Halaman

20 January 2014

Terengganu jadi hab Pusat Sains Dan Kreativiti islamik dunia

Oleh: Aida Abd Rahman


Terengganu bakal menjadi hab pembelajaran dan rujukan ilmu Sains islam apabila Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) berkonsepkan islamik yang pertama di Malaysia dan juga dunia, beroperasi tahun depan.

PSKT dijangka siap penghujung tahun ini akan beroperasi dengan usahasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu juga akan menjadi pusat ilmu sains bagi Pantai Timur.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ciri islamik itu sejajar dengan konsep Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

 “Sebagai `Terengganu Darul Iman’, kita bukan sahaja mempunyai pusat pengajian bercirikan Islam seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Sekolah Imtiaz, maka kita bercadang untuk menjadikan PSKT ini sebagai tempat kajian mengenai Sains islamik untuk tiga negeri, di Pantai Timur.

 “Pada hari ini kita juga melihat jelas bahawa segala ilmu bidang Sains ini dipelopori oleh orang Islam. Malah amat bertepatan jika ia dibangunkan dengan acuan negeri Terengganu itu sendiri,” katanya di Seberang Takir, semalam.

Tambah beliau, pada prinsipnya Mosti bersetuju untuk menyewa sebahagian daripada PSKT. Bagaimanapun, kerajaan mahu menjalinkan usahasama dengan kementerian supaya dapat beroperasi mengikut acuan dan kehendak kerajaan negeri.

“Kita mahu bekerjasama dan terbabit dengan operasi keseluruhannya bagi memastikan apa yang dibawa bersesuaian dengan imej  negeri Terengganu,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga mahu mewujudkan Taman Tema Sains dan Balai Cerapan Astronomi di PSKT bagi mengembangkan lagi penyelidikan dan pendidikan falak astronomi serta bidang Sains agama yang berkaitan.

 Katanya, pihaknya yakin PSKT yang dibangunkan di tapak berkeluasan kira-kira 26 hektar dan sudah mencapai 80 peratus siap itu akan beroperasi pada tahun berikutnya.


No comments: