Halaman

16 September 2013

JBC muncul juara pasukan terbaik


Pasukan Jami Bike Center (JBC) dari Kuala Lumpur muncul juara pasukan terbaik keseluruhan pada Kejohanan Terengganu Century Ride 2013 (TCR) bersempena sambutan Hari Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2013 di Dataran Batu Burok semalam.

 Naib juara kumpulan menjadi pemilik pasukan Bike 360 dari Singapura menewaskan juara edisi pertama yang juga wakil tuan rumah, Team1 Permai di tempat ketiga.

 Kejohanan kali kedua itu disertai seramai 1,000 pelumba dari dalam dan luar negara melibatkan enam kategori yang di pertandingkan iaitu kategori terbuka lelaki; wanita; veteran lelaki (35 hingga 45 tahun); senior veteran (46 tahun keatas) dan dua kategori baru melibatkan kategori junior bawah 18 tahun serta pasukan terbaik keseluruhan.

 Kategori lelaki terbuka dimenangi oleh Lim Chin Nian dengan catatan masa 4 jam, 19 minit menewaskan pencabar terdekat Ahmad Haidar Anuwar (Jami Bike) yang ketinggalan dua minit di belakang (4:21m) dan tempat ketiga Chin Ching Chai.

Bagi kategori terbuka wanita pula dimenangi oleh pelumba dari pasukan Jami Bike, Siti Hasliza Md Shah yang menamatkan kayuhan sejauh 160 kilometer dengan catatan masa 4 jam, 21 minit meninggalkan Marina Chen Ling Ting untuk tempat kedua dan Shinghui Lim tempat ketiga.

 Manakala juara bagi kategori veteran lelaki menjadi milik Yap Soon Heng (Bike World) dengan masa 4 jam, 21 minit menewaskan Abdul Khalib Zakaria (kedua) dan ketiga, Hafiz Wong Abdullah (Tripaku).

 Pelumba tempatan, Baharin Yusor dari Bukit Besar Cycling Team (BBCT) sekadar berpuas hati selaku naib juara setelah ketinggalan lima saat dibelakang juara kategori senior veteran, Jasper Silkeborg dan tempat ketiga pelumba dari Thailand, Chacrit Ngeonsanga.

 Kategori yang baru diperkenalkan menerusi acara junior bawah 18 tahun diungguli pelumba dari pasukan Kicik-kick Lembu Jaga, Muhammad Hafidz Zainal, manakala tempat kedua, Wan Muhammad Irhan Wan Ahmad Amli (Team1 Permai) dan ketiga, Mohamad Amin Idros ( Heritage Cycle Team).

 Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas, Wan Mohd Lotfi Wan Ismail yang turut diiringi Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali selaku penaja rasmi penginapan peserta kejohanan.

 Sementara itu ketua pasukan JBC, Jaminuddin Ismail berkata, saingan edisi kedua ini lebih santai jika dibandingkan tahun lalu sekaligus memberi peluang kepada pasukannya untuk muncul juara keseluruhan. Katanya, menjelang kejohanan kali ini pasukan tidak banyak membuat persediaan rapi sebaliknya meneruskan aktiviti kayuhan setiap minggu selain menyertai program yang dianjuran di sekitar ibu negara.

“Alhamdulilah pada edisi kali ini kita menghantar wakil seramai 30 peserta dan sebahagian daripada mereka berjaya berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

 “Insyallah sekiranya acara ini diteruskan pada tahun depan, kita akan terus memberi sokongan dengan menjadikan program ini sebagai aktiviti wajib kami,” katanya ketika ditemui sejurus tamat kejohanan.

 Manakala wakil Bike 360 dari Singapura, Mohd Fazli Fazbol mengakui pengajuran kali ini lebih tersusun dengan laluan yang mendatar, namun masih mencabar terutamanya apabila melalui kawasan tepi pantai dengan keadaan angin yang kuat.

 “Berdasar prestasi musim lalu, tahun ini pasukan kami mampu merangkul gelaran naib juara malah saya sendiri berjaya meraih tempat keempat dalam kategori terbuka lelaki berbanding tempat kelapan sebelum ini.
“Malah kejohanan ini juga menjadi platform buat pasukan kami untuk mengenali dengan lebih rapat peminat sukan lumba basikal di Malaysia selain berpeluang menikmati keindahan destinasi pelancongan di Terengganu terutamanya di kawasan pantai,” katanya.

 Pada kejohanan itu juga, pasukan Bike 360 juga dinobatkan selaku pasukan paling ramai menghantar peserta dengan 130 penyertaan.

 

No comments: