Halaman

19 September 2013

Zulkifli lancar "Setiu Cycling Gangz"

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zulkifli ketika berucap di Rhu 10, semalam.
SETIU: Peserta program Kayuhan Sihat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 56 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) disaran supaya terus melakukan aktiviti berbasikal dan tidak hanya berbasikal ketika menyertai program semata-mata.

Ahli Parlimen Setiu Che Mohd Zulkifli Jusoh, berkata aktiviti berbasikal banyak memberi manfaat kepada kesihatan kerana ia adalah amalan hidup sihat dan perlu dilakukan secara berterusan.

“Program sebegini adalah satu program yang baik tetapi jangan setakat ketika ada program sahaja dan kalau boleh ianya hendaklah dilakukan berterusan kerana berbasikal ini amat baik untuk kesihatan.,” katanya ketika merasmikan program itu di peringkat daerah Setiu di Pantai Ru 10, Penarik, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, menjaga atau memelihara kesihatan itu adalah tanggungjawab bersama seiring dengan visi Kementerian kesihatan iaitu ‘A Nation Working Together For Better Health”. “Sebagai Ahli Parlimen, saya sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi menganjurkan program seperti ini.

 Saya yakin hanya melalui rakyat yang sihat dan cergas negara ini mampu menjadi sebuah negara maju 2020 nanti,” katanya.

Menurutnya, akibat perubahan hidup, masyakat kini kurang aktif kerana mereka tidak lagi berjalan kaki atau berbasikal tetapi sebaliknya kini ada pelbagai jenis pelbagai pengangkutan moden.

“Amat membimbangkan kita sekarang ialah “trend” kanak-kanak sekarang yang lebih mengemari permainan elektronik yang hanya mengunakan jari-jemari dan menyebabkan mereka menjadi tidak aktif dan ini akan memburukan lagi generasi pewaris negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan lebih banyak agensi kerajaan dan swasta menganjurkan aktiviti sihat sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan itu yang banyak memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Zulkifli (kiri) dan peserta mengaminkan doa sebelum kayuhan.
Sementara itu, seramai 120 peserta menyertai kayuhan dari Kemaman ke Besut itu yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan semua daerah beberapa agensi luar antaranya ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPM).

Zulkifli juga turut melancarkan kelab berbasikal Daerah Setiu yang digelar “Setiu Cycling Gangz”. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Mohd Jusoh, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Mohammad Omar dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Rohayaty Muda.


No comments: