Halaman

01 March 2014

Peniaga disaran sertai persatuan

Penjaja dan peniaga kecil di negara ini disaran menyertai persatuan bagi memudahkan penyaluran bantuan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah juga menyangkal dakwaan bahawa peniaga yang menyertai persatuan akan 'dikejar' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 "Ini semua tidak betul...takkanlah LHDN hendak kenakan bayaran itu ini sedangkan perniagaan anda belum di tahap menguntungkan. Saya harap tiada lagi tanggapan negatif seperti ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

 Katanya jika penjaja terbabit mengganggotai persatuan, kerajaan lebih mudah mendapat maklumat mengenai bantuan yang diperlukan selain suara mereka juga diwakili.

Mengenai Terengganu, beliau berkata setakat ini 44,320 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Terengganu.

 Mengulas perkara lain, Ahmad Bashah berkata kementerian dalam usaha meneliti semula kadar Skim Pembiayaan Mikro Tanpa Faedah bagi memastikan skim itu benar-benar memberi manfaat seiring perkembangan semasa.

 "Kementerian meneliti penambahbaikan dari segi nilai pembiayaan agar pinjaman lebih besar dapat diberi berbanding (kadar minimum) RM3,000 ketika ini," katanya.

 Menurut Ahmad Bashah, kementerian menerima 1,220 permohonan daripada penjaja dan peniaga kecil di Terengganu untuk mendapatkan pembiayaan di bawah skim itu.

 Daripada jumlah itu kerajaan meluluskan 937 permohonan membabitkan pembiayaan berjumlah RM4.2 juta, katanya.