Halaman

07 November 2012

Kayu gaharu beri hasil lumayan

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat 100 orang petani di negeri ini terlibat dengan projek tanaman gaharu (karas) sama ada dalam bentuk skala kecil atau besar yang melibatkan kawasan seluas 120 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, mereka tidak perlu menyediakan kawasan yang luas kerana setiap 0.4 hektar sudah mampu ditanam sehingga 500 pokok.

“Jika tidak mahu mengusahakan sehingga matang iaitu lima tahun, mereka boleh menjual anak pokok yang mampu mencecah sehingga kira-kira RM300 satu pokok,’’ tambahnya.

Katanya, kayu gaharu merupakan salah satu bahan untuk menghasilkan minyak wangi dan boleh dieksport kerana potensinya yang besar berikutan permintaannya yang tinggi di Asia Barat.

Katanya, selain industri minyak wangi, kayu gaharu turut digunakan untuk membuat perhiasan, tonik minuman, teh dan sabun,

 Manakala di negeri ini gaharu diguna bagi industri minyak wangi dan teh yang dihasilkan melalui daun pokok tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan negeri amat menggalakkan pemilik tanah memajukan tanaman ini kerana potensinya yang besar berikutan permintaannya yang tinggi.

 Beliau kemudiannya menyeru orang ramai yang mempunyai tanah terbiar agar memanfaatkannya dengan tanaman pokok gaharu kerana mampu memberi pulangan lumayan.