Halaman

18 January 2014

Petronas Sumbang RM5 juta Untuk Mangsa Banjir

KEMAMAN 17 Jan – Sumbangan berjumlah RM5 juta disalurkan Petronas kepada seramai 21,000 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir di seluruh Pantai Timur dengan sesi pengagihannya dijangka selesai sebelum akhir bulan depan.
Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Petronas, Norliza Kamaruddin berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada mangsa banjir di tempat mereka beroperasi iaitu di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
“Untuk di Kemaman, bantuan ini akan disalurkan kepada kira-kira 15,000 keluarga mangsa banjir. “Sementara selebihnya iaitu bantuan kepada 6,000 lagi keluarga di Kuantan dan Pasir Mas dijangka selesai pada akhir Februari depan,” katanya selepas menyerahkan replika cek bantuan berjumlah RM3.4 juta kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam program di Masjid Pasir Gajah, Air Putih, hari ini.
Katanya, simbolik penyerahan replika cek itu menjadi fasa pertama pengagihan bantuan itu kepada mangsa banjir di Terengganu.
 “Diharap sedikit sumbangan ini mampu meringankan beban penderitaan keluarga mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya.
 Setiap keluarga mangsa banjir akan menerima satu set alas tidur dan baucer dari Petronas bernilai RM150 untuk membeli barangan dan keperluan di Kedai Mesra Petronas serta membeli minyak di stesen itu.




No comments: