Halaman

24 October 2012

JPNT jelajah setiap daerah anjur Program Penerangan Bajet 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Program Penerangan Bajet 2013 kepada kumpulan sasar di seluruh Terengganu bermula Oktober hingga Disember ini.

Program penerangan yang pertama berlangsung di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu, semalam (23 Oktober), disusuli tujuh program yang sama di setiap daerah pada setiap minggu yang dijangka selesai sebelum 2013.

Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar, berkata pihaknya bertindak sebagai penyelaras kepada program penerangan bajet yang memfokuskan kepada kumpulan sasar seperti belia, petani, nelayan dan golongan usahawan.

“Setiap kumpulan sasar berkenaan akan diberi penerangan oleh pegawai dari agensi dan jabatan yang berkaitan mengikut skop bajet yang akan diperbincangkan.

“Kita menjangkakan setiap program penerangan itu bakal dihadiri antara 200 hingga 300 peserta mengikut kumpulan sasar yang kita tetapkan ,” katanya kepada media selepas program Luncheon Talk anjuran JPNT, di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail merangkap penyampai penerangan Bajet 2013 dan Setiausaha Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Haji Samiun Salleh.

Seramai 80 peserta di kalangan pegawai perhubungan awam dari agensi dan jabatan kerajaan serta penghulu-penghulu mukim sekitar Kuala Terengganu turut hadir di majlis itu.

Encik Iskandar berkata, pihaknya berharap dengan penerangan yang disampaikan Haji Wan Nawawi dapat memberi gambaran tepat dan jelas kepada setiap peserta supaya mereka dapat mengambil peranan memberi penerangan di peringkat agensi dan kawasan masing-masing.

“Kita mahu setiap rakyat negeri ini khususnya kumpulan sasar berkenaan mendapat input berguna daripada Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 28 September lalu sebelum belanjawan itu diimplementasikan bermula tahun depan.

Katanya, program terdekat akan diadakan minggu depan, pada 28 Oktober ini di daerah Besut.

 

Tarik balik status sekolah elit jika gagal tunjuk prestasi

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri mengkaji akan menarik balik status sekolah elit dan sekolah premier yang diberikan kepada sekolah menengah bantuan kerajaan di negeri ini jika gagal menunjukkan kecermerlangan dalam bidang akademik.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Haji Abdul Razif Abdul Rahman berkata, sebagai sebagai sebuah sekolah yang mendapat gelaran elit dan premiar perlulah menunjukkan kecemerlangan yang berterusan bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Menurut beliau, tiada gunanya sekolah terbabit dikekalkan dengan status berkenaan , tetapi gagal menunjukkan kecemerlangan yang berterusan sebagai penanda aras sekolah terbaik itu.

``Oleh kerana itu kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur kepada sekolah yang tidak menunjukkan prestasi sejajar dengan status sekolah terbaik ditarik balik atau diturunkan gred sekolah ,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keterbilangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di Permai Hotel Kuala Terengganu. Hadir sama Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Zakaria Hussin.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana ada sekolah-sekolah yang mendapat status berkenaan didapati kurang menunjukkan tahap kecemerlangan yang ditetapkan. Pada masa ini terdapat 16 buah sekolah menengah di Terengganu diberi taraf sekolah elit dan premier sehingga kini kerana kecemerlangan dalam pelbagai bidang terutama akademik.

Sehubungan dengan itu , beliau berharap sekolah-sekolah yang mendapat pengiktirafan itu terus mengekalkan kecemerlangan dan peningkatan dari masa ke semasa bagi membolehkan pelbagai kemudahan dapat disalurkan setaraf dengan status yang diberikan.

Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan guru-guru untuk melahirkan pelajar cemerlang dan terbilang di negeri ini.

‘’Kejayaan Terengganu yang mengekalkan negeri terbaik dalam peperiksaan awam di negara ini membuktikan guru-guru sentiasa berusaha gigih untuk menaikkan imej dan mengharumkan nama negeri dalam kecemerlangan pendidikan,’’ katanya.

