Halaman

20 January 2014

ECERDC akan perluas program LKAE


Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memperluaskan program Latihan Kemahiran Akademik Empower (LKAE) ke Hulu Terengganu dan Besut mulai tahun ini.

Pengurus ECERDC Terengganu, Ahmad Hashim berkata, program yang merupakan salah satu pendekatan membangunkan modal insan itu telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan di Kemanan dan Dungun.

Katanya, program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar dan daya saing di pasaran kerja.

"Kita sedang kenal pasti beberapa sekolah rendah dan menengah di dua daerah itu untuk membantu meningkatkan mutu akademik anak-anak negeri ini," katanya pada satu majlis, baru-baru ini.

 Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud. Sempena program itu, seramai 146 pelajar cemerlang menerima wang tunai RM100 seorang dan sijil daripada pihak ECER.

Empower ECER dirintis pada tahun 2010 dan setakat ini, program itu dilaksanakan di 11 lokasi iaitu Jeli dan Bachok di Kelantan manakala Kemaman dan Dungun di Terengganu di samping Bentong, Temerloh, Raub, Kuala Lipis, Cameron Highland dan Kuala Pahang di Pahang serta Rompin, Johor.

Sehingga kini, seramai 5,901 pelajar peringkat rendah dan menengah terutama daripada keluarga miskin telah mendapat manfaat.

Sementara itu Roslee ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, program yang dilaksanakan itu unik kerana ia menggabungkan kelas pembaikan akademik dengan membina keyakinan diri pelajar melalaui pendedahan kepada bentuk dan pengalaman belajar.

 ''Saya berharap program Enpower dapat diterus dan diperluaskan di sini dan di lebih banyak kawasan di negeri ini bagi kepentingan anak negeri," ujarnya.

 

No comments: