Halaman

20 September 2013

Idris dijangka kekal Ketua UMNO Bahagian Besut


Salleh Abd Latif (Setiausaha UMNO Bahagian Besut).

Oleh: Mohammad Ishak 

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh dijangka mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut, apabila tiada calon lain menawarkan diri bertanding merebut jawatan nombor satu di bahagian itu pada pemilihan parti Oktober depan.

Dua lagi penyandang bagi jawatan Timbalan Ketua yang dipegang oleh ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, Naib Ketua, ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof juga tiada persaingan selepas borang pencalonan dileluarkan oleh bahagian itu petang semalam.

Satu lagi jawatan yang tidak dicabar ialah Ketua Wanita UMNO apabila penyandangnya, Engku Naimah Engku Taib tidak dicabar sesiapa daripada pergerakan berkenaan.

Setiausaha UMNO Bahagian, Salleh Ab Latif, berkata, berdasarkan rekod borang yang didaftar oleh urusetia bahagian mengikut jawatan tiga jawatan berkenaan tidak ada calon lain yang menawarkan diri merebut jawatan berkenaan.

Bagaimanapun,katanya, pertandingan dijangka sengit bagi jawatan Ketua Pemuda apabila tiga calon bakal menawarkan diri merebut jawatan yang dikosongkan ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa yang tidak bertanding kerana melepasi umur.

Bagi jawatan Ketua Puteri pula dua calon akan berentap selepas ketua sekarang, Che Senah Sulaiman juga akan melepaskan jawatan atas faktor sama seperti ketua pemuda.

Katanya, penyertaan paling hebat ialah bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian apabila 56 borang dikeluarkan kepada mereka yang berminat untuk menawarkan diri dalam pertandingan berkenaan.

Ia diikuti jawatankuasa pemuda membabitkan 36 orang, wanita 32, dan puteri, 20. Salleh berkata, sehingga jam 5 petang semalam urusetia sudah merekodkan sebanyak 207 borang dikeluarkan kepada ahli parti yang akan bertanding dalam pelbagai jawatan parti.

Bagaimanapun,katanya, kedudukan sebenar calon terbabit akan diketahui kira-kira jam 6 petang esok selepas semua calon yang menawarkan diri menyerahkan borang masing-masing secara rasmi kepada urusetia berkenaan.


No comments: