Halaman

02 September 2013

Program pengajian berkembar akan diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memberi jaminan cadangan mewujudkan program pengajian berkembar dengan Jordan University of Science and Technology bertempat di Sekolah Imtiaz Besut tetap akan dilaksanakan mengikut perancangan asal.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya telah menghantar maklumat-maklumat berkaitan kepada universiti berkenaan di Jordan termasuk berkaitan skim gaji kakitangan, khususnya para pensyarah, seperti diminta.

 Beliau menjelaskan, sebaik mendapat maklum balas tentangnya, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut termasuk mendapatkan lesen sebelum memulakan operasi.

"Kita sedang dalam proses rundingan dan baru-baru ini, mereka (pihak Jordan University of Science and Technology) minta kita maklumat dari segi skim gaji pensyarah-pensyarah.

"Kita dah hantar maklumat ke sana dan sekarang ini kita tunggu (maklum balas), selepas ini, kita akan berunding dengan Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan lesen," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui para pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Ijazah Sesi 2013/2014 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, baru-baru ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd. Zuber Embong dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Zakaria Yusof.

Dato’ Seri Haji Ahmad diminta mengulas sejauh mana perkembangan tentang cadangan mewujudkan program pengajian berkembar dengan universiti berkenaan bertempat di Sekolah Imtiaz Besut di bawah kelolaan YT.

 Difahamkan, YT kini menerima panggilan daripada Jordan University of Science and Technology yang ingin mengetahui perkembangan terbaharu tentang program itu.

Pada Ogos tahun lalu, satu majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara YT dengan Jordan University of Science and Technology selesai diadakan di sini tentang persetujuan kedua-dua belah pihak bagi merealisasikannya.

Turut difahamkan, kira-kira 400 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil mengikuti pengajian berkembar itu dalam pelbagai jurusan termasuk farmasi, pergigian dan kejuruteraan.

Dalam pada itu, Menteri Besar memberitahu, sekiranya semua berjalan lancar, program pengajian itu dijangka bermula September tahun depan.

 "Kita serah kepada mereka (universiti berkenaan di Jordan), untuk tahun ini kemungkinan tak sempat, mungkin tahun depan (bermula) sebab untuk masuk ke semua universiti seluruh dunia, semua sama iaitu pada September," ujarnya.