Halaman

19 September 2013

Pelan pelaksanaan daerah baru Kuala Nerus diancar

Oleh; Esah Abdullah 

Kedudukan geografinya yang seimbang dalam konteks sempadan pentadbiran daerah baru dan tidak melibatkan perpindahan penduduk serta pembangunan boleh dilaksanakan dengan segera antara sebab utama pemilihan kawasan Kuala Nerus sebagai daerah baru.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perletakannya dalam radius lima kilometer sahaja daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan juga Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sekitar.


“Pemilihan kawasan ini bertujuan untuk membangunkan kawasan Terengganu Utara daerah Kuala Terengganu yang semakin pesat membangun,” katanya di majlis Perasmian Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran daerah Kuala Nerus di Dewan Sivik Padang Nanas, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains Teknologi, Alam Sekitar, Teknoloji Hijau dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.



Kenamaan lain yang hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Encik Kamaruddin Shamsuddin; Pengarah Perancang Bandar dan Desa Terengganu, Haji Mohd Anuar Maidin dan Pengurus Kanan Projek Daerah Baru Kuala Nerus, Haji Wan Harujan Sulaiman.



Katanya, tapak pusat pentadbiran daerah ini tidak melibatkan pengambilan balik memandangkan ianya dirancang di atas tanah milik kerajaan kecuali untuk pembinaan dan pembesaran tiga laluan masuk ke pusat bandar yang melibatkan tanah milik.

“Pembangunan pusat pentadbiran ini aan dilaksanakan secara bersepadu dengan pelaksanaan cadangan yang terkandung dalam pelan induk tebatan banjir dan system perparitan Baroh Tok Jiring untuk menangani masalah banjir,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya mengalu-alukan penglibatan masyarakat untuk memberi maklum balas serta idea mengenai pelan pembangunan yang dirancang.

“Semua orang awam diberi peluang untuk menyemak laporan kajian berkenaan serta mengemukakan ulasan dan bantahan yang dibuka mulai 2 September hingga 1 Oktober depan,” katanya.
 









No comments: