Halaman

21 October 2012

Media massa diminta tonjol nilai positif dalam berita

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Golongan wartawan di negeri ini diminta supaya mengolah berita-berita semasa dari sudut positif bagi membantu mengembang minda rakyat dan memberikan imej yang baik kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan neger, YB Haji Kazan Che Mat, berkata pihaknya sedar wartawan mempunyai kepakaran untuk mengolah sesebuah berita sama ada dari sudut positif atau negatif.

“Jika wartawan menonjol sesuatu berita itu dari sudut positf, maka hasil berita menjadi positif dan begitulah sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Mesra Media Pantai Timur, di Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Beliau berkata, wartawan boleh mencorak dan menjurus berita-berita semasa mengikut citarasa mereka, tanpa menjejaskan fakta dan kesahihan berita.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik jika wartawan mengolah berita-berita yang dihasilkan supaya ia menampakkan nila-nilai positif bagi kebaikan semua pihak dan tidak disalahertikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 Haji Kazan juga berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan golongan media dan pada masa yang sama mengharapkan mereka menyiarkan berita-berita positif mengenai kerajaan.

 “Pihak media juga mempunyai tanggungjawab sosial dan tidak hanya mementingkan berita-berita sensasi bagi tujuan komersil,” katanya.

 

Jentera Umno dinasihat usah peteh calon

Oleh: Aida Abd Rahman dan Amirullah Othman

Kemenangan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong bukan disebabkan parti pembangkang itu kuat, tetapi ia berpunca daripada kelemahan sikap ahli Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri yang mengkhianati parti yang mengakibatkan DUN itu jatuh ke tangan pembangkang.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Supritendan Ridzuan Abdul Aziz, berkata pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, Pas menang di Dun Bukit Payong dengan hanya majoriti kecil membuktikan wujudnya unsur pengkhianatan di kalangan ahli Umno yang sanggup mensabotaj parti disebabkan mereka tidak suka kepada calon yang dikemukakan oleh parti.

“Sepatutnya, perkara sebegini tidak timbul jika rasa cinta yang kuat kepada parti dan terus berjuang tanpa mengira siapa calon mewakili Barisan Nasional kerana natijahnya sangat buruk jika kemenangan memihak kepada pembangkang.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada semua pengundi buatlah yang terbaik untuk generasi yang akan datang sebagai kesinambungan supaya mereka dapat menikmati apa yang kita kecapi hari ini,” katanya di majlis Komunikasi Patriotik anjuran unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan DUN, Encik Zaidi Muda dan Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong.

Seramai 200 orang jentera parti daripada 23 cawangan dalam Dun Bukit Payong hadir di program itu.

Superitendan Ridzuan berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap pergerakan jentera parti dalam usaha memastikan tiada anasir tidak sihat berlaku khususnya ketika penamaan calon, kempen dan juga proses pilihan raya.

Katanya, sebarang bentuk provokasi dan salah laku yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah akan mengakibatkan sesiapa sahaja berdepan dengan tindakan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati jentera parti di seluruh Terengganu menunjukkan kerjasama yang sangat baik termasuk Dun Bukit Payong khususnya di kalangan jentera Wanita.


PPAT anjur Pameran Fotografi

Oleh: Suriati Ali 

 Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan menganjurkan Pameran Fotografi sempena 50 tahun Program Peace Corp bertempat di lobi perpustakaan itu, pada 23 Oktober ini.

Pengarah PPAT Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program yang akan dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said diadakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat.

Katanya, gambar-gambar yang akan dipamer bertemakan `An Enduring Bond 50th Anniversary of the Peace Corp in Malaysia: A Photo Exhibition.

“Sebahagian gambar turut menceritakan mengenai sukaralewan Amerika yang datang ke Malaysia untuk bekerja dengan rakan Malaysia dalam bidang pertanian, pendidikan dan teknologi sekitar 1960 an sehingga 1980 an.

“Pada masa sama, kita turut mengadakan pameran berkaitan program English Teaching Assistants (ETA) yang kini hampir tujuh tahun dilaksanakan Terengganu sebelum dipraktikkan negeri lain iaitu Johor dan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pameran seumpama itu cukup bermanfaat kepada masyarakat terutama kepada peminat fotografi.

“Ia bukan saja dapat mengetahui teknik dan pentingnya dunia foto dalam kehidupan harian malah membuktikan kepercayaan negara luar kepada Terengganu khas PPAT untuk menganjurkan program seumpama ini.

“Pihak kami berharap orang ramai mengambil kesempatan untuk bersama-sama hadir pada program yang pertama kali dianjurkan ini.

 

Terengganu muncul juara Karnival Sukan Media-Petronas Pantai Timur 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) selaku tuan rumah Karnival Sukan Media-Petronas Pantai Timur 2012 muncul juara keseluruhan dalam kejohanan sehari yang berlangsung di gelangang sukan Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Hadiah kemenangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mamat di majlis penutup karnival itu, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, Dato' Wan Hisham Wan Salleh;  Pengurus Besar Petronas Wilayah timur, Encik Wan Mohd Hasnan Abdullah, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat; Presiden Kelab Wartawan Pahang, Nik Naizi Husin dan Presiden Kelab Wartawan Kelantan, Anwar Hussin.

Seramai 200 atlet di kalangan pengamal media dari Terengganu, Pahang dan Kelantan serta Petronas berkampung di Kuala Terengganu bagi menjayakan karnival sulung itu.

Daripada empat acara yang melibatkan sembilan kategori yang dipertandingkan, Terengganu mengumpul 830 mata selepas membaham enam emas, empat perak dan satu gangsa.

Naib johan milik pasukan Pahang dengan 470 mata terkumpul, diikuti ketiga, Kelantan (260 mata) dan keempat pasukan Petronas (60 mata).

Emas pertama tuan rumah diperolehi menerusi boling individu yang dimenangi Abd Rahim Daud dari Unit Komunikasi Negeri, diikuti perseorangan ping pong (Jefri Mamat-RTM), ping pong berpasukan, badminton beregu campuran (Rosamiza Omar dan Noor Shamsiah dari Bernama), badminton beregu lelaki (Aziz Abdullah dan Nik Mohd Hazuwal Nik lah) serta badminton berpasukan.

Manakala pingat perak menerusi boling berpasukan, ping ping beregu lelaki (Rizallimi dan Yusof Sabri), ping pong berpasukan, badminton beregu campuran (Arjasneh Ahmad dari Bernama dan Lew I-Ling dari Sin Chew Jit Poh) serta badminton beregu lelaki (Aswadi Alias dan Mazlan Abd Ghani dari NSTP).

Sementara satu-satunya gangsa diperolehi menerusi acara futsal yang berlangsung di gelanggang Futsal Uptown, Jalan kamaruddin.

 

Peserta Thai ungguli Sultan Mizan Cup 2012

Peserta Thailand, Wipawan Pawitayalarp, muncul johan Sultan Mizan Cup 2012, yang berakhir awal pagi tadi.



Penunggang tersebut yang mencatatkan masa purata kelajuan 18.872 kilometer sejam meraih hadiah wang tunai US10,000 dan jam tangan bernilai RM25,000 serta piala dan sijil.



Penunggang tempatan, Mohamad Fuad Hashim muncul sebagai naib johan dan memenangi wang tunai US7,000 serta piala dan sijil manakala pemenang tempat ketiga, Mohd Bulkhari Rozali menerima wang tunai US5,000 serta piala dan sijil.



Seramai 52 peserta menyertai acara tersebut yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu.

Selain peserta tempatan, kejohanan itu juga turut disertai penunggang dari beberapa negara luar, termasuk Thailand, Indonesia dan Myanmar. Sultan Terengganu,

Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenaan berangkat ke majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, pagi ini. Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Exco-Exco dan ketua-ketua jabatan.















Seminar Belia Daerah Marang

Oleh: Amirullah Othman 

Seramai 100 pimpinan belia daerah Marang menyertai seminar anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) hari ini di Marang Village Resort & Spa, Kelulut, Marang.

Program tersebut dirasmikan Penolong Pengarah APMT, Encik A.Latif Awang. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan pemimpin belia supaya berfikir banyak kali dalam melakukan sebarang tindakan dan tidak mengikut emosi.

Beliau bimbang golongan belia akan dipergunakan oleh pihak lain yang ingin menangguk di air yang keruh jika mereka bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan baik buruk sesuatu perkara.

Antara Tajuk modul yang dijalankan ialah “Malaysia Sebuah Negara Islam” dan “Perjuangan Belum Selesai”.

Ternyata modul dan gaya penyampaian moderator dari Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) amat menyentuh perasaan sehinggakan ada antara peserta mengalirkan air mata tanpa sedar akibat rasa sedih agama Islam diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pembangkang dari hari ke hari.

Program seumpama ini amat baik dan wajar diteruskan supaya pemimpin-pemimpin muda ini ada kesedaran tentang pentingnya menjaga tatasusila dan jangan terjebak dengan dakyah pembangkang yang hanya ingin memecahkan umat Islam sahaja.

 

Batu Bersurat Lambang intelektual Melayu

Oleh: Mastura Jamaluddin

Memasyarakatkan tempat bersejarah iaitu Batu bersurat yang bertaraf dunia dan bukan semata-mata dari aspek pelancongan sahaja, menjadi pendekatan utama Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Ianya di hidupkan melalui pelbagai pendekatan perancangan bagi mengembalikan kesuraman tempat bersejarah tersebut.

Batu Bersurat bukan sekadar bukti kedatangan Islam ke Hulu Terengganu tetapi merupakan bukti penggunaan awal serta tempat kelahiran tulisan jawi tertua di dunia.

Ianya merupakan lambang intelektual melayu yang menjadi warisan dunia pada ketika ini.

“Pelbagai perancangan akan di buat bagi mempromosikan memorial Batu Bersurat ini supaya ia dapat menarik kedatangan pelancong yang lebih ramai ke daerah ini sekaligus meningkatkan pendapatan masyarakat setempat sekiranya bijak mengambil peluang.

“Banyak agensi pelancongan di negeri ini tetapi tidak ada agensi yang memasukkan Memorial Batu Bersurat sebagai tempat yang wajib di lawati dalam pakej mereka.

"Oleh sebab itu,kami akan mengambil langkah untuk mempromosikan tempat bersejarah ini kepada pelancong dan yang terdekat kami akan memasyarakatkan Memorial ini agar popular di kalangan penduduk tempatan,” kata Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusuf Abdullah ketika di temui selepas majlis gotong royong di sini.

Program gotong royong bersama Ahli Parlimen Hulu Terengganu, jabatan kerajaan serta masyarakat setempat yang di anjurkan oleh Lembaga Muzium bersama lima Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) iaitu Kampung Buluh, Batu Bersurat, Padang Tara dan Kuala Por.

Beliau juga berkata satu Muzium Batu Bersurat akan di bina di atas kawasan seluas kira-kira 2.8 hektar berdekatan dengan tempat Memorial Batu Bersurat yang ada sekarang.

Turut hadir sama pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu,Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim.


PPWNT anjur seminar

Oleh:Noraini Jusoh 

Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu (PPWNT) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam negeri (PPSPPA) telah menganjurkan seminar bertajuk ‘Ke Arah Alam Sekitar Yang Lestari’, semalam.

Seminar bermula jam 8 pagi hingga 1 petang itu telah diadakan di perkarangan balai raya kampung Tuan Mandak, Batu Enam.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Yang Berhormat Haji Ramli Haji Nuh, berkata, pada dasarnya seminar sebegini cukup asing kepada sesetengah ahli masyarakat.

“Penduduk kampung biasanya buang sampah merata-rata, begitu juga dengan peniaga di pasar Batu Enam,di sini. “Sehubungan itu, seminar hari ini yang mensasarkan golongan wanita khususnya sangat bagus dilaksanakan secara berterusan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya dalam ucapan perasmian penutup majlis tersebut.

Katanya, sebagai masyarakat yang prihatin kita hendaklah membuang sampah ke tempat yang sepatutnya dan jadikan amalan kitar semula barangan terpakai sebagai rutin, untuk bersama menjaga kebersihan selain turut menjana pendapatan sampingan.

Sepanjang lima jam program berlangsung pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya ceramah mengenai keselamatan kebakaran di premis yang telah disampaikan oleh Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Encik Mustafa Ishak serta wakil dari PPSPPA turut menyampaikan ceramah bertajuk pengurusan sisa pepejal dan program pengkomposan.

Orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang untuk melihat proses penghasilan baja organik melalui demontrasi dan praktikal secara “Hands-On” tentang proses pengkomposan sisa dan bahan terbuang.

Selain pertandingan mewarna disediakan untuk kanak-kanak sebagai acara sampingan, turut dibuka pusat belian barangan kitar semula komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus.

Difahamkan, menerusi pusat belian barangan kitar semula yang diperkenalkan oleh PPSPPA, sepanjang tahun lepas pihaknya telah berjaya mencatat kutipan kira-kira RM21,000.

Turut hadir, Pengarah PPWNT, Puan Hajah Norrani Abdul Rahman; Pengarah PPSPPA, Puan Hajah Fatimah Haji Ahmad dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga kecil Melayu Cawangan Kuala Nerus (Batu Enam), Encik Musaffa Ismail.


20,000 sertai pesta loy krathong

Oleh: Noraini Jusoh

Hampir 20,000 orang dari seluruh negara yang berbangsa Thailand dan penganut Buddha Siam telah berkumpul di perkarangan Sungai Kuala Ibai, Chendering untuk menyambut pesta perayaan Loy Krathong, malam kelmarin.

Selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budayanya, tahun ini merupakan kali ke-13 pesta Perayaan Loy Krathong disambut di sini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Loy Krathong negeri Terengganu, Fong Swee Heng mewakili pengerusi tetapnya, Encik Chan A/L Tom berkata, perasmian pembukaan pesta perayaan yang berlangsung selama dua hari ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Dato’ Toh Chin Yaw.

Menurut Fong, mengikut kepercayaan penganut Buddha (keturunan Siam), masyarakatnya percaya bahawa perayaan Loy Krathong sinonim untuk membuang sial.

“Krathong akan dihanyutkan di sungai dengan dimuatkan dengan kuku, rambut dan syiling di dalamnya. “Penganutnya percaya bahawa upacara tersebut mampu menyucikan diri mereka dan segala kejahatan akan terus mengalir pergi dibawa arus sungai,” ujar beliau ketika ditemui Teganukita.

Menurut Wikipedia ‘Loy’ bererti mengapung manakala ‘Krathong’ bererti bekas daun pisang berbentuk teratai. Pada masa yang sama,

Fong turut menjelaskan tujuan utama perayaan tersebut disambut di negeri ini adalah untuk mempelbagaikan budaya serta memperkenalkan budaya Thailand serta mengeratkan perpaduan kaum di kalangan anggota masyarakat di negara ini.

Thai Konsul General, Than’ Jakrit Kanjanasoon turut hadir ke perayaaan yang menyediakan pelbagai acara ini termasuk soft karaoke dan music Thai, gerai-gerai jualan, tarian dan nyanyian dari Yala, tarian Thai Terengganu serta persembahan penyanyi popular dari Thailand iaitu ‘bouwee’.

 “Persatuan Loy Krathong negeri masih menunggu dan mengharapkan perayaan ini akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Terengganu pada masa akan datang,” katanya.


HSNZ anjur kempen kesedaran kanser

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Pembedahan Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Terengganu 2012 bertempat di Dewan Serbaguna Perpustakaan Negeri, baru-baru ini.

Selari dengan bulan kesedaran kanser payudara sedunia yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun, ini merupakan kali keempat HSNZ menganjurkan kempen sebegini.

Pakar Perunding Bedah Payudara dan Endokrin, Ketua Jabatan Bedah HSNZ, Dr Hussain Mohamad berkata, tahap kesedaran masyarakat di Terengganu mengenai barah tertinggi yang dihidapi golongan wanita ini masih rendah.

“Amat menyedihkan kebanyakan pesakit yang mula sedar mereka menghidapi barah ini telah sampai ke peringkat tiga atau empat (tahap akhir) dan tambah mengejutkan apabila mengikut statistik pihak kami, 50 peratus kes kanser payudara yang lewat dikesan terjadi di negeri kita.

“ Oleh itu, tujuan utama kempen kesedaran ini dibuat adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang penyakit yang menjadi musuh utama golongan wanita,” katanya pada sidang media sempena program tersebut.

Menurut beliau, pengetahuan dalam mengesan gejala dan tanda-tanda di peringkat awal penyakit kanser payudara ini sangat penting untuk mengurangkan risiko mereka mendapat penyakit tersebut.

“Sekiranya terdapat tanda-tanda awal, mereka boleh segera mendapatkan rawatan sepatutnya di hospital.

“Sehubungan itu, melalui kempen ini di harap peserta mendapat sedikit sebanyak maklumat berguna untuk pemahaman diri sendiri dan dikongsi dengan masyarakat luar,” ujarnya.

Sepanjang sehari kempen kesedaran tersebut berlangsung pelbagai acara disediakan untuk orang ramai termasuk persembahan video multimedia, pemeriksaan imbasan payudara, soal jawab bersama pakar-pakar dan juga forum bersama pesakit kanser payudara.