Menurutnya, sebagai penghargaan kerajaan negeri akan menghantar 120 lagi pengetua dan guru besar untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Australia sebelum akhir tahun ini.

Di majlis itu Dato’ Haji Ahmad Razif turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 ribu melalui program kecemerlangan, PMR, SPM dan STPM pada tahun ini.

Katanya, peruntukan itu merupakan bantuan tambahan yang diberikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk program kecemerlangan pendidikan berjumlah RM11.2 juta pada tahun ini. 

 Program Keterbilangan SPM dan STPM 2012  yang disertai 176 pelajar adalah program khusus bagi pelajar-pelajar yang memperolehi semua A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini.

 

Kerja keras jika mahu Manir menang

 Oleh: Suriati Ali 

Semua jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir diminta menggandakan usaha dan benar-benar kerja keras supaya DUN itu kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam turut meminta golongan itu supaya jangan leka dan bersifat was-was jika mahu Manir menang.

 “Sudah lebih 26 tahun atau lima penggal kerusi DUN Manir dimenangi Pas, kita sebagai jentera parti patut malu dengan keadaan yang tidak berubah-ubah ini.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menanam jati diri yang kuat dan ikhlas bekerja bagi memastikan perjuangan dan hala tuju sebenar DUN Manir dapat tercapai, selain setiap perjuangan dalam parti memberi pulangan yang positif,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong.

Kira-kira 200 orang jentera parti daripada 26 cawangan dalam DUN Manir hadir pada program itu. Encik Yusof, berkata apa yang dilaksanakan ini untuk kepentingan semua terutama penduduk di DUN Manir.

“Saya mengetahui mereka sudah jemu dengan sandiwara wakil rakyat PAS yang gagal berkhidmat untuk memajukan kawasan itu, termasuk sewaktu Pas memerintah.

“Kalau nak kira kecil hati, memang kita berkecil hati kerana sudah lama kita kalah di kawasan ini, tetapi BN terus melakukan pelbagai program untuk membantu rakyat,” katanya.

Haji Shamsuddin berkata, Umno dan BN menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat seluruh negeri, termasuk di bidang pendidikan dan agama.

 “Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu menukar kerajaan. Kini menjadi tugas besar jentera Umno untuk menjelaskan segala kekeliruan di kalangan rakyat supaya mereka menyokong Kerajaan BN pada PRU 13,” katanya.

 

23 October 2012

MB janji ganjaran wang tunai buat atlet hoki

Oleh: Aida Abd Rahman


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berjanji akan memberi ganjaran dalam bentuk wang tunai kepada atlet hoki Terengganu selepas kejayaan melakar kejuaraan di pentas final, Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, malam tadi.

 “Insya-Allah kita akan beri hadiah dalam bentuk kewangan yang akan kita umumkan esok. Kita akan bawa (perkara itu) dalam mesyuarat exco dan esok kita bersedia mengumumkan berapakah jumlahnya (ganjaran).

“Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, Kerajaan Terengganu bersedia mengiktiraf kecemerlangan anak Terengganu dalam apa jua bidang,” katanya ketika sidang media selepas Karnival pendidikan Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

 Menteri Besar ternyata gembira dengan prestasi dan kesungguhan pemain muda hoki negeri yang berjaya menempah tiket ke final sekali gus membenam pasukan tuan rumah dengan jaringan tiga tanpa balas.

Katanya, kerajaan negeri berjanji untuk memberi hadiah setimpal dengan keringat dan usaha yang dipamerkan atlet berkenaan sehingga mendapat kejuaraan buat pertama kali sejak kejohanan itu dipertandingkan 50 tahun lalu.

Teganukita sebelum ini melaporkan, Terengganu mencipta sejarah apabila membenam pasukan Pahang 3-0 pada aksi final Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota Pahang, malam tadi.

 Kemenangan penuh bermakna itu menamatkan penantian Terengganu selama 50 tahun untuk menjulang piala berprestij itu.

 Sultan Pahang yang turut berangkat untuk menyaksikan pertandingan itu berkenan menyampaikan piala dan medal kepada pemenang-pemenang tersebut.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Hj Rozi Mamat turut hadir bagi memberi semangat dan sokongan moral kepada pemain Terengganu.

 

17 peserta ETA ditempatkan di Terengganu

Oleh:Noraini Jusoh 

Seramai 17 orang daripada 50 peserta program Fulbright English Teaching Assistants (ETAs) dari Amerika Syarikat, ditempatkan di Terengganu sejak awal Januari lalu, kata Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Haji Tun Ahmad Faisal  dan Pengarah Pelajaran Negeri, Zakaria Husin beramah mesra dengan guru-guru English Teaching  Asistant di majlis perpisahan guru-guru ETA di Pulau Duyong.
“Sepanjang sepuluh bulan berada di negeri ini, seramai 14 orang pembantu guru Bahasa Inggeris (ETA) ditempatkan di sekolah menengah manakala tiga orang lagi ditempatkan di sekolah rendah.

“Selain Terengganu, 33 orang lagi pembantu guru Bahasa Inggeris (ETA) ditempatkan di Pahang dan Johor,” ujarnya ketika sidang media berlangsung di Majlis Perasmian Pameran Foto Sempena 50 tahun Program Peace Corps Di Malaysia, hari ini.

Katanya, program ETAs yang mula diperkenalkan di negeri ini sejak tahun 2006 telah mula menunjukkan hasil apabila ramai pelajar boleh menguasai bahasa antarabangsa itu.

“Dengan bantuan ETA yang fokus kepada pengajaran Bahasa Inggeris, sedikit sebanyak telah membantu pelajar kita cemerlang dalam peperiksaaan awam setiap tahun.

“Selain dapat berkongsi pengalaman antara ETA dan pelajar, program kerjasama antara Amerika Syarikat dan negara kita ini dapat memperkenalkan budaya, makanan dan adat resam Terengganu di mata dunia,” ujarnya.


Penjawat awam,swasta perlu ada semangat keusahawanan

Datuk Dr Maznah
Oleh; Esah Abdullah

Mereka yang bekerja dengan kerajaan, sektor korporat dan swasta sepatutnya menjadikan diri mereka sebagai usahawan di dalam syarikat mereka bekerja.

Pakar Motivator (Iron Lady) Datuk Dr Maznah Hamid berkata, apabila mereka memiliki ciri-ciri usahawan, mereka akan sentiasa bersemangat dan bertenaga untuk membangunkan jabatan, syarikat atau organisasi mereka.

“Tanpa kepintaran, kemahiran dan pengaktifan urat saraf, jadilah mereka golongan yang tidak dinamik, tidak progresif dan kurang maju,” katanya di Program Luncheon Talk bersama Datuk Dr. Maznah Hamid di Hotel Permai Kuala Terengganu hari ini.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik; Timbalan Pengerusi Gabem, Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid dan kira-kira 200 orang usahawan kecil dan sederhana.

Katanya, semangat keusahawanan adalah satu semangat yang wajib ada pada setiap orang yang inginkan kecemerlangan kerana ia menjadikan individu itu seorang yang dinamik lebih produktif, kreatif, aktif dan bertanggungjawab.

 “Dunia ini berlegar dan berfungsi melalui aktiviti ekonomi dan segalanya melibatkan proses jual beli justeru itu setiap dari kita ‘menjual diri’ melalui imej diri,bakat, idea, kemahiran dan kepintaran yang dimiliki di atas kepentingan menyuntik semangat keusahawanan di jiwa yang inginkan kehidupan terjamin,” katanya.

“Semangat keusahawanan adalah semangat yang memberi satu kekebalan pada diri seseorang itu dalam mengharungi apa juga cabaran hidup,” katanya.

Tambahnya, tiada wujud perbezaan antara semua usahawan dengan usahawan yang lain cuma ada jurang yang memisahkan iaitu semangat kegigihan yang memberikan daya ketahanan, kekuatan dalaman, mental, emosi dan kekebalan diri untuk terus berjuang dalam bidang perniagaan.

 

Sultan Mizan berkenan rasmi Majlis Khatam Program Pintar al-Quran

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan sijil kepada seorang peserta pada majlis khatan program pintar Al-quran 2012 kanak-kanak tadika Negeri Terengganu di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Majlis Khatam Program Pintar al-Quran 2012 di Stadium Tertutup, Komplek Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.


Seramai, 9,639 kanak-kanak tadika berusia 5 dan 6 tahun menyertai program yang diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak 2006.

 Bilangan itu melibatkan kanak –kanak daripada empat gabungan tadika iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

 Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

 Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

 “Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak.

 “Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya.

 Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

 “Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya.

 “Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya

 

Sikap cintai al-Quran perlu dipupuk sejak kecil

Sebahagian murid-murid sekolah tadika seluruh negeri Terengganu khatam al-Quran di program pintar al-Quran kanak-kanak tadika Negeri Terengganu 2012 di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kesedaran menarik minat kanak-kanak supaya mencintai al-Quran dan pembelajaran secara berterusan mampu melahirkan generasi celik al-Quran .

Baginda bertitah, tradisi membaca al-Quran perlu dipertingkatkan lagi kepada kebolehan menghafaz di samping bimbingan ke arah mendalami isi-isi al-Quran.

“Kaedah pembelajaran yang lebih bersusun, sistematik dan penggunaan teknologi moden memberi kelebihan dalam sistem pendidikan kanak-kanak masa kini.

“Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat dan petunjuk sepanjang zaman,” titah baginda pada Majlis Khatam Program Pintar al-Quran 2012 di Stadium Tertutup, Komplek Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Seramai, 9,639 kanak-kanak tadika berusia 5 dan 6 tahun menyertai program yang diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak 2006.

Titah baginda, untuk mencapai kejayaan ke tahap ini bukanlah suatu perkara yang mudah. “Majlis Khatam al-Quran yang diadakan secara beramai-ramai ini telah menjadi trend baru dalam melahirkan anak-anak berilmu.

 “Sesungguhnya beta amat gembira mengikuti perkembangan penguasaan al-Quran di kalangan kanak-kanak tadika yang diterajui oleh Yayasan Islam Terengganu.

 “Kanak-kanak tadika bukan sahaja berjaya khatam Al-Quran pada usia 5 dan 6 tahun, bahkan juga telah berjaya menghafaz Surah Yasin dan terjemahan sepenuhnya dengan begitu baik sekali,” katanya.

 Sultan Mizan bertitah, kebolehan menghafaz Surah Yasin dan mengingati terjemahannya sungguh mengkagumkan.

Beta percaya jika kanak-kanak ini diasuh dan dibimbing secara berterusan, maka akan lahirlah suatu masa nanti generasi Ulul Albab yang diimpikan selama ini.

“Beta percaya dan berkeyakinan penekanan Budaya Cakna dan Celik Al-Quran akan dapat melahirkan ummah berketerampilan, berketahanan dan mempunyai jati diri.

 “Nasihat beta kepada ibu bapa, jangan abaikan pendidikan Al-Quran kepada anak-anak kita,” katanya. Titah baginga lagi, tugas mendidik anak-anak adalah tanggungjawab bersama yang mesti dilaksanakan dengan tidak melepaskan bebanan ini kepada guru semata-mata.

“Ibu bapa mestilah menanganinya dengan penuh tanggungjawab ke arah pembentukan peribadi mulia dengan merangsang minda kanak-kanak melalui aktiviti yang telah dimulakan oleh para guru.

 “Asas yang telah disemai oleh guru-guru perlu dipupuk dan disuburkan lagi oleh ibu bapa agar kanak-kanak ini terus mekar membudaya tradisi membaca dalam kehidupannya,” titah baginda.

Baginda bertitah, kita mesti memperuntukkan ruang masa untuk membaca Al-Quran setiap hari dan amalan ini hendaklah dilakukan secara istiqomah.

“Sebagaimana kita maklum Al-Quran itu luas ilmunya dan banyak mukjizatnya. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang belajar dan mengajar Al-Quran,” katanya.

 

Usahawan perlu anjakan minda

Dato' Mohamad Awang Tera
Oleh; Esah Abdullah

Usahawan di negeri ini disaran ubah ‘mindset’ masing-masing dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya perlu membina kekuatan sendiri untuk mencipta kejayaan.

Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamad Awang Tera berkata, pemberian kerajaan ada hadnya, selebihnya berusaha sendiri untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Untuk berjaya perlu ada kreativiti, ada motivasi dan ada inovasi ,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Luncheon Talk bersama Motivator ‘Iron Lady’ Datuk Dr. Maznah Hamid di Hotel Permai Kuala Terengganu hari ini.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik; Timbalan Pengerusi Gabem, Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid dan motivator jemputan Datuk Dr. Maznah Hamid.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi peluang, pendedahan dan pengalaman kepada usahawan di negeri ini agar dapat membina jalinan perniagaan masing-masing hingga ke peringkat global.

Tambahnya, tidak ada yang mustahil jika seseorang itu gigih berusaha untuk memajukan diri serta sedia bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

Katanya, terdapat 24,000 usahawan berdaftar di negeri ini dan mereka perlu berusaha memperkenalkan produk serta menjual nama syarikat dan diri kepada semua orang di dalam atau di luar negeri.

“Saya harap 90 peratus usahawan yang berdaftar itu dapat mengikut jejak langkah Datuk Dr Maznah yang kini berjaya mewujudkan rangkaian niaga hingga ke luar negara,” katanya.

 

Veteran UMNO masih berpengaruh

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Walaupun bertongkat,ada yang berpimpin tangan namun itu semua tidak melemahkan semangat golongan veteran UMNO untuk hadir menunaikan kewajipan sebagai ahli parti di Persidangan Agung Majlis Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu Tahun 2012, baru-baru ini.

Berbekalkan semangat jati diri menentang pengkhianat agama ,bangsa dan negara hampir 150 veteran berjaya menghadirkan diri walaupun ada di antaranya sudah uzur kerana terlalu sayangkan parti, mereka tetap hadir untuk mendengar amanat yang disampaikan untuk menghadapi PRU13.

Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Yahya Hashim, berkata golongan veteran boleh membantu memenangkan parti melalui pengaruh mereka dalam keluarga dan masyarakat.

“Walaupun kita semua kekurangan dari segi tenaga tetapi semua orang kena ingat bahawa veteran masih mempunyai pengaruh yang kuat.

“Dengan pengaruh ini kita boleh menarik undi di kalangan anak cucu kita dan masyarakat sekitar melalui cerita perjuangan sebenar UMNO menentang penjajah dan bagaimana perjuangan untuk dapatkan kemerdekaan.

“Mungkin ada yang tidak tahu sejarah sebenar UMNO kerana di pengaruhi oleh anasir-anasir luar, jadi peranan veteranlah yang harus menyedarkan mereka supaya tidak terperangkap dengan pengkhianat parti.

“Sebagai ahli veteran,saya harap setiap orang akan memberi sumbangan dalam apa jua bentuk untuk pertahankan kerajaaan Barisan Nasional dalam PRU13 nanti,” katanya.

Persidangan kali ini di rasmikan oleh YBM Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu. Ia turut dihadiri Setiausaha UMNO Bahagian dan beberapa orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Terengganu.