Halaman

17 September 2013

MB alu-alukan pelantikan Presiden PBSNT baru

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengalu-alukan perlantikan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebagi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baru.

 Beliau berharap dengan perlantikan itu, PBSNT mampu memikirkan idea baru, menjalinkan kerjasama antara persatuan daerah dan sebagainya sekaligus membuat perubahan yang membanggakan.

 Katanya, pendekatan itu cukup penting bagi membentuk pasukan yang lebih mantap pada masa depan, serta mengembalikan kegemilangan skuad Pebelum yang pernah dicipta sebelum ini.

 “Saya juga memberi peringatan awal kepada presiden baru supaya memastikan pemain import yang dipilih untuk mewakili Terengganu musim depan setimpal dengan pelaburan yang dibuat.

“Jangan memilih dan mengharapkan pemain import yang dicadang ejen melalui rakaman video saja .,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Jubli Emas Hari 1Malaysia peringkat Terengganu, di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, dia mengambil serius perkara itu, jika silap pilih permain import buruk padahnya dan Datuk Wan Ahmad Nizam perlu menanggung risiko.

 “Jadi sebab itulah beliau telah berbincang dengan exco sukan (Pengerusi Jawatakuasa Belia dan Sukan, YB Rozi Mamat) serta pihak pengurusan mengenai perkara itu.

 “Pihak pengurusan PBSNT turut meninjau pemain import di Croatia dan Bosnia (Hergovina) bagi menambah kekuatan kesebelasan skuad Terengganu,” katanya.

Datuk Wan Ahmad Nizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, menang tanpa bertanding selepas hanya namanya diumumkan layak bertanding daripada dua pencalonan yang diterima.

Beliau dipilih menerajui persatuan tersebut bagi menggantikan Dato’ Che Mat Jusoh yang telah menyandang jawatan itu selama lebih 14 tahun sebelum ini.

 Perkara tersebut diumumkan dalam Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 yang turut menyaksikan Naib Presiden PBSNT yang juga pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lalu.

 

No comments: