Halaman

20 December 2012

AMANAT HADI DITENTANG

Mutakhir ini kita membaca, mendengar dan menonton di televisyen gesaan Mufti, Ulama, pemikir Islam dan mereka yang sedar daripada kesilapan lalu yang termakan dan terpengaruh dengan Amanat Hadi pada 1981, MENGGESA Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya MENARIK BALIK amanatnya itu.

Gesaan juga meminta Hadi supaya MEMOHON MAAF kepada mereka yang teranianya dan tersesat akibat amanatnya itu. Datuk Seri Abdul Hadi wajib segera menarik balik amanatnya yang menggambarkan UMNO kafir yang merupakan bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) mahu Datuk Seri Abdul Hadi BERTINDAK SEGERA kerana pendedahan terbaharu bekas aktivis Pas dan bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau C.N al-Afghani mendakwa PULUHAN RIBU AHLI PARTI ITU MASIH MENGANGGAP ORANG UMNO SEBAGAI KAFIR ekoran amanat Abdul Hadi pada 1981 yang sehingga kini tidak ditarik balik.

 Melalui bukunya Kafirkah Aku? Zainon mendedahkan KERANA AMANAT itu, pengikut PAS MENGANGGAP UMNO KAFIR, MENCETUSKAN PERISTIWA MEMALI 1985, BERLAKU SOLAT DUA IMAM KHUSUSNYA DI TERENGGANU, WUJUD PANDANGAN SEMBELIHAN ORANG UMNO HARAM DIMAKAN, JENAZAH ORANG UMNO TIDAK LAYAK DISEMBAHYANGKAN DAN BERLAKU PERCERAIAN hanya kerana perbezaan politik.

 

Pelajar Terengganu atasi GPMP nasional

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 12 daripada 13 mata pelajaran yang ditawarkan dalam Penilaian Menengah Rendah negeri ini berjaya mengatasi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) nasional.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata mata pelajaran berkenaan Bahasa Melayu (-0.17); Sejarah (-0.16); Geografi (-0.25); Bahasa Arab (-0.07); Bahasa Cina (-0.12); Pendidikan Islam (-0.08); Matematik (-0.04) dan Sains (-0.09).

Lain-lain, Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Kemahiran Tenikal (-0.39); KHB Ekonomi Rumahtangga (0.50); KHBPertanian (-0.13) serta KHB Perdagangan dan Keuhawanan (-0.64).

Selain GPMP negeri mengatasi nasional, tujuh mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan dari segi GPMP berbanding tahun sebelumnya.

Mata pelajaran berkenaan adalah Bahasa Melayu (-0.01), Bahasa Cina (-022) Sejarah (-0.08); Geografi (-0.11) Pendidikan Islam (-0.01) KHB Kemahiran Tenikal (-0.14) dan KHB Ekonomi Rumahtangga (-0.14).

"Ini merupakan satu petunjuk yang baik bahawa kecemerlangan pendidikan di negeri kita ini dapat kita lestarikan.

"Jika kita terus kuat berusaha untuk memajukan lagi kualiti pendidikan kita maka pada suatu masa nanti, tidak mustahil wawasan kecemerlangan pendidikan kita akan tercapai,” katanya.



 

MB susur sungai dengan bot tradisional

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyusuri Sungai Terengganu (river cruise) dengan menggunakan bot tradisional, bagi mempromosikan perkhidmatan itu, Isnin ini (24 Disember).

Beliau dijadualkan menggunakan perkhidmatan tersebut bersama-sama pegawai kanan kerajaan, wakil media massa dan agen pelancongan, sambil menikmati makan malam di atas bot berkenaan.

Khidmat tersebut dikendalikan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) khusus bagi menggamit pelancong datang ke negeri ini, terutama menjelang Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Antara pakej yang disediakan ialah menyusuri Sungai Terengganu (river crusie), menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati makan tengahari, makan malam atau minum petang dan menaiki beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya di sekitar Kedai Payang.

Mengikut atucara program itu, Menteri Besar akan menaiki bot pada jam 5 petang dan singgah di Riyaz Heritage Resort & SPA bagi menikmati hidangan teh tarik dan kerepok lekor di Bytes Cafe.

Selepas itu beliau dan rombongan akan meneruskan perjalanan menaiki bot TTI menuju ke Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam dan menunaikan solat maghrib.

Beliau kemudiannya meneruskan perjalanan sambil menikmati hidangan makan malam di atas bot dan menikmati panorama malam di persekitaran TTI.


60 usahawan sertai karnival

Oleh: Suriati Ali 

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) cawangan Terengganu akan menganjurkan Karnival Halal 1Malaysia Best selama tiga hari bermula hari ini sehingga 22 Disember ini.

Karnival terbuka kepada semua peniaga, terutama usahawan Industri Kecil dan Sederhana itu akan diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Pengarah Fama , Encik Hasan Jusoh berkata, karnival itu bertujuan mempromosikan produk makanan dari negeri Pantai Timur yang mendapat pengiktirafan 1Malaysia Best.


“Karnival ini juga terbuka kepada masyarakat di luar Pantai Timur yang berminat mempromosi produk mereka,.

 “Seramai 60 usahawan akan menyediakan lebih 120 jenis kuih muih Tradisional Melayu, termasuk yang jarang diperoleh, seperti kuih gelombung buaya, gajah merah, tepung bunga dan buah lok lik.

 Katanya, pengusaha anak pokok dan bunga hiasan turut mengambil pada karnival itu, semata-mata mahu membantu menarik minat pengunjung.

 “Pihak kami bersedia menganjurkan karnival seumpama ini pada tahun akan datang kerana menyedari mampu mempromosi produk selain usahawan juga berpeluang menjalin hubungan kerja serta memperluas pasaran, katanya.

 

Agensi media disaran bersama Ukom

Oleh: Suriati Ali 

Pelbagai agensi media di negeri ini diminta bersama-sama Unit komunikasi Negeri (Ukom)  bagi memperjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri secara mendalam dan telus kepada rakyat.



Pengarah Ukom Haji Shamsudin Sulong, berkata kedua-dua pihak itu berperanan penting dalam menyampaikan sumber berita dan maklumat tepat kepada pihak berkaitan, terutama kepada masyarakat.

Katanya, pada sama sama, Ukom tidak jemu memperjelaskan isu-isu semasa melalui pelbagai program yang diaturkan selaras dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

“Pendekatan itu mampu menangkis dakyah dan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap negeri dan pihak berkepentingan.



 “Apa yang dilaskanakan ini semata-mata mahu meningkatkan keyakinan dan sokongan rakyat secara berterusan kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Media di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar, Encik Rosli dan Zakaria dan ketua-ketua biro pelbagai agensi media. Lebih 100 petugas media, hadir bagi memeriahkan majlis tahunan anjuran Ukom.

 Haji Shamsudin turut memberitahu, program seumpama itu akan diteruskan walaupun kadang kala mempunyai kekangan masa, supaya hubungan baik dan sikap tolenrasi terus terjalin.

 

BPUNT lancar 'perang' dengan mereka yang pertahan amanat Presiden Pas

Oleh; Esah Abdullah

Biro Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan melancarkan ‘perang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat yang dikeluarkan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (1981) sehingga ia ditarik balik.

Ketua Penerangan BPUNT, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jadikan ia suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Saya menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak ‘amanat’ itu dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sehubungan itu katanya, enam pendekatan akan diambil berhubung isu berkenaan dengan mendesak secara berterusan Presiden PAS itu agar menarik balik amanatnya yang dibuat di Banggol Peradong kerana ia menghuru-harakan orang Islam dari segi akidah dan persaudaraan

Kedua; menggerakkan seluruh jentera Penerangan UMNO bahagian dan cawangan di negeri ini agar menjelaskan kepada rakyat perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini.

Ketiga; akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat ini.

Keempat; menyokong usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecah-belahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dan membuat penjelasan sewajarnya.

Kelima; mengeluarkan bahan-bahan bacaan dan tontonan kenapa amanat Dato’ Seri Abdul Hadi itu dianggap menyesatkan, mengeliru dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain, termasuk di Kelantan, Kedah, Pahang dan beberapa negeri lain.

Keenam; bekerjasama dengan UMNO Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Dato’ Seri Abdul Hadi supaya menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanatnya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesal dengan sikap degil dan tidak endah Dato’ Seri Abdul Hadi kepada gesaan supaya memohon maaf dan menarik balik amatnya itu.
 

Sekolah berpencapaian tinggi PMR meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman



Kualiti pencapaian sekolah seluruh Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 meningkat berbanding tahun lalu.

Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik apabila terdapat pertambahan sebuah sekolah kepada 27 yang berjaya mencatat GPS cemerlang (1.00 hingga 1.80) atau prestasi A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin,berkata Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud merekodkan GPS 1.03 untuk mendahului senarai sekolah berpencapaian tinggi apabila 84.62 peratus daripada 104 pelajarnya memperolehi semua A.

Sekolah lain, SMK Mak Lagam, Kemaman (1.10) dengan 58.65 peratus mendapat semua A, diikuti SM Sains Dungun (1.11) dengan 53.68 peratus pelajarnya memperolehi semua A.

Sekolah lain, SM Sains Hulu Terengganu (1.13), SM Imtiaz Kuala Berang (1.14); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.16); SMK lembah Bidong (1.18); SM Imtiaz Besut (1.18); SMK Chukai 1.19 dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.19); SM Imtiaz Dungun (1.19); SMK Tengku Mahmud (1.21) dan SMA (A) Sultan Zainal Abidin Terengganu (1.24) dan SBP Integrasi Batu rakit (1.25).

 “Selain merekod bilangan peningkatan sekolah berpencapaian tinggi, Terengganu juga mempunyai 15 sekolah berjaya mencapai 100 peratus minimum D (lulus semua subjek),” katanya.

Sekolah berkenaan adalah SM Sains Sultan Mahmud, SMK Mak Lagam, SM Sains Dungun, SM Sains Hulu Terengganu, SM Imtiaz Kuala Berang, SMK lembah Bidong; SM Imtiaz Besut; SMK Chukai, SMKA Sheikh Abdul Malek; SM Imtiaz Dungun; SMK Tengku Mahmud; SMA (A) Sultan Zainal Abidin,; SMK Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun dan SMK pelong, Setiu.

 Menurut beliau lagi, pencapaian di kalangan pelajar sekolah di bandar meningkat berbanding tahun lalu apabila Gred Purata (GP)calon bandar meningkat 0.01 kepada 2.41, manakala GP calon luar bandar kekal seperti tahun lalu (2.72).

“Jabatan akan sentiasa berusaha untuk merapatan jurang antara calon bandar dan juga luar bandar.

“Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pada masa depan, kita menjangkakan calon luar bandar akan lebih mampu bersaing untuk merapatkan jurang itu,” katanya.

 

EPIC “Back To School 2013” kembali lagi

Kakitangan EPIC bersama pelajar sempena program Back To School 2013.

Teks dan Gambar oleh Nurul Aziela Mohd Saberi 

Sebelum memasuki alam persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad telah mengadakan program bersama pelajar yang kurang berkemampuan yang dikenali sebagai Back To School 2013.

Program ini yang merupakan kali ketiga sejak tahun 2009, melibatkan 40 orang pelajar sekolah rendah bersama guru-guru pengiring sekolah masing-masing.

Berbeza daripada program-program lain, program Back To School 2013 ini bukan sahaja berinisiatif untuk meringankan beban yang ditanggung ibu bapa pelajar berpendapatan rendah untuk membiayai keperluan anak mereka bagi menjejaki alam persekolahan, tetapi juga akan menghiburkan anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang mungkin belum pernah mereka kecapi.


Antara aktiviti menarik yang dijalankan melalui program ini ialah membawa murid-murid melawat tapak operasi Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), menonton wayang, bermain bowling serta membeli belah barangan keperluan sekolah di Mesra Mall, Kemasik.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam EPIC Berhad, Encik Zamri Awang, di samping membantu mereka yang kurang berkemampuan, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan syarikat dengan pelajar tersebut di mana kakitangan syarikat yang terpilih atau dikenali sebagai ‘Buddy’, diberi tugas untuk menjaga dan bermesra dengan pelajar berkenaan.

“Sepanjang program Back To School 2013 yang dijalankan pada tahun-tahun lepas, kami dapat melihat sendiri kegembiraan pelajar-pelajar ini dengan membawa mereka ke kompleks membeli-belah kerana ada sesetengahnya tidak pernah berpeluang untuk merasa begitu” katanya.

Turut turun padang bersama-sama memeriahkan program, Pengurus Besar Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia dan Perolehan Syarikat, Tuan Haji Mohd Isa Mujani.


PPD Bukit Payong semai semangat cintakan negara

Oleh :Amirullah Othman 

Walaupun kempen skuad Harimau Malaya dalam Kejohanan Bola Sepak Piala AFF sudah berakhir, namun sebilangan besar anak muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong masih memakai jersi Harimau Malaya, sebagai tanda sokongan kepada pasukan kebangsaan.

Jersi berkenaan diperolehi daripada cabutan bertuah semasa tayangan perdana pertandingan separuh akhir piala tersebut antara pasukan Harimau Malaya melawan Gajah Perang, baru-baru ini.

Tayangan itu yang diadakan di segenap ceruk kampung di DUN Bukit Payong, dianjurkan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Zaidi Muda, bagi membolehkan anak-anak muda tempatan menyaksikan kesungguhan pasukan Harimau Malaya berjuang bagi mempertahankan piala berkenaan.

Program itu mendapat sambutan sangat baik dari segenap lapisan masyarakat untuk merasai semangat cintakan negara apabila mereka beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan negara.

Dalam menjayakan tayangan perdana di Kampung Undang, ia telah dibantu banyak agensi seperti Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Biro Tata Negara Negeri Terengganu dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu di samping Pejabat Pembangunan DUN Bukit Payong .

Orang ramai yang hadir dijamu dengan pelbagai juadah sambil menonto n tayangan perdana separuh akhir piala AFF.

Encik Zaidi Muda dalam ucapannya mahukan semua lapisan masyarakat supaya mempunyai semangat cintakan negara dan menyokong setiap usaha yang dijalankan oleh kerajaan kerana pelbagai insentif telah kita perolehi seperti gelanggang futsal, padang bola dan sebagainya.

 

19 December 2012

Cacat pendengaran bukan halangan Alia raih 8A

Oleh: Aida Abd Rahman


Bersandarkan keyakinan dan semangat yang kental, seorang pelajar yang mengalami cacat pendengaran sejak lahir berjaya mengatasi keupayaan pelajar normal apabila muncul satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini yang memperolehi 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hari ini.

Pelajar berkenaan, Alia Syuhada Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terengganu menggunakan alat bantuan pendengaran sejak berusia 12 tahun antara 124 CBK yang menduduki PMR di 39 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

“Dalam kelas, saya perlu berada di kedudukan paling depan bagi memastikan apa yang guru ajar dapat didengar dan difahami dengan baik. Bagaimanapun, dengan kekurangan saya ini, saya lebih rapat dengan buku berbanding dengan guru kerana saya lebih memahami setiap apa yang diajar menerusi pembacaan dan juga bahan rujukan.



“Kaedah belajar, saya rasa sama sahaja sebagaimana dipraktikkan rakan yang lain, selain memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran ketika di kelas. Pada masa yang sama juga, saya sering berdoa dan memohon keberkatan dari Allah s.w.t dengan melakukan solat hajat dan tahajud,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik yang mendapat 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR itu berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lagi dan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi menggapai impian menjadi doktor.

Katanya, dia yang dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dan hanya bergantung hidup daripada mata pencarian bapa sebagai buruh di kilang bahan binaan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan, nekad mahu mengubah nasib keluarga tanpa menjadikan kecacatan sebagai penghalang baginya untuk meraih kejayaan.



“Ibu bapa, Aziz Ismail, 45, dan Zalina Mat Lazim, 44, menjadi sumber inspirasi yang mendorong kejayaan saya hari ini.Selain mereka, guru dan rakan-rakan juga tidak meminggirkan saya, malah mereka memahami dan memberi layanan serta tumpuan sama rata sebagaimana pelajar normal yang lain.

 “Rakan di luar sana, saya berharap tidak menjadikan kecacatan seperti saya sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Dia yang sering berulang-alik dengan berbasikal sejauh tiga kilometer dari rumah ke sekolah setiap hari hanya mengetahui berita gembira itu apabila memasuki bilik pengetua selepas dipanggil seorang guru sebaik sahaja tiba di sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan itu.


Sementara itu, guru kelasnya, Encik Akla Su, 45, turut berbangga dengan potensi dan pencapaian Alia Syuhada, malah menyifatkan pencapaian luar biasa pelajar yang berkarektor pendiam itu mampu menjadi perangsang pelajar normal lain supaya dapat mencapai kejayaan yang sama.

“Disebabkan dia OKU (cacat pendengaran), dia minta supaya ditempatkan di barisan paling depan dalam kelas bagi memastikan setiap apa yang guru ajar lebih jelas didengar.

 “Sebagai guru kelas dan turut mengajar subjek Kemahiran Hidup, saya tidak meminggirkan dia, malah memberi tumpuan sama rata sebagaimana juga pelajar saya yang lain,” katanya.



PMR kekal unggul

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus unggul dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 apabila mengekalkan pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun sejak 2005.



Gred Purata Negeri (GPN) kekal 2.57 sebagaimana tahun lalu. Selain itu, GPN pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.65), 2009 (2.60) dan 2010 (2.58).


 Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata pengekalan peningkatan itu bukan suatu perkara yang mudah dicapai melainkan perlu berusaha dengan gigih, berterusan, semangat yang jitu dan bersepadu untuk memastikan prestasi tidak merosot.

“Dengan catatan angka yang sangat baik ini juga secara tidak langsung telah melonjak pendidikan negeri Terengganu ke tahap yang terkehadapan di peringkat kebangsaan.

“Prestasi keseluruhan juga merekodkan GPN Terengganu jauh mengatasi Gred Purata Nasional,” katanya ketika mengumumkan Keputusan PMR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Ketua Sektor Akademik, Haji Mohd Zubir Embong.

Encik Hashim berkata, walaupun mencatat kegemilangan keseluruhan PMR tahun ini, pencapaian peringkat cemerlang sedikit menurun berbanding tempoh tiga tahun sebelum ini apabila pencapaian Semua A berkurang 1.81 peratus.



"Pelajar yang memperolehi semua A pada 2009 (7.12 peratus), 2010 (7.81) dan tahun lalu (8.95 peratus)", katanya.

Menurutnya, prestasi Minimum D yang meningkat selama tiga tahun berturut-turut sejak 2009 (56.26), 2010 (59.42) dan tahun lalu (60.01) juga menurun 0.17 peratus pada tahun ini (59.84).

Seramai 23,025 pelajar menduduki PMR seluruh Terengganu pada tahun ini berbanding 23,157 pelajar pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 22,229 orang sekolah bantuan kerajaan (96.54 peratus); 495 Maktab Rendah Sains Mara  (2.14); 73 calon sekolah swasta (0.32) dan 228 calon persendirian (1.00).







Kekal jenama t-brand sebagai produk negeri

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan mengekalkan jenama T-Brand sebagai produk negeri yang akan menembusi pasaran hingga ke perigkat global.


Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, sektor usahawan telah mempelbagaikan produk dan mampu diterokai oleh golongan muda yang berdaya saing.

“Terbaru kita telah mewujudkan usahasama dengan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) dalam usaha perhebatkan rangkaian dengan syarikat swasta ,” katanya.

Katanya, melalui rangkaian baru ini telah pun wujud 18 buah oulet di seluruh negara dan ini akan dapat meningkatkan penglibatan rakyat tempatan terutama dalam menjual dan membekalkan barangan keluaran tempatan.

“Usaha ini bukan setakat untuk mengekalkan jenama t-brand yang menjual produk makanan sahaja sebaliknya produk-produk lain yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Selain itu terdapat 23 buah rangkaian kedai T-Shope yang sedang beroprasi dalan negeri dan luar Terengganu dan juga T-Hotel dan T-Loghe (dua buah) serta enam buah T-Kafe termasuk dua di luar negara.

Katanya, terdapat empat buah T-Kraf yang menjual barangan songket, batik serta barangan runcit keluaran tempatan dan akan mengekalkan bidang keusahawanan sebagai bidang yang boleh diterokai rakyat di negeri ini.







Anggota Rela Hulu Besut dapat bangunan



Oleh: Mohammad Ishak 

Khidmat bakti anggota RELA sentiasa mendapat pengiktirafan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang tanpil memberi bantuan termasuk kemudahan yang diperlukan.

Platun Rela Hulu Besut antara yang bernasib baik kerana mempunyai bangunan sendiri untuk dijadikan pusat komuniti bagi menjalankan tugas harian pasukan berkenaan.

Pembukaan Pusat Komuniti Rela di Kampung La, Hulu Besut, satu lagi sokongan kerajaan untuk member kemudahan kepada anggota pasukan menjalankan tugas untuk penduduk setempat.

Ketua Pelatun Rela Hulu Besut, Abdul Rani Ibrahim bwerkata, pihaknya kini mempunyai bangunan sendiri apabila Pejabat Daerah Besut (PDB) meluluskan permohonan untuk Rela menduduki bangunan yang pernah dijadikan pejabat JKKK Kampung La.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, merasmikan bangunan berkenaan semalam. Abdul Rani berkata, dengan adanya bangunan itu ia memudahkan kira-kira 300 ahli Rela di kawasan Hulu Besut mengadakan aktiviti secara berpusat di premis berkenaan.

Sementera itu, Dr Abdulolah berkata, peranan dan tanggungjawab anggota Rela kini semakin mencabar apabila mereka diberi tugas bersama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia.

Katanya, sebagai kakitangan kerajaan anggota Rela juga terikat dengan peraturan dan berharap sentiasa mematuhinya bagi menjaga imej pasukan itu yang sememangnya berperanan dalam pembangunan komuniti dan menjaga keselamatan awam.

Terengganu sedia RM76.37 juta bagi mengindahkan kawasan PBT

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM76.37 juta bagi merancang, mengindahkan dan melaksanakan perkhidmatan perbandaran di seluruh Terengganu, bermula tahun depan.


 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan yang akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan digunakan untuk tujuan semata-mata mahu melihat masayarakat terus merasai kemakmuran dan kemampanan kualiti hidup.

 Katanya, berdasarkan peruntukan itu, sebanyak RM6.2 juta akan dibelanjakan untuk program pencahayaan dan pemasangan lampu awam dalam kawasan PBT; RM 5.7 juta (landskap) dan RM8 juta bagi program kebersihan dan keindahan.

“Manakala RM34 juta bagi membina dan menyelenggara longkang di samping peruntukan untuk projek-projek Majlis-majlis Tempatan, perkhidmatan kebajikan dan masyarakat di bawah penguatkuasaan Majlis Daerah masing-masing.

 “Bagi meningkatkan tahap kebersihan bandar, peruntukan untuk pengurusan kebersihan bandar ditambah daripada RM17.5 juta tahun 2012 kepada RM20 juta tahun 2013,” katanya.

 Katanya, kerajaan sedar peluang perniagaan dan pekerjaan perlu ditingkatkan dan diperbanyakkan. Oleh itu, sejumlah RM18.13 juta disediakan untuk pembinaan dan pengubahsuaian atau naik taraf pasar awam.

 “Sebanyak RM5.95 juta bagi pembinaan gerai perniagaan dan perkedaian di seluruh daerah di samping meneruskan pelaksanaan projek sedia ada.

 “Kerajaan juga menyediakan RM4 juta bagi membaiki pusat-pusat sivik dan dewan-dewan majlis serta menyelenggara bangunan dalam kawasan PBT bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

 Menurutnya, selaras dengan imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, kerajaan bersetuju untuk membina bangunan baru kompleks pentadbiran MBKT di Southern Breakwater, Kuala Terengganu. Buat permulaan RM25 juta disediakan untuk perlaksanakan projek itu.

 

Perkasakan BI dan Sains untuk baiki kelemahan pelajar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan terus memperkasakan mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) dan Sains di kalangan pelajar kerana dianggap masih lemah dan kurang memuaskan.


 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata masalah itu dikenalpasti apabila terdapat kemerosotan penguasaan subjek itu dalam semua peperiksaan awam, termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

 Katanya, kita fokus kepada dua subjek penting itu yang dianggap masil gagal dikuasai, antaranya bercadang mendapatkan beberapa modul, kaedah dan teknik terbaru untuk meningkatkan pencapaiannya.

“Masalah sangat ketara dalam UPSR lalu apabila murid yang disasarkan mendapat 5A hanya mendapat 4A atau 3A 2B.

“Berdasarkan rekod, keputusan B yang diperoleh itu adalah Sains atau Bahasa Inggeris atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pendekatan itu cukup penting, bagi menambah ilmu pelajar terhadap mata pelajaran itu supaya cemerlang seperti subjek lain,” katanya.

 “Pelbagai faktor boleh berlaku kemerosotan, mungkin disebabkan kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam kedua-dua bahasa itu.

 

Sultan Terengganu berangkat ke majlis Anugerah Sukan Negeri di WDI

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan berangkat ke majlis Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2011/2012 di Dewan Besar Wisma Darul Iman pada 23 Disember ini.

 Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Haji Ibnu Amin Busu dalam kenyataannya berkata, majlis bermula jam 8 malam itu turut dihadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Haji Rozi Mamat.

 “Acara kemuncak ialah Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2011/2012 serta beberapa anugerah sukan lain turut diumumkan pada malam itu,” katanya.

Katanya, program ini sebagai menghargai atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negeri dalam pelbagai acara sukan yang disertai di peringkat negeri dan kebangsaan.

 

18 December 2012

Exco syor pengurusan hospital dialog dengan masyarakat



Oleh: Mohammad Ishak 

Semua pentadibiran hospital negeri ini diminta mengadakan sesi taklimat dan majlis dialog dengan masyarakat setempat bagi mendekatkan kakitangan dengan orang ramai.

Menerusi majlis itu juga diharap dapat menjalin kerjasama antara pihak hospital dan komuniti serta memberi imput berguna mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh hospital negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Yang Berhormat Dr A Rahman Mokhtar berkata cadangan supaya pihak hospital mengadakan majlis dialog dengan masyarakat bertujuan mengetahui masalah dan kehendak pesakit dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan hospital

Katanya, Hospital Besut (HB) yang banyak menerima runggutan orang ramai sudah memulakan usaha itu apabila pihak pentadbiran mengadakan majlis dialog dengan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daerah itu.

Menurutnya, dalam sesi itu beliau sendiri mendengar runggutan dan cadangan yang dibangkitkan oleh pemimpin terbabit berhubung rasa tidak puas hati terhadap pihak pentadbiran HB

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Mohamad Omar serta pegawai dari pelbagai unit HB. Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, masalah dibangkitkan peserta dialog akan diambil tindakan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan hospital itu.

Menurutnya, HB kini sudah mempunyai 19 doktor dan mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk daerah itu.

SK Pulau Redang dipilih sebagai sekolah perintis K-9

Oleh; Esah Abdullah

Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang, Setiu akan menjadi sekolah perintis di negeri ini bagi pelaksanaan konsep Sekolah Model Khas Komprehensif (K-9) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran.


Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Encik Zakaria Hussin berkata, setakat ini pihak kementerian pada dasarnya sudah meluluskan pelaksanaan model sekolah itu dan berharap proses itu dapat disegerakan dengan pembinaan bangunan tambahan, penyediaan kemudahan sokongan, penempatan guru serta kakitangan pentadbiran.

Menurutnya, konsep baru K-9 itu bertujuan menangani kes keciciran pelajar sewaktu transisi dari tahun enam ke tingkatan satu serta memastikan kemudahan sekolah kurang murid (SKM) digunakan secara optimum.

Katanya,melalui konsep itu sekolah berkenaan akan menyediakan kemudahan pembelajaran selama sembilan tahun, dari tahun satu hingga tingkatan tiga.

''Bagaimanapun untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan seterusnya mereka terpaksa belajar di sekolah menengah di tanah besar.

 ''Dua sekolah menengah yang sering menjadi penempatan pelajar sekolah berkenaan adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot dan SMK Bukit Besar Kuala Terengganu,'' katanya.

Tambahnya, langkah itu pastinya dapat membantu memberi keselesaan kepada pelajar di Pulau Redang untuk mendapatkan pendidikan di kawasan mereka sehingga tamat tingkatan tiga.

''Ini kerana pelajar yang menyambung pelajaran ke tingkatan satu terpaksa meredah laut, tinggal berjauhan dengan keluarga, selain mengurangkan bebanan ibu bapa,'' katanya.

Pada masa ini katanya, SK Pulau Redang mempunyai 234 murid dengan 10 buah kelas yang menempatkan murid tahun satu hingga enam termasuk satu kelas prasekolah.

Beliau berkata, selain di Pulau Redang, JPNT akan berusaha untuk memperkenalkan konsep yang sama di Pulau Perhentian dan sebelum ini telah memperkenalkannya di SMK Chalok, Setiu dengan menempatkan murid sekolah rendah dan menengah di dalam kawasan sekolah yang sama.

 

Penyokong tegar Pas sokong BN

Oleh: Suriati Ali

“Dulu memang saya penyokong tegar Pas, tetapi kini kembali kepada Barisan Nasional (BN) selepas menyedari parti itu (Pas) tidak memberi apa-apa manfaat, sebaliknya hanya pandai menabur janji dan berceramah.

 “Sewaktu arwah ayah (Tahir Muda) sakit, wakil rakyat Manir, Dato’ Haji Harun Taib tidak pernah ziarah, sedangkan mereka berdua kawan baik ketika ayah masih sihat,” kata Pakcik Hassan Tahir, 69, dari Kampung Pulau Bahagia, Manir, Kuala Terengganu.

 Pakcik Hassan yang menghidap penyakit, diabetis, jantung dan darah tinggi bakal diziarahi Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebelum dijadualkan menemui rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Sabtu ini.

Katanya, mengenangkan sikap pemimpin Pas seperti itu dia dan ahli keluarganya tidak lagi berminat mengikuti aktiviti dan menyokong Pas walaupun ada jentera parti itu datang merayu undi .

 “Saya tidak akan berpatah balik memilih parti itu kerana menyedari segala kemudahan dan keselesaan yang dikecapi penduduk Manir sekarang ini adalah hasil daripada usaha pemimpin BN, bukannya wakil rakyat Pas.

“Kita sebagai penduduk kampung patut malu kerana lebih 26 tahun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dimenangi Pas,” katanya.

Pakcik Hassan turut memberitahu, hanya perasaan terharu dan gembira mampu digambarkan selepas mengetahui Tan Sri Muhyiddin mahu menziarahnya pada Sabtu ini.

“Pada awalnya, saya anggap berita yang disampaikan anak, Mohd Saiful Bahri, 29, tentang TPM mahu datang rumah, hanya gurauan.

“Namun selepas berita itu disahkan sendiri Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, barulah saya percaya..

“Saya anggap diri ini cukup bertuah kerana TPM sudi turun padang untuk menziarah sedangkan Wakil Rakyat di kawasan sendiri pun, tiada masa untuk berbuat demikian,” katanya.

 


Tiada laporan banjir di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Bilik Gerakan Bencana Banjir Terengganu belum menerima sebarang laporan banjir dan pemindahan  mangsa ke pusat pemindahan banjir di negeri ini, walaupun hujan lebat beserta angin kencang yang berterusan sejak malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, berkata pihaknya sentiasa bersiap-sedia pada sebarang kemungkinan sekiranya terdapat laporan kejadian banjir dan memerlukan bantuan pemindahan segera.

“Setakat ini, tiada laporan banjir dan semua pusat pemindahan yang bersedia untuk beroperasi bila-bila masa diperlukan juga masih kosong.

 “Sehingga tengahari ini, beberapa paras sungai di beberapa sungai utama negeri ini juga masih ditahap sederhana dan tidak berbahaya kepada penduduk sekitar,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Malah, daripada 21 stesen sukatan jumlah hujan harian seluruh Terengganu pula merekodkan hanya dua lokasi mengalami hujan sangat lebat melepasi 60 milimeter, masing-masing di Jambatan Jerangau, Dungun (74 mm) dan Pengkalan Berangan, Marang (67 mm).

Lain-lain kawasan yang disukat sejak 12 Disember lalu masih di tahap rendah dan sederhana.

Sementara Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan ribut petir dan hujan lebat di  Pahang (Rompin, Pekan dan Kuantan), Kelantan (Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Jeli dan Kuala Krai) dan Terengganu (Setiu, Kuala Terengganu dan Kemaman) dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.

Malah, keadaan cuaca yang sama juga dijangka berlaku di Perak (Hulu Perak), Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai Jaya dan Pontian), Pahang (Maran, Bera dan Jerantut), Kelantan (Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang) dan Terengganu ( Besut, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun).

Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan angin kencang.

Manakala angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah (Pantai Barat dan Kudat), Wilayah Persekutuan, Labuan, Sarawak (Miri), Samui, Condore, Bunguran, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Jumaat ini ( 21 Disember).

Selain daripada itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung Malaysia turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini juga dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

 Keadaan angin kencang dan laut bergelora juga membahayakan bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.


Penduduk Manir terus mengecapi pelbagai kemudahan

Oleh: Suriati Ali 

 Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir sememangnya cukup bertuah kerana terus mengecapi keselesaan dan pelbagai kemudahan seperti kawasan lain walaupun hampir 26 tahun berada di bawah pimpinan Pas.

 Prasarana seperti masjid, perumahan rakyat, dan pasar baru siap dibina di mana kemudahan awam itu bakal digunakan serta diserahkan kepada penduduk terlibat dalam tempoh terdekat.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata sebanyak 437 unit Rumah Mampu Milik di Kampung Batu Hampar sudah siap dibina dan akan diserahkan penduduk, awal tahun depan.

“Pasar Manir yang dibina sejak tahun lalu lalu itu juga sudah beroperasi beberapa bulan lalu bagi menggantikan pasar lama yang tidak tersusun dan usang.

 “Rumah Rehat 1Malaysia dengan kos pembinaan RM200, yang pernah diumumkan Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan kerja pada April lalu, sudah didiami 20 pegawai perubatan secara bergilir,” katanya kepada Teganukita, semalam.

 Beliau berkata, penduduk juga dapat menjalankan ibadat dengan selesa apabila Masjid Batu Hampar selesai dibaikpulih bulan lalu dengan peruntukan RM800,000 mula digunakan umat Islam sekitar,

 

Teganukita 70


Ukom anjur makan malam bersama warga media


Unit Komunikasi Negeri (Ukom) akan menganjurkan majlis makan malam bersama-sama warga media di Hotel Permai Inn, malam esok (19 Disember).

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong berkata, program itu merupakan acara tahunan bagi meraikan warga media yang banyak membantu menyalurkan maklumat mengenai program yang dilaksanakan kerajaan negeri kepada masyarakat umum.

“Pihak kami sentiasa menghargai peranan yang dimainkan wartawan, jurufoto dan juruvideo tempatan dalam membantu menyalurkan maklumat semasa mengenai usaha-usaha yang dilakukan kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, melalui program seumpama itu Ukom berharap hubungan baik antara warga media dan kerajaan negeri dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

Pegawai-pegawai dan kakitangan Ukom akan hadir sama bagi meraikan media pada majlis tersebut.

Angin perubahan meresapi DUN Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Beberapa penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berharap `angin perubahan’ bakal meresapi kawasan mereka hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang dijadualkan menemui rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Sabtu ini.

Majlis Jamuan Rakyat Bersama TPM itu dijangka akan dibanjiri lebih 20,000 penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Durian Mas, Encik Zulkifli Mat Amin berharap kunjungan Tan Sri Muhyiddin memberi isyarat kepada seluruh penduduk bahawa kepimpinan negara sentiasa bersama-sama rakyat khususnya penduduk di DUN itu.

 “Pemimpin hebat seperti Timbalan Perdana Menteri sudi ke Manir membuktikan mereka mengambil berat dan tidak pernah meminggirkan rakyat di sini walaupun berada jauh dari bandar.

“Sekurang-kurangnya dengan kehadiran TPM, mungkin ada khabar gembira bakal diterima dan dapat mendatangkan manfaat buat kita semua. Moga kita dapat menilai apa yang sudah dan bakal dilaksanakan kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat, seterusnya memilih parti yang memberi kebaikan kepada kita, bukan parti yang mengajak kepada perpecahan sesama umat,” katanya.

Cik Rohaya Muhamad dari Kampung Beladau Kolam, pula berharap penduduk di DUN Manir tidak menoleh ke belakang lagi dan memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Terlalu banyak jasa dan pengorbanan dilakukan kerajaan BN dan Umno. Saya percaya kunjungan Tan Sri Muhyiddin dapat menyemarakkan semangat kebangkitan di jiwa penduduk dan jentera parti untuk mengembalikan Manir kepada BN semula,” katanya.

Encik Meor Asmadi Ahmad dari Kampung Tanah Lot, Sekati berharap lawatan TPM mencetus dimensi baru dari aspek pembangunan infrastruktur dan juga mentaliti penduduk di DUN itu.

Katanya, kawasan Manir sekali lagi menjadi tumpuan pucuk pimpinan negara kerana mereka prihatin dengan nasib penduduk sekali gus berusaha untuk memastikan DUN itu tidak terus bergelap di bawah Pas. 

Sehubungan itu juga, Umno akan melancarkan ‘Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ yang dijangka mencetus semangat kepada jentera parti supaya bekerja lebih kuat bagi merebut semula kawasan itu di tangan pembangkang sempena lawatan TPM itu.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata pihaknya berbangga dan berbesar hati dengan kesudian Timbalan Perdana Menteri `menjenguk’ Manir ketika musim PRU13 kian hampir ini.

Beliau dan pemimpin setempat di DUN itu mengharapkan kehadiran pemimpin negara dapat mencetus kebangkitkan di kalangan rakyat DUN berkenaan untuk memihak kepada Umno dan BN.

 

PDKT perkenal kaedah 'penarafan' ukur kejayaan JKKK

Oleh; Esah Abdullah


Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT) akan memperkenalkan satu kaedah ‘penarafan’ bagi mengukur tahap kehebatan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mulai tahun depan.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kaedah penarafan ini memberi penekanan terhadap tujuh kategori termasuklah dari segi keselamatan, kesihatan, pendidikan, kejiranan, komuniti, fizikal.

“Kita akan membuat pemarkahan melalui kategori berkenaan bagi menentukan sesebuah kampung itu mencapai tahap kemajuan sebenar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan JKKK Daerah Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam

Hadir sama Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) (PPD) Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh; PPD Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik; PPD Wakaf Mempelam Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan PPD Bukit Payong, Encik Zaidi Muda.

Katanya, satu pembengkelan akan diadakan pada 27 hingga 29 Disember ini bagi tujuan permarkahan terhadap 292 buah JKKK dalam daerah Kuala Terengganu yang telah mengisi borang yang diedarkan.

Menurutnya, setiap keluarga perlu mengisi satu borang biodata isi rumah dan melaluinya JKKK dinilai mengikut tujuh kategori,” katanya.

 “Kita ingin mewujudkan kampung ku rumah ku di mana semua anggota dalam komuniti itu mengambil tanggung jawab bersama terhadap keselamatan, kesihatan dan apa saja aktiviti serta saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan JKKK Bukit Wan telah dinobatkan sebagai JKKK Cemerlang 2012 manakala JKKK Gong Lingai (kedua), JKKK Jalan Tekukur (ketiga) dan JKKK Beladau Kepong (Keempat).

Tempat pertama menerima wang tunai RM5,000 beserta sijil, kedua RM3,000 ketiga RM2,000 dan tempat keempat RM1,000.

Manakala 23 daripada 292 JKKK lagi terpilih sebagai JKKK aktif sepanjang tahun dan masing-masing menerima wang tunai RM500 beserta sijil. Semua hadiah disampaikan oleh Haji Wan Nawawi.

Kem ‘unleash your power’ di Kemaman

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Empower Kemaman akan mengadakan kem ‘Unleash Your Power’ di Dewan Teater, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman, selama dua hari bermula 20 Disember ini.

Peyelaras Program Empower Kemaman, Nurelaini Zakaria berkata, kem yang kali ketiga dianjurkan ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar lepasan UPSR pada tahun ini dalam membuat persediaan untuk melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan.

"Program kali ini akan melibatkan 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSR tahun 2012 di sekitar Kemaman.

"Terdapat enam buah sekolah yang akan mengambil bahagian, antaranya SK Kampung Baru Kerteh, SK Jabor, SK Kijal, SK Chukai, SK Ayer Puteh dan SJK (C) Kuala Kemaman,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB. Ir Rosli Othman.

Difahamkan, Program Empower Kemaman terbahagi kepada dua bahagian iaitu berasaskan latihan kemahiran akademik untuk pelajar sekolah dan latihan kemahiran keusahawanan untuk masyarakat setempat.

Merupakan salah satu program di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) program-program di bawah kelolaan Pusat Empower Kemaman sedang rancak dijalankan dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari semua pihak.

 

‘Sentuhan’ TPM bakal jadi tonik BN rampas DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sudah lima penggal kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah kuasa pembangkang (Pas) menyebabkan ia jauh ketinggalan walaupun berada di pinggir bandar.

Tidak banyak perubahan berlaku di kawasan berkenaan walaupun ketika Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, di mana wakil rakyatnya turut menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di zaman pemerintahan Pas.

Dalam beberapa siri lawatan di kawasan itu sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berjanji akan memberi tumpuan utama di Manir jika Barisan Nasional (BN) menang di situ pada pilihan raya umum akan datang.

Antara janji tersebut ialah menyediakan lebih banyak kediaman lebih selesa kepada penduduk tempatan dan penyediaan prasarana yang lebih baik kepada peniaga dan penghuni di situ.

Selama ini pemimpin Pas ‘lepas tangan’ dan tidak mengambil berat kebajikan penduduk di kawasan itu.

Setiap kali penduduk ditimpa musibah, pemimpin Umno dan BN yang datang dulu bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Manir pada 22 Disember ini, Umno akan melancarkan ‘Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ yang bakal menjadi pencetus semangat kepada jentera parti bagi merebut semula DUN tersebut daripada tangan pembangkang.

Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka hadir pada majlis itu serta menghadiri Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata pihaknya amat mengharapkan ‘sentuhan’ Tan Sri Muhyiddin bagi membolehkan Umno dan BN menang di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerja dengan bersungguh-sungguh pada pilihan raya ini bagai memastikan kemenangan BN.

“Kita penuh yakin, pesanan dan amanat TYAB imbalan Perdana Menteri dan dengan kerjasama penuh yang diberikan YAB Menteri Besar, kita dapat menawan semula DUN Manir pada pilihan raya kali ini,” ujarnya penuh yakin.