Halaman

11 September 2012

Empat homestay baru sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu bakal mewujudkan empat homestay baru menjadikan jumlah keseluruhan sepuluh homestay yang berdaftar melalui Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga 2013 nanti.

Usaha mewujudkan produk baru tarikan pelancong itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri bagi menyemarakkan kedatangan pelancong ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Sehingga kini, enam homestay di Kuala Terengganu (Teluk Ketapang dan Pulau Duyung) dan masing-masing sebuah di Dungun (Kampung Pasir Raja), Setiu (Kampung Rhu Sepuluh), Besut (Felda Selasih) dan Hulu Terengganu (Kampung Buluh)
.

Homestay Pasir Raja adalah yang tertua di negeri ini bermula 16 tahun lalu, manakala terbaru, Homestay Kampung Buluh beroperasi pada 2009.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata dua homestay yang baru dikenalpasti di negeri ini akan didaftarkan di bawah kementerian dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.

“Dua homestay baru itu masing-masing Felda Keruak (Besut) yang melibatkan 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman yang melibatkan 10 peserta.

“Mungkin terdapat pertambahan dua hingga tiga homestay baru tahun depan dan kita sedang melakukan pemeriksaan bagi menilai aspek yang menepati kriteria sebagai homestay,” katanya di Majlis Karnival Raya Homestay 2012 dan Program Titian Kasih PPPNT, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Encik Mohd Sabri berkata, terbaru pihaknya turut mengenalpasti Kampung Bukit Wan (Batu Rakit ) bagi dijadikan homestay pada tahun depan.

“Saya sudah berbincang dengan JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) dan kemungkinan akan memberi taklimat sama ada mereka berminat untuk menyertai program homestay berikutan mereka mempunyai produk kampung yang tersendiri, selain eko dan alam semula jadinya yang menarik.

“Kampung mereka juga memiliki sungai, air terjun, kebun getah, kebun durian selain musim ubi gadung dan terdapat taman herba yang menarik dan boleh menjadi tarikan pengunjung. Kita akan membuat pemeriksaan rumah dan peserta yang boleh menyertai program homestay nanti,” katanya.

Sehingga kini, enam kawasan homestay yang terdapat di Terengganu melibatkan seramai 103 peserta.



No comments: