Halaman

02 September 2013

Keunikan Merdeka Raya Parlimen Kemaman

Oleh: Noraini Jusoh

Penyertaan 258 bot nelayan dalam program jelajah merdeka menggunakan bot fiber sambil mengibarkan Jalur Gemilang menjadi keunikan sambutan Merdeka Raya Parlimen Kemaman.



Sempena sambutan Merdeka ke-56 dan Merdeka raya 2013, lebih 1000 peserta mengambil bahagian dalam perarakkan menggunakan bot sejauh 55 kilometer bermula di Kuala Kerteh dan berakhir di Kuala kemaman.

Ia turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai perbarisan dalam air yang terbesar dan belum pernah dibuat sebelum ini.

Ahli Parlimen Kemaman, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kibaran Jalur Gemilang di pesisir pantai memberikan suatu keindahan kepada sambutan kemerdekaan pada kali ini dan menjadi pengalaman baru khususnya buat penduduk Kemaman.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada yang telah menjayakan program ini dan hadir bagi merayakan Hari Kemerdekaan dan Hari Raya bagi Parlimen Kemaman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis rumah terbuka Parlimen Kemaman yang berlangsung di Pantai Kuala Kemaman, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut hadir ke majlis tersebut sekaligus menyempurnakan pemberian saguhati kepada bakal-bakal haji daerah Kemaman tahun 1434H/2013M yang diraikan dalam majlis rumah terbuka berkenaan.

Kira-kira 20,000 orang menghadiri rumah terbuka yang menyajikan 35 gerai yang menyediakan pelbagai juadah menarik.