Halaman

23 January 2014

Universiti disaran aplikasi sistem wakaf

Oleh: Noraini Jusoh

Setiap universiti di Malaysia disaran mengaplikasikan sistem wakaf sebagai satu punca pendapatan kepada universiti dan dapat mengurangkan bebanan kewangan kerajaan sekali gus menaikkan imej pusat pengajian tempatan.

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (UIM) yang dulu dikenali sebagai Kolej Islam Malaya (KIM), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, berkata tidak banyak perubahan dasar yang perlu dilaksanakan memandangkan kerajaan sudah pun bersetuju supaya institusi pengajian tinggi berusaha mencari sebahagian daripada pendapatan mereka sendiri.

“Kerajaan mensasarkan 30 peratus daripada pendapatan universiti diusahakan oleh universiti sendiri dan terpulang kepada pihak pengurusan universiti berkenaan untuk menguruskannya.

”Kalau sekiranya sebahagian hasil yang diperolehi daripada aset wakaf untuk tujuan pendidikan mesti ada satu jawatankuasa syarie yang akan menentukan.

"Pihak universiti boleh menubuhkan jawatankuasa pengawasan syarak untuk menentukan wakaf yang memberi sumbangan dan mendapat nasihat daripada jawatankuasa berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Syarahan Wacana Kepimpinan di Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.

Katanya, keuntungan yang diperoleh melalui pembangunan harta wakaf bukan sahaja boleh digunakan untuk tujuan pendidikan tetapi juga untuk kebajikan rakyat.

“Wakaf adalah satu konsep yang harus difahami secara mendalam kerana kebanyakan mereka di Malaysia masih kabur dengan konsep ini,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik sekiranya peruntukan untuk universiti diisytiharkan sebagai wakaf oleh kerajaan.

 “Jika bantuan kerajaan kepada universiti sebanyak RM1 juta misalnya, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji sebahagian daripada wang itu diisytiharkan sebagai wakaf oleh kerajaan,” katanya.

Sebagai contoh katanya, jika 20 peratus daripadanya dijadikan wakaf, maka wang itu akan semakin bertambah dan pihak universiti boleh menubuhkan jawatankuasa untuk mentadbir wang wakaf berkenaan yang boleh menjana keuntungan khususnya untuk tujuan pendidikan.

 

No comments: