04 April 2012

Abdul Alim dan Nor Jannah johan Qari dan Qariah

Oleh; Esah Abdullah

Seorang guru, Encik Abdul Alim Zakaria, 26 dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Jannah Abdul Rahman, 21 muncul johan Qari dan Qariah dalam Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu yang berlangsung di Masjid Kampung Bukit Wan, Batu Rakit semalam.



Encik Abdul Alim yang berasal dari Kampung Seberang Takir serta mengajar di Sekolah Kebangsaan Merbau Menyusup, Setiu itu pernah menjadi johan tilawah peringkat daerah pada 2004 dan berguru dengan Encik Hafas Ali, seorang tenaga pengajar di Institut al-Quran Terengganu.


Manakala Nor Jannah adalah penuntut tahun tiga di UiTM Chendering merupakan anak kesembilan dari 10 orang adik beradik berasal dari Kampung Kubang Ikan serta kembar kepada Nor Hidayah Abdul Rahman iaitu johan Tilawah al-Quran peringkat negeri tahun lalu,

Naib johan dimenangi, Encik Kamaruzaman Daud,26 dari Jalan Pusara dan tempat ketiga, Encik Mohd Rifin Sulong, 43, dari Kampung Gelugur Kedai manakala naib johan Qariah ialah Hajah Rogayah Mohamad,54, dari Kampung Tualang, Manir dan ketiga Puan Fatimah Embong, 59 dari Kampung Tebauk, Bukit Tunggal.

Johan menerima hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala pusingan manakala naib johan RM1,000 dan tempat ketiga (RM800) serta keempat (RM400).

Lapan peserta mengambil bahagian dalam tilawah peringkat daerah tahun ini iaitu masing-masing empat peserta lelaki dan empat wanita.

Johan Qari dan Qariah akan mewakili daerah Kuala Terengganu ke majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri yang akan diadakan di Padang Astaka Kemaman pada 15 Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat telah merasmikan majlis berkenaan sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...