Halaman

27 January 2012

PM gempur DUN Rhu Rendang, Ladang dan Batu Buruk

Selepas menggempur dan memberi tonik semangat kepada jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Manir, pertengahan tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, bakal menggempur pula tiga DUN lain yang dikuasai pembangkang.

Tiga DUN berkenaan ialah Rhu Rendang, Batu Buruk dan Ladang, yang akan digempur sempena Program Turung Padang beliau ke Terengganu pada 3 Februari depan, bagi memastikan semua kawasan DUN yang dimenangi pembangkang ditawan semula BN pada pilihan raya umum akan datang.

Kunjungan pemimpin nombor satu negara ke tiga DUN berkenaan kini ditunggu-tunggu oleh pekerja parti BN dan seluruh penduduk di kawasan tersebut.

Mereka pastinya tidak sabar-sabar mendengar amanat dan pesanan daripada Perdana Menteri, serta janji-janji BN bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini, khususnya di kawasan DUN berkaitan.

Kunjungan Dato’ Seri Najib ke DUN Manir dan Bukit Tunggal sebelum ini mendapat sambutan luar dugaan dan mendapat pujian daripada mulut Perdana Menteri sendiri.

Pastinya perkara yang sama akan berlaku di tiga DUN berkenaan yang kini dikuasai Pas yang kini semakin ditolak oleh pengundi di kawasan tersebut.

Dengan semangat yang berkobar di kalangan pemimpin Umno selepas program Pemukiman di Janda Baik, baru-baru ini, kunjungan Perdana Menteri akan menambah ‘tonik’ kepada mereka untuk bekerja dengan lebih gigih bagi merampas semula ketiga-tiga DUN tersebut daripada Pas.