Halaman

16 June 2013

LMNT anjur seminar undang-undang bagi diri (tubuh) kerajaan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan seminar Satu Abad Undang-Undang Bagi Diri (Tubuh) Kerajaan Terengganu bertempat di Dewan Batu Bersurat, Kompleks Muzium Negeri Terengganu selama dua hari, bermula hari ini.

Penolong Kurator (Perhubungan dan Pemasaran) LMNT, Mohd Saberi Muda berkata, pengajuran seminar berkenaan adalah lanjutan daripada seminar kali pertama yang telah diadakan pada 26 hingga 27 Mei 2012 lalu dan mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Bagi menjayakan program ini, sebanyak 18 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang yang dipilih khusus daripada universiti tempatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

"Antara yang membentangkan kertas kerja ialah pembentang dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Penasihat Undang-Undang Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri serta wakil LMNT sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Saberi berkata, objektif penganjuran seminar terbabit antaranya bertujuan untuk menjelaskan kepada generasi muda akan kesungguhan dan kekuatan Sultan dan Pentadbir mengekang kuasa British di Terengganu pada suatu ketika dahulu bagi menjamin kesenangan dan kesejahteraan generasi baru.

"Ia juga untuk memberi gambaran betapa jauhnya pandangan Sultan dan Pembesar Negeri Terengganu yang dapat menghidu niat buruk kuasa luar terutama Britisih,” ujarnya.

Menurut Mohd Saberi, tujuan utama penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu sebagai langkah untuk membendung kerakusan British campur tangan dalam pentadbiran Negeri Terengganu.