Halaman

16 June 2013

Pembangkang Angkat Sumpah Ikut Skrip

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memuji sikap pembangkang pada kali ini lebih menunjukkan sikap yang profesional dan menghormati Dewan Undangan Negeri yang mulia, berdasarkan pengamatan beliau di majlis angkat sumpah Yang DiPertua Dewan dan Ahli-Ahli Dewan bagi penggal ke 13 pagi tadi.

Menjawab soalan Pengarang Teganukita selepas majlis tersebut, Menteri Besar yakin dan percaya bahawa dengan sikap demikian yang ditujukkan segala urusan persidangan dewan akan berjalan dengan lancar dan jayanya tanpa masalah.

“Pembangkang pada hari pertama ini telah menunjukkan kerjasama yang baik dan saya harap ia berkekalan hingga ke akhir sidang nanti” katanya kepada pihak media keseluruhannya.

Di majlis angkat sumpah sebagai ahli dewan hari ini, kesemua 14 wakil dari Pas dan seorang dari PKR yang diketuai oleh Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut telah mengikut tertib dan peraturan dewan.

Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Adun Rhu Rendang) yang biasa mencetuskan kontroversial bersama-sama wakil Pas pada masa yang lalu yang membuat tambahan kepada skrip angkat sumpah tidak lagi berbuat demikian pada kali ini.

Antara perkara yang sering ditambah ialah perkataan, “mengikut sejauhmana tidak bertentangan dengan Islam” selepas perkataan, akan taat dan patuh kepada perlembagaan negeri Terengganu.


Oleh yang demikian, apabila pada kali ini (penggal ke 13), perkara seumpama ini tidak dilakukan lagi menyebabkan majlis angkat sumpah di hari pertama dewan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Wakil-wakil rakyat dari kalangan kerajaan (Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan), barisan penyokong kerajaan yang diketuai YB Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (Adun Air Putih) dan barisan pembangkang diketuai YB Mohd Abdul Wahid Endut kelihatan begitu mesra dan ‘sporting’.

Selepas majlis angkat sumpah mereka (Ahli-ahli Dewan) mengambil gambar rasmi dan kenangan beramai-ramai, sebelum bersama-sama beredar ke majlis jamuan ringan.

Harap suasana ini member i impak yang positif kepada semua, walaupun kedudukan di dewan kali ini amat bersejarah iaitu 17 (kerajaan dan penyokong) – 15 (pembangkang).

Yang Dipertuan Dewan yang baru dilantik, YB Haji Mohd.Zubir Embong ketika ditemui berkata, beliau akan berusaha untuk mempelajari bagi menjalankan tugas dengan pengendalian dewan yang terbaik.

“Saya akan banyak belajar lagi dan yakin dengan semangat muhibbah, perjalanan sidang Dewan di bawah kendaliannya akan berjalan dengan baik,” tegasnya.

Esok( 17 Jun) ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu akan berangkat merasmikan istiadat pembukaan persidangan pertama Dewan ke 13.