Halaman

19 February 2014

YPU peruntuk RM1 juta untuk skim bantuan pembangunan produk

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperuntukkan RM1 juta untuk skim bantuan pembangunan produk kepada usahawan di negeri ini tahun ini.

Bantuan itu meliputi Skim Bantuan Bar Kod, Pembungkusan dan Pelabelan, Fakta Nutrisi, Brosur dan Papan Tanda Niaga.


Seramai 12 usahawan sudah menerima bantuan itu sebelum ini membabitkan peruntukan sebanyak RM38,200.

Pengerusi Lembaga Pengarah YPU Datuk Sabree Mohd Nor berkata jumlah itu meningkat hampir 100 peratus berbanding RM500,000 yang diperuntukkan kepada 645 usahawan sepanjang tahun lepas.

 "Sehingga 31 Disember lepas, 1,684 produk memperoleh manfaat skim ini yang berjaya melonjakkan jualan usahawan yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Cakna Bersama Usahawan YPU, baru-baru ini.

 Seramai 150 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negeri hadir pada perjumpaan itu yang turut disertai pelbagai agensi kerajaan berkaitan keusahawanan termasuk Mara, SME Corporation dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ia bertujuan mendekatkan usahawan dengan agensi terbabit sebagai pemudah cara untuk mereka meluaskan lagi empayar perniagaan dan mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan pembiayaan, bantuan geran serta kursus dan bengkel kemahiran perniagaan.

Datuk Sabree berkata, YPU juga akan melaksanakan pelan tindakan strategi lima tahun pembangunan keusahawanan di negeri itu dengan memberi fokus kepada lima teras utama termasuk peningkatan akses kepada dana usahawan IKS dan akses kepada kemudahan infrastruktur premis perniagaan.

 "Ia melibatkan peruntukan dana hampir RM137 juta sehingga tahun 2017 untuk meningkatkan pasaran, menambah jaringan komuniti dan budaya keusahawanan untuk memperkasakan kebolehan usahawan Terengganu," katanya.

 

No comments: