Halaman

27 February 2014

Terengganu Inc. Labur RM25 Juta Miliki Chicken Cottage

Oleh: Fauzi Mohd

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), anak syarikat milik Kerajaan Terengganu membuat pelaburan bernilai RM25 juta bagi mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam Chicken Cottage, iaitu rangkaian restoran makanan segera terkemuka berpangkalan di United Kingdom (UK).
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, pengambilalihan itu merupakan pelaburan negeri dalam industri makanan halal selain menjana pendapatan negeri untuk masa depan.

“Ini kerana Chicken Cottage adalah satu nama yang agak besar dalam industri restoran makanan segera dengan mempunyai 151 francais di United Kingdom serta di Pakistan, Algeria, Perancis, Dubai, Slovakia, Afrika Selatan, Libya, Sweden, Itali dan Iraq.

"Pelaburan ini dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang di serata dunia berdasarkan kepada kejayaannya di United Kingdom dan permintaan tinggi daripada bakal franchisee terutamanya dari India dan Australia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pengambilalihan Chicken Cottage oleh TI Global Food Holding Ltd di Hotel Hilton Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Mohd. Zubir Embong; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dato' Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Global Food Brands Inc., Dato' Mohamed Shaheen Mohd Sidek.

Chicken Cottage turut dimiliki oleh Global Food Brands dengan pegangan saham sebanyak 30 peratus.

Ahmad berkata, pengambilalihan itu dijangka menyediakan platform kukuh meraih satu lagi sumber pendapatan stabil kepada Terengganu Inc, sekali gus terus dapat memberikan pulangan berdaya saing kepada pendepositnya.

 “Istimewanya, produk makanan Chicken Cottage adalah produk halal, sekali gus memudahkannya untuk berkembang kerana boleh dinikmati hampir setiap masyarakat dunia tanpa mengira kaum atau agama.

"Selain membuka cawangan di Malaysia khususnya Terengganu, produk itu akan dikembangkan ke pasaran China dan negara-negara Timur Tengah," katanya.


Beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu juga sebahagian daripada strategi syarikat seperti terkandung dalam Pelan Strategik TISB 2014 hingga 2018.

Menerusi pelan lima tahun itu, syarikat mengunjurkan memperoleh nilai aset bersih kepada RM2 bilion selain mengekalkan pendapatan terkumpul sekurang-kurangnya sebanyak RM100 juta menjelang 2018.