Halaman

24 August 2013

Sukan Golf mampu tarik pelancong luar ke Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Sukan Golf berpotensi sebagai salah satu produk pelancongan yang boleh diketengahkan untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke negeri ini khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Aidi Ahmad, 43, yang merupakan peminat sukan bertaraf antarabangsa ini berkata, beliau menyokong sepenuhnya usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Negeri Terengganu sebagai satu destinasi golf terkemuka melalui pelbagai kejohanan bertaraf profesional serta menjadikan kejohanan golf sebagai acara tahunan dalam kalendar aktiviti pelancongan negeri.


"Terengganu mempunyai banyak tempat yang cantik dan menarik, justeru melalui penganjuran kejohanan golf yang diadakan kerajaan negeri, secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada peserta luar menikmati keindahan negeri ini.

"Sebagai contoh, melalui pengajuran kejohanan golf ‘PGM Terengganu Master 2013’ yang diadakan di Kemaman kali ini memberi peluang kepada peserta berkunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar daerah ini.

"Selain dapat mempromosikan negeri ini, ia sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat,’ ujarnya kepada Teganukita selepas menyertai Pertandingan Golf Pro-Am di Resort World Kijal, baru-baru ini.

Beliau yang berjaya merangkul johan keseluruhan bagi pertandingan yang diadakan sempena ‘PGM Terengganu Master 2013’ itu menjadikan sukan golf sebagai hobi dan mengambil peluang menyertai kejohanan tersebut untuk menambah kenalan bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan dalam bidang pembinaan yang diceburinya.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Golf Pro-Am telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Dato' Mohd Jidin Shafie serta Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

 

No comments: