Halaman

11 May 2013

Dato’ Seri Ahmad Said selesai angkat sumpah MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu istiadat di Istana Maziah, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Suriati Ali 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengangkat sumpah jawatan tersebut bagi penggal yang kedua di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, hari ini.

Beliau dilantik semula menyandang jawatan berkenaan setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) minggu lalu dengan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Menteri Besar bersama barisan Exco.
Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (Barisan Nasional Seberang Takir), Dr Abd Rahman Mokhtar (Kuala Besut) dan Haji Rozi Mamat (Telemong) turut mengangkat sumpah mengekalkan jawatan masing-masing pada majlis yang sama.

Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang menang PRU13 yang lalu turut mengangkat sumpah sebagai Exco.

Mereka ialah Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Encik Nawi Mohd (Hulu Besut), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Encik A.Latif Awang (Pengkalan Berangan), Encik Razali Taib (Ajil), Encik Rosli Daud (Bukit Besi) dan Ir Rosli Othman (Kemasik).


Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah, para pembesar negeri, Ahli-Ahli Parlimen, Adun-Adun Terengganu dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri, hadir sama pada majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dan Exco yang dimulakan kira-kira jam 10 pagi.

Pada pilihan raya lalu BN memenangi 17 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di Terengganu dan kekal memerintah negeri ini dengan majoriti mudah.

Teganukita difahamkan pelantikan portfolio bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

 

No comments: