Halaman

11 February 2014

Lafaz sumpah Azlan

Oleh: Aida Abd Rahman
Video oleh Mohd Yahya Muda



“Saya Azlan Johar, penolong jurulatih bola sepak Liga Super T-Team musim 2014 dengan sesungguhnya pada hari ini, mengangkat sumpah dengan nama Allