Halaman

12 March 2012

PPPMCT kumpul dana bina bangunan sendiri

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) sedang mengumpul dana bagi merealisasikan impian untuk memiliki bangunan sendiri sebagai tempat menjalankan aktiviti persatuan.

Yang Dipertuanya, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasirudin Shah berkata, persatuan telah mendapat sebidang tanah seluas 0.2 hektar berhampiran Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

“Persatuan amat berbesar hati dan berterima kasih dengan keperihatinan kerajaan negeri yang meluluskan kawasan ini sebagai tempat ahli berkumpul dan menjalankan aktiviti,” katanya ketika berucap di majlis Persmian Perkhemahan dan Mesyuarat Agung Tahunan PPPMCT di Kem Pengakap Tengku Muhammad ismail, Telaga Batin, semalam.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah merasmikan kedua-dua program berkenaan secara serentak.

Tambahnya, sebuah bangunan tiga tingkat bakal didirikan di kawasan berkenaan yang dilengkapi dengan dewan, ruang pejabat, bilik pameran, bilik asrama serta kedai bagi jualan barangan keperluan persatuan.

Katanya, setakat ini proses membuat pelan bangunan dan kerja-kerja merata tapak serta penambakan dijalankan secepat mungkin dan berharap pembinaan dapat dimulakan pada awal tahun depan.

Berhubung dengan program persatuan, tahun lalu merupakan paling cemerlang kerana berjaya mengadakan aktiviti bersama golongan nelayan di daerah Dungun yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Paduka Seri Rosmah Mansor.

“Program ini telah memberi satu perspektif baru kepada ahli-ahli pandu puteri dalam membentuk semangar khidmat masyarakat,” katanya.

Katanya, kejayaan lain ialah berjaya melahirkan 11 orang pandu Puteri Raja, dua orang memperolehi anugerah Asia Pasifik dalam kepimpinan dan 11 orang Pesuruhjaya menerima anugerah Agok Lebah dan Pingat Jasa.

“Puteri kita juga tidak ketinggalan menyertai pelbagai acara di peringkat kebangsaan seperti Majlis Renjer Kebangsaaan dan perkhemahan Pandu Puteri Tunas,” katanya.