Halaman

19 June 2013

Serikandi adakan kursus protokol dan etika sosial

Oleh: Esah Abdullah 

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) mengadakan Majlis Hi-Tea bersama Yang Dipertua Serikandi dan Kursus Asas Protokol dan Etika Sosial kepada ahli dan isteri wakil-wakil rakyat negeri ini  di Hotel Primula Resort Kuala Terengganu.


Kursus diadakan bersempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula 16 hingga 19 Jun dan isteri wakil-wakil rakyat boleh mendapat ilmu di samping beramah mesra antara ahli baru dan lama.

Yang Dipertuanya, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, kursus yang berlangsung tiga hari berakhir semalam (18 Jun) itu banyak memberi manfaat kepada ahli sama ada yang baru pertama kali menyertainya atau sebaliknya.

“Sesi suaikenal turut diadakan kerana terdapat sembilan orang ahli baru iaitu isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Jabi, Batu Rakit, Langkap, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Ajil dan Parlimen Setiu dan Hulu Terengganu yang merupakan wakil rakyat baru menang pada PRU baru-baru ini.

“Saya harap ahli-ahli mengambil sikap saling menyokong dan sama-sama menyumbang buah fikiran untuk memperbaiki Serikandi ke arah yang lebih maju lagi,” katanya ketika berucap di Majlis Hi-Tea bersama yang Dipertua Serikandi di Puncak Gamelan Hotel Primula Resort, Kuala Terengganu.

Katanya, perjumpaan kali pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 ini antara lain untuk mengeratkan ikatan silatulrahim antara ahli baru dan lama serta berterima kasih kerana telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Adalah lebih baik kita berpakat secara lebih berhemah serta mengukuhkan ikatan kemesraan antara ahli walaupun ada dikalangan kita, suami tidak lagi bergelar wakil rakyat tetapi masih menjadi ahli Serikandi,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza seterusnya mengajak semua isteri wakil rakyat bergiat aktif melaksanakan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada masyarakat serta menyertai program suami masing-masing turun padang untuk merasai denyut nadi rakyat.

 Beliau turut memaklumkan bahawa Serikandi akan menyertai Program tahunan Isteri Wakil-wakil rakyat BN Se Malaysia di Johor Bharu pada Oktober depan dan akan mengambil bahagian dalam pertandingan badminton dan boling.

“Saya meminta semua ahli memberi kerjasama untuk menjayakan program itu serta membantu menaikkan imej Serikandi dengan menyertai latihan dua acara sukan berkenaan bagi memastikan kita mampu menyahut cabaran pasukan lain,” katanya.