Halaman

01 April 2012

Kerajaan belanja jutaan ringgit bantu nelayan di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tetap membantu nelayan di Marang dengan menyediakan pelbagai bantuan dengan kos melebihi jutaan ringgit bagi memastikan golongan itu dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun menyedari majoriti mereka tidak memihak kepada kerajaan.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata majoriti kumpulan nelayan di Marang adalah penyokong pembangkang dan jika dibuat perbandingan daripada 1,000 nelayan, kira-kira 700 daripada mereka memilih Pas.

“Kerajaan negeri dan Pusat menjalankan pelbagai pembangunan dan kemudahan kepada nelayan supaya mereka dapat terus bekerja dan mencari rezeki mereka. Terlalu banyak yang kita sediakan, bagaimanapun mereka masih tidak sedar sehingga membelakangkan kerajaan
ketika Pilihan Raya Umum.

“Bagaimanapun, saya yakin dan percaya kini sudah ada perubahan dan kesedaran di kalangan mereka (nelayan). Ada peningkatan di kalangan nelayan yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) berikutan banyak kehendak mereka kita laksanakan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara projek berkaitan termasuk mendalamkan Sungai Marang yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dengan kos RM30 juta, selain peruntukan tambahan kira-kira RM500,000 bagi mendalamkan semula sungai itu.

Selain itu, projek membangunkan prasarana longkang Sungai Kerok bernilai kira-kira RM5 juta, longkang Sungai Riting (fasa i) RM500,000, (fasa ii) RM300,000 dan projek yang terbaru, longkang Sungai Riting (fasa iii) menghala ke Kelulut dan Sungai Marang melibatkan kira-kira RM3juta.

“Kita juga menyiapkan Marang Waterfront (fasa i) bernilai kira-kira RM4 juta, longkang di Bandar Marang, Alor Pok Bang dan banyak lagi dalam proses membangunkannya dari masa ke semasa kerana peruntukan bagi tujuan itu sudah disediakan.

“Alhamdulillah, dengan pembinaan prasarana longkang dan tebatan banjir kita hampir berjaya menyelesaikan masalah banjir di kawasan Rhu Rendang terutama Bandar Marang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengadakan lawatan ke daerah Marang pada 7 Februari lalu meluluskan peruntukan serta-merta RM3 juta bagi tujuan pembinaan jalan baru dan pembesaran jalan kampung di seluruh daerah itu.

Peruntukan itu tidak termasuk projek pembesaran parit dan longkang di daerah tersebut yang memerlukan pembinaan segera bagi mengatasi pelbagai masalah seperti banjir kilat.

Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM750,000 bagi setiap DUN di Parlimen Marang tahun ini untuk membina jalan-jalan kampung dan membesarkan jalan sedia ada.