Halaman

31 December 2013

32 sekolah perintis Program Tranglish

 Oleh: Suriati Ali

 Terengganu akan memperkenalkan program `Tranglish’ sebagai langkah memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah mulai tahun depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, Encik Ghazali Taib, berkata program itu akan memberi penekanan terhadap aspek komunikasi yang dikesan menjadi kelemahan besar pelajar negeri ini.

 Beliau berkata, sebanyak 32 sekolah menengah di seluruh negeri dipilih sebagai perintis dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar yang mencatat keputusan kurang memberangsangkan dalam subjek bahasa Inggeris dalam peperiksaan awam.

 "Untuk permulaan kita pilih sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan fokusnya adalah kawasan luar bandar atau pedalaman kerana pencapaian mereka agak rendah berbanding sekolah bandar.

"Selain itu pemilihan juga dibuat bagi sekolah yang ramai murid bagi memastikan pelaksanaannya lebih meluas,"katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 1,033 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan awam di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

 Turut hadir, Pengarah YT, Encik Azmi Razik. Encik Ghazali berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM3.3 juta bagi pengisian program berkenaan dan semua pengetua, penolong kanan serta guru bidang di sekolah perintis sudah diberi penerangan serta latihan berkaitan.

 "Kita harap projek ini akan berjaya dan sekali gus mewujudkan budaya komunikasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru sekolah.

 "Bagaimanapun matlamat jangka panjang kita sebenarnya adalah untuk melahirkan mahasiswa yang dapat menguasai bahasa Inggeris dan apabila keluar nanti dapat memenuhi kehendak pasaran kerja yang amat mementingkan kemahiran bahasa ekdua dunia itu,"katanya.

 Katanya lagi, program itu nanti akan diperluaskan ke peringkat ekolah rendah dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan kerjasama daripada pihak swasta.

 "Kita mahu dalam tempoh 10 tahun lagi semua pelajar Terengganu sekurang-kurangnya dapat berkomunikasi dalam bahas Inggeris mudah bukan saja di sekolah malah di rumah.

 "Kita akan minta kerjasama daripada syarikat korporat atau swasta untuk turut sama membiayai program ini bagi memperluaskannya ke peringkat sekolah rendah pula,"katanya.

 

100 pelajar gunting rambut percuma.


GUNTING...seorang pelajar sedang digunting rambut oleh seorang tukang gunting ketika menyertai program Gunting Rambut Percuma Dun Batu Rakit, di ekan Batu Rakit, baru-baru ini.

Program anjuran Penyelaras Pemuda dan Puteri UMNO Dun Batu Rakit itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh. Turut hadir ialah isteri Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Siti Zaimah Mahmud.


Zakaria (kanan) bersama YB Zul (mengunting).
Menurut jurucakap penganjur program itu, Zakaria Abdul Rahman, seramai kira-kira 100 pelajar dari beberapa kampung di Dun itu terbabit dengan program yang diadakan di dua lokasi itu.

"Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara pelajar dan ibubapa dengan Pemuda dan Puteri UMNO Dun Batu Rakit ini.

Tungu giliran.
"Selain itu, ia juga bagi meringankan sedikit bebanan ibubapa untuk mengunting rambut anak-anak mereka terutamanya yang mempunyai anak lebih seorang," katanya.

Zakaria berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada  semua pihak yang menjayakan rogram itu termasuklah kepada Zulkifly kerana sudi hadir.-Oleh Aminudin Ismail

 

Razak nekad pertahankan rodat

Oleh: Aida Abd Rahman

Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berkaitan kehidupan berasal dari Terengganu serta pernah masyhur sekitar 40-an sehingga 80-an dulu.

Pantun dan sajak yang dilagukan dalam persembahan rodat mempunyai peranan serta pengaruh yang agak signifikan dengan kehidupan bermasyarakat di negeri ini.

Kebimbangan lenyapnya kesenian itu mendorong seorang penggiat rodat, Razak Senik (gambar), 61, atau lebih dikenali sebagai `Pok Jak’ dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu untuk terus mempertahankannya sejak 47 tahun lalu.

“Suatu masa dulu, persembahan rodat ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Terengganu. Ia dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan.

"Tapi sayang, persembahan ini kian lenyap apatah lagi anak muda hari ini sudah tidak lagi mahu menceburinya. Oleh sebab itu juga, saya tidak akan berundur dari lapangan ini kerana bimbang ia terkubur begitu sahaja,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurut Razak, biasanya struktur kumpulan utama rodat yang dipeloporinya terdiri daripada enam hingga lapan orang pengadi (pemukul rebana), 10 pelenggok (penari) dan lima orang mak inang.

Dalam usia yang semakin lanjut, Razak masih kekal membimbing 10 hingga 15 golongan muda dari sekitar kampungnya bagi mempelajari kesenian itu, selain membawa bersama Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang menyertai pelbagai persembahan sama ada dalam dan luar Terengganu.
Razak menyiapkan gendang yang ditempah pelanggan sebagai kerja sampingan di rumahnya di Kampung Surau Panjang
Kumpulan berkenaan juga sudah menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti di Hong Kong, Taiwan dan Singapura.

Razak berkata, seni yang mengetengahkan lagu-lagu yang bersahut-sahutan yang diungkap dalam bahasa Arab yang dipetik dan disalin daripada kitab Hadrah.

Oleh itu, menurutnya sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab.

"Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas.

 “Seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul.

 “Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas,” kata Pok Jak yang bekerja tetap sebagai penjaja keropok.

Katanya, selawat yang dilagukan dalam rodat dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit dan sebaik sahaja lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan `Bismillahi Muala Nab Tadaina’ iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan.

Menurutnya, para pengadi kemudiannya akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok dan seterusnya lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Dalam pada itu, Razak juga tidak menolak kemungkinan kesukaran mengalunkan lagu dan menghafal bait-bait lirik dalam persembahan rodat juga menyebabkan ramai anak muda menolak untuk mewarisi kesenian zaman-berzaman itu pada masa kini.

Menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19 didapati ada pedagang dari Sambas dan Pontianak datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas.

Mereka berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil mempersembahkan rodat dengan diiringi alat muzik yang dipanggil rebana tar sehingga lewat malam.

Penduduk Terengganu kemudiannya tertarik mempelajari persembahan rodat selepas mendengar alunan lagu dalam rodat yang diiringi suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik itu sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor, sekali gus berkembang dalam masyarakat.

Selain itu, kawasan atau kampung yang dipercayai mula-mula diperkenalkan seni rodat di daerah Kuala Terengganu adalah di Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek, sebelum ia berkembang di sekitar daerah Marang dan Hulu Terengganu termasuk di Kampung Surau Panjang, iaitu satu-satunya kawasan yang masih utuh mempertahankan kesenian itu.

 

30 December 2013

Peranan media penting dalam membantu pembangunan negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melihat peranan media massa terutamanya media elektronik dan cetak amat penting dalam membantu pembangunan negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong berkata, pendekatan penyampaian maklumat melalui media massa mampu memberi liputan yang luas dan efektif dalam penyampaian sesuatu maklumat kepada masyarakat.

“Media berperanan sebagai orang tengah untuk menyampaikan maklumat antara kerajaan dengan orang ramai dan begitu juga sebaliknya. Segala maklumat yang disampaikan media akan dikongsi kepada berjuta-juta penduduk dunia.

 “Amatlah penting bagi pengamal media menyampaikan maklumat yang betul dengan hati yang tulus dan ikhlas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Mesra Media Jabatan Penerangan Negeri Terengganu 2013 di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, sumbangan media massa sangat hebat kerana hanya dengan sebatang pena mampu memberi impak yang besar terhadap sesuatu perkara.

“Sebagai pengamal media, segala maklumat yang hendak dikongsi dengan masyarakat harus tepat dan perlu mematuhi etika kewartawanan demi menjaga kewibawaan berita yang dihasilkan,” katanya.

Tambah beliau, sejajar dengan perkembangan teknologi, peranan media kini lebih meluas dan sebarang maklumat juga lebih mudah untuk diperolehi termasuk melalui media baru.

 

Bantuan tahunan RM1.1 juta untuk 436 persatuan belia seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.1 juta kepada 436 persatuan belia di seluruh Terengganu yang aktif dan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sebagai bantuan pengurusan tahunan pada tahun ini.

Daripada peruntukan itu, setiap persatuan termasuk Majlis Belia Negeri Terengganu menerima RM40,000, badan gabungan di peringkat negeri dan majlis belia-belia daerah (RM8,000), badan gabungan peringkat kawasan dan cawangan-cawangan (RM2,000).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, bantuan pengurusan tahunan kepada persatuan yang bernaung di bawah Majlis Belia Negeri Terengganu itu bagi memastikan pengurusan dan kemajuan organisasi belia di peringkat akar umbi dapat bergerak lebih aktif dan memberi manfaat kepada golongan muda.

“Insya-Allah, walaupun kita tidak menjanjikan untuk melaksanakan setiap tahun, tetapi sehingga kini kerajaan negeri tetap komited untuk menyediakan sejumlah peruntukan yang besar kepada setiap persatuan belia yang berdaftar.

 “Di majlis ini, semua 436 persatuan di peringkat termasuk cawangan dan kampung-kampung menerima bantuan dalam usaha kita untuk memastikan gerak kerja dan aktiviti belia lebih lancar,” katanya selepas ajlis Penyampaian bantuan pengurusan Kepada Persatuan-Persatuan Belia Negeri Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.

YB Haji Rozi turut mengingatkan belia seluruh Terengganu bahawa kerajaan negeri sudah banyak menunaikan akujanji yang digariskan pada pilihan raya umum yang lalu kepada golongan muda di negeri ini. 

“Bantuan pada kali ini merupakan bajet pada tahun ini dan pada tahun depan kita akan pastikan persatuan belia dan kepentingan seluruh belia di negeri ini akan terus terbela,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada tahun baru 2014 yang bakal menjelang tidak lama lagi akan menjadi tahun yang mampu membentuk belia yang lebih berdedikasi, berwawasan, berpandangan jauh untuk masa depan negara.

Dalam pada itu, berdasarkan Bajet 2014, kerajaan negeri memperuntukkan RM28.95 juta bagi memperkasakan pembangunan belia Terengganu pada tahun depan termasuk melaksanakan Program Bakti Remaja serta program pembangunan latihan belia untuk kepimpinan, keusahawann dan kemahiran.

 

Pelajar terharu terima hadiah kecemerlangan

Oleh: Suriati Ali 

 “Bersyukur sangat dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghargai kami yang cemerlang dalam peperiksaan utama.

“Sememangnya apa dilaksanakan ini memberi perangsang untuk terus berjaya dan menjadi pendorong kepada pelajar lain supaya turut cemerlang,” kata Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Nor Wahida Mohd, 16 .

 Adik Nor Wahida antara1,033 pelajar dalam Parlimen Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Nerus yang hadir bagi menerima hadiah kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STAM 2012 pada Majlis Penganugerahan Yayasan Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

 Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Simpan Rawai, Muhammad Amir Hassan Mohd Syukri, 13, berkata semua peralatan dan pakaian sekolah sudah beli, jadi duit yang dapat itu akan disimpan.

“Saya tidak mahu membazir dan akan belanja duit itu apabila perlu saja untuk beli barangan berfaedah,” katanya

 Pelajar lain Foong Siau Qi, 13, berkata pemberian hadiah RM120 kerana dapat 5A dalam UPSR cukup bermakna dan saya akan ingat sampai bila-bila.

 “Saya juga terharu kerana kejayaan bukan saja diharagai ibu bapa dan ia turut dihargai kerajaan negeri,” katanya.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata , kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh kerana menyedari bahawa pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu- satunya wadah bagi melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

 Katanya, modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

 ”Di bahu merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama,” katanya

 

Seramai 5.4 juta pelajar dapat bantuan persediaan


Dato' Seri Idris Jusoh...bantu pelajar

Oleh: Mohammad Ishak

ISU kenaikan kos sara hidup yang dibangkitkan pembangkang sehingga mencetuskan kebangkitan pihak tertentu mengadakan perhimpunan untuk mengulingkan kerajaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur, esok tidak sepatutnya berlaku.

Walau apa cara sekali pun bantahan yang bakal dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, kerajaan sebenarnya amat prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan miskin.

Bagi membantu meringankan beban hidup rakyat kerajaan sama ada peringkat negeri dan pusat mengadakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif sebagai imbangan kepada kenaikan kos sara hidup yang bakal dihadapi rakyat.

Sebagai contoh, Kerajaan Terengganu dalam usaha meringankan beban ibu bapa menghadapi pembiayaan sekolah kini sedang mengagihkan bantuan persekolahan kepada mereka yang layak untuk menerimanya.

Di peringkat Persekutuan pula, Kementerian Pendidikan akan mengagihkan bantuan serupa pada 15 Januari depan kepada pelajar terbabit.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris, berkata menerusi agihan itu kerajaan memperuntukkan RM540 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.4 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Katanya, kementerian akan menyalurkan bantuan berkenaan ke akaun sekolah bermula 15 Januari 2014. Oleh itu, tidak timbul masalah ibu bapa untuk membiayai persekolahan anak-anak kerana bantuan berkenaan adalah sebahagian kesediaan kerajaan untuk membantu rakyat.

Bagi rakyat Terengganu ia sememangnya beruntung kerana akan mendapat dua bantuan dalam tempoh sama dan setiap ibu bapa akan mendapat antara RM100 hingga RM300 sebagai bantuan pendidikan.

Selain bantuan pendidikan, golongan remaja negeri ini juga sedang menikmati agihan dana bakti remaja yang sedang berjalan di seluruh negeri.

Malah menjelang Februari tahun depan Kerajaan Pusat sekali lagi meneruskan program bantuan BRIM kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Bantuan bagi pelbagai kategori termasuk individu, keluarga, remaja dan warga emas akan memnerima antara RM300 hingga RM650 mengikut kumpulan diharap dapat membantu rakyat membelanja secara berhemah bagi mengimbangi kos sara hidup.

Tarif elektrik: Kebanyakan penduduk tidak terbabit - Zulkifly.

Che Zulkifly..ada tidak perlu bayar.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Hampir semua penduduk di daerah ini tidak terbabit dengan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifly Jusoh.

Beliau berkata, kenaikan tarif elektrik itu sebenarnya hanya membabitkan golongan di atas manakala penduduk di daerah Setiu ini kebanyakanya tidak terbabit langsung dengan kenaikan tarif itu.

“Kita di kampung ini, contohnya sekiranya kita mengunakan elektrik RM20 dan ke bawah sebulan kita tidak akan dikenakan sebarang bayaran. Saya rasa ramai penduduk yang mengunakan elektrik RM20 atau kurang di daerah ini.

“Di Malaysia kira-kira 1 juta penduduk mengunakan elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah sebulan manakala mereka yang mengunakan elektrik RM77 dan ke bawah tidak terbabit dengan kenaikan itu.

"Saya rasa tidak ramai penduduk di daerah ini mengunakan elektrik lebih RM77 melainkan mereka mengunakan peralatan elektrik yang banyak di rumah," katanya dalam ucapan merasmikan satu majlis di Penarik, baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurutnya kenaikan harga minyak tidak lama dulu juga adalah kerana mengikut harga semasa dunia dan kenaikan itu kerajaan balas dengan kenaikan BR1M.

“BR1M ini ada kerajaan bagi RM650 dan ditambah RM50 untuk insuran. Kalau kita mengalami kecacatan dan sebagainya kita boleh tuntut sehingga RM30 ribu. Inilah yang dikatakan kerajaan ambil sedikit daripada kita tetapi dia beri banyak kebaikan kepada kita,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifly mengingatkan penduduk Setiu supaya lihat, dengar dan berfikir dan jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.


29 December 2013

Lagi bantah 'Himpunan Guling Kerajaan'.

BANTAH..seramai kira-kira 50 penduduk Batu Rakit, Kuala Terengganu yang terdiri daripada ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penyelaras UMNO Dun, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO bergambar selepas hadir membuat laporan Polis membantah cadangan pihak tertentu mahu mengadakan  Himpunan Guling Kerajaan pada 31hb Disember ini.

Zainal (kiri) bersama membuat laporan Polis.
Wakilnya, Zainal Awang Ngah berkata, sebanyak tiga laporan Polis dibuat, petang tadi, bertujuan supaya kerajaan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang bercadang untuk mengadakan Himpunan Guling Kerajaan itu.

"Rakyat Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan kita hendaklah akur dengan keputusan pilihanraya. Kita tidak boleh buat sesuatu dengan sesuka hati kerana kita ada undang-undang dan peraturan.

"Kami amat tidak bersetuju dengan tindakan mengadakan himpunan haram itu kerana ia bukan budaya kita dan kami semua yang hadir hari ini mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mahu menganggu-gugat keamanan negara ini," katanya.
Semangat..pemuda bersama-sama membantah.

Sehubungan itu, Zainal meminta kepada mana-mana penduduk Batu Rakit termasuklah tinggal di Kuala Lumpur supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia boleh menganggu keamanan negara.-oleh: Aminudin Ismail.

 

Pegawai Daerah pelajari kaedah pembangunan sukan di Myanmar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menghantar semua Pegawai Daerah (DO) menyertai lawatan ke Sukan SEA Myanmar 2013 bagi mempelajari kaedah pembangunan sukan yang berjaya dibangunkan di negara miskin berkenaan, untuk kemajuan bidang itu di setiap daerah seluruh Terengganu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin, berkata lawatan bermula 17 hingga 22 Disember lalu  yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat bukan semata-mata memberi sokongan moral terhadap perjuangan atlet negeri khasnya serta atlet negara amnya di temasya itu, tetapi juga mencari pendedahan dan mengutip pengalaman berguna untuk diaplikasikan di Terengganu.

“Rombongan mengadakan lawatan kerja dan pemantauan supaya belajar dari Myanmar, sebuah negara yang serba kekurangan dan bukan kuasa utama di kalangan negara Asia Tenggara di bidang sukan, namun berjaya memperlihatkan kekuatan serta pencapaian mendadak dalam pencapaian atlet mereka.

“Walaupun tidak mempunyai infrastruktur sukan yang baik, kemampuan atlet Myanmar ini diihat sebagai satu faktor yang mendorong MSNT bersama pegawai sukan serta DO terbabit berusaha mengenal pasti faktor kejayaan itu selain menambah elemen dan impak baru bagi emmbangunkan sukan di setiap daerah yang kini agak malap,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Tambah Haji Zainal lagi, pendedahan dari lawatan itu diharap dapat memajukan semula dan menambahbaik setiap lapangan acara sukan yang dipelopori di setiap daerah seperti acara tinju dan muay Thai (Besut), pentaque (Dungun), berkuda (Setiu) serta kanu (Marang).

Katanya, peserta juga dapat mempelajari sistem persatuan sukan dan kelab yang membangunkan sukan secara sukarelawan sebenar di Myanmar berbanding negara kita yang bersifat pergantungan kepada kerajaan.

“Imej Myanmar secara realiti dan kemudahan asas sukan direkacipta menggunakan bajet yang rendah dan penyediaan kendiri para atlet ditumpukan kepada kesedaran tanggungjawab serta bukan `materialistik’ merupakan subjek yang boleh dikaji atau diambil sebagai contoh kepada pembangunan atlet Terengganu di masa depan.

 “Hasil lawatan itu diharap akan dapat meningkatkan mutu sukan negeri sekali gus menjadi medan terbaik bagi memungut informasi sukan,” katanya.

Menurutnya, lawatan itu juga berupaya menjalin hubungan dua hala antara Myanmar dan Malaysia, khususnya Negeri Terengganu di bidang sukan terutama dari segi Pengurusan Sukan Berprestasi Tinggi selain menimba pengalaman baru dalam aspek penyediaan program pembangunan sukan yang berkesan.