Halaman

26 February 2014

Turun padang selami masalah penduduk

Oleh: Noraini Jusoh

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abdul Rahman bersama kira-kira 30 belia turun padang bagi menyelami masalah penduduk di Kampung Baru Pulau Redang dengan bermotosikal sempena lawatan kerja beliau di pulau itu, baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut, YB Bazlan sempat mengunjungi rumah Said Mat Diah, 63, yang menderita lebih setahun kesan penyakit strok.

Sambil menyuarakan rasa terharunya dengan kehadiran wakil rakyat yang datang membawa sumbangan, bapa kepada dua anak yang pernah bekerja sebagai nelayan itu sangat bersyukur kerana masih ada pemimpin yang sudi mengambil berat tentang kesusahan hidupnya.

 Dia amat menghargai sumbangan yang diterima daripada YB Bazlan dan turut mengharapkan bantuan yang pernah dipohon diluluskan segera bagi menampung kos rawatannya.

 “Sebelum ini, pakcik ada memohon bantuan tetapi belum dapat. Pakcik dah lama tidak dapat turun ke laut dan hanya mengharapkan duit yang diberi oleh anak untuk membeli ubat,” ujarnya.

YB Bazlan yang bersimpati dengan nasib dialami Said berjanji memberikan sebuah kerusi roda bagi memudahkan warga emas itu yang selama ini hanya bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

Di kampung sama, YB Bazlan turut mengunjungi rumah pasangan warga emas Mohd Nor Mat Hussien,74, dan Esah Abd Rahman,65.

Mohd Nor berkata, kesungguhan YB Bazlan datang dari jauh untuk menjenguk keluarganya amat dihargainya.

Dalam lawatan sama, YB Bazlan begitu tersentuh melihat kehidupan Asiah Ibrahim,70, yang tinggal bersendirian dan terlantar akibat sakit tua.

Asiah yang lebih empat tahun berkeadaan begitu hanya mampu mengharapkan belas ehsan jiran menghantar makanan bagi meneruskan sisa-sisa hidupnya.