Halaman

15 February 2012

Sate ikan ubah kehidupan Mohd Rashid

Oleh: Suriati Ali

ERTI kemiskinan, kepayahan dan kesusahan, sudah tiada dalam kamus hidup pasangan suami isteri, Mohd Rashid Mohd, 58 dan Rohani Mohd Zain, 54 berikutan kini mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan sate ikan.



Mereka berdua cekal mempertahankan perniagaan yang diusahakan selama 33 tahun itu walaupun pelbagai rintangan dan dugaan dilalui termasuk satu ketika dulu dicemuh masyarakat setempat yang menyatakan apa yang dijual itu `sate kucing’ dan `sate katak’.

Berkat kesabaran, pemilik Sate Ikan Kak Ning itu kini bukan saja mampu membesarkan tujuh orang anak dengan sempurna malah dapat menambah cawangan perniagaan dan mengerjakan ibadat haji.



Sate ikan Ning yang beralamat di Kampung Bukit Berangan, Tepoh dan Kampung Raja, Chendering mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada puluhan peniaga dan penjaja tempatan.

Sebanyak 100 kilogram ikan selayang dan ikan tambam digunakan bagi menghasilkan 18,000 cucuk sate ikan setiap hari semata-mata mahu memenuhi permintaan pasaran.

Encik Rashid, berkata bukan semudah yang disangka untuk dia dan isteri merasai keselesaan berniaga seperti dikecapi hari ini kerana terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan.

“Rintangan paling sukar adalah menangkis tohmahan masyarakat yang memandang negatif terhadap sate ikan sedangkan bahan yang dihasilkan itu semuanya halal.

“Ejekan, `orang itu jual sate kucing atau sate katak’ masih tergiang-giang di teliga saya ketika menjaja makanan itu di serata kampung dan sekolah lebih 20 tahun lalu dengan menggunakan beca tua ,” katanya.

Walaupun sedih dan cukup terasa, beliau tetap bersabar sambil mendoakan supaya apa yang diusahakan ini mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Sementara itu Rohani yang juga pemilik resipi turun temurun itu berkata, bahan mentah untuk menghasilkan produk itu mudah didapati di sekitar daerah ini.

"Walaupun sudah mempunyai beberapa buah mesin, proses menggaul adunan masih dilakukan secara tradisional kerana kekurangan modal untuk membeli mesin baru.

"Setelah dibentuk menjadi bebola, ia digoreng dengan minyak dan dicucuk pada lidi membentuk sate dan kemudian diagihkan kepada penjual yang boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga seminggu," jelasnya.

Jika dahulu katanya, ada yang beranggapan sate ikan adalah resipi untuk 'kelas bawahan' yang dijual di ceruk kampung bagi menggantikan sate ayam dan daging yang harganya lebih mahal tetapi sekarang ia menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat.

"Sekarang produk ini digemari oleh pelbagai peringkat termasuk menjadi hidangan di restoran mewah serta mampu mengembalikan cerita lama zaman persekolahan generasi dewasa," jelasnya.