Halaman

25 January 2014

TDM sumbang 40 dan 45 peratus kepada pendapatan kumpulan

TDM Plantation Sdn Bhd mengunjurkan operasinya di Indonesia mampu menyumbang antara 40 dan 45 peratus kepada pendapatan kumpulan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya Badrul Hisham Mahari berkata syarikat itu melabur antara RM250 juta dan RM300 juta dalam tempoh tujuh tahun untuk menanam kelapa sawit di ladang seluas 40,000 hektar miliknya di Indonesia.

 Seluas 12,000 hektar sudah pun ditanam kelapa sawit dengan 500 hektar daripadanya telah matang.

 Badrul berkata TDM mengambil peluang daripada kematangan kelapa sawit itu untuk membina sebuah kilang minyak 60 tan menelan belanja RM80 juta sejajar dengan tuaian pertama yang dijangka menjelang 2015.

"Kumpulan itu adalah syarikat perladangan pertama di Pantai Timur yang memperoleh pensijilan 100 peratus bagi kilang dan estetnya," kata beliau selepas majlis penyampaian sijil Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari.

 Bahagian perladangan kumpulan itu menerima pensijilan RSPO pada November 2013. TDM juga mempunyai dua kilang minyak sawit di Sungai Tong dan Kemaman, Terengganu.

 Badrul berkata bahagian perladangan itu merupakan penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan iaitu kira-kira 90 peratus berbanding unit penjagaan kesihatannya. Kumpulan TDM mengendalikan empat hospital komuniti pakar di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu.

 Hospital terbaharunya, Pusat Perubatan Kuantan di Pahang, akan dibuka kepada awam tahun ini manakala Hospital Pakar Kuala Terengganu di Terengganu, dijangka siap tahun depan. "Dua hospital itu masing-masing akan mempunyai 150 katil dan 130 katil," katanya.

 

No comments: