 2014

RM4 juta biaya pesakit kronik

Oleh: Aida Abd Rahman

Hampir RM4 juta peruntukan menerusi Tabung Penyakit Kronik sudah dibelanjakan bagi kegunaan pesakit yang memerlukan perhatian segera dan rawatan komprehensif di seluruh Terengganu, sehingga tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehingga kini, tabung yang menyediakan dana keseluruhan berjumlah RM10 juta menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) itu sudah membiayai hampir 2,000 pesakit.

“Tabung berkenaan masih berbaki lebih RM6 juta lagi selepas kita membelanjakan hampir RM4juta sejak ia dilancarkan beberapa tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Dana Perubatan berjumlah RM2.5 juta Kepada Jabatan Kesihatan Negeri terengganu (JKNT), di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusuf dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, pembiayaan menerusi tabung berkenaan, tidak termasuk dengan dana perubatan yang disediakan kerajaan negeri kepada JKNT sejak 2007 yang juga bertujuan meningkatkan pembangunan kesihatan rakyat.

“Dana perubatan sebanyak RM2.5 juta kepada JKNT ini tidak termasuk dalam Tabung penyakit Kronik. Dana ini sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada yang disediakan oleh Kerajaan Pusat ,” katanya.

Sementara itu, Pehimi berkata, ramai rakyat negeri ini tidak menyedari bantuan tambahan yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf kesihatan warganya.

Katanya, tiada negeri lain seumpama Terengganu yang sanggup menyediakan sejumlah peruntukan yang besar saban tahun untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan kesihatan terbaik dengan perkhidmatan yang lebih lancar.

“Ini merupakan tahun kedua dana tambahan untuk perubatan serta kesihatan ini meningkat kepada RM2.5 juta setahun. Sejak 2007 lagi bantuan ini disediakan, sebanyak RM2 juta setahun, sebelum kerajaan bersetuju menambahnya berdasarkan keperluan sektor itu,” katanya.

Untuk rekod, Tabung Penyakit Kronik disediakan sejak 2010 dengan dana keseluruhan RM10 juta sebagai inisiaitif kerajaan negeri bagi meningkatkan kemudahan kesihatan dan menjaga kebajikan rakyat Terengganu khususnya golongan yang miskin dan tidak berkemampuan.

Dana itu memberi manfaat amat besar kepada rakyat yang terbeban dengan kos rawatan yang tinggi serta memerlukan rawatan pakar dengan segera serta lebih komprehensif.

Mereka yang mahu mendapatkan bantuan itu perlu mengisi borang Tabung Penyakit Kronik yang boleh didapati di Pejabat SUK negeri, serta mematuhi syarat disediakan pada borang selain mendapatkan pengesahan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen yang berkenaan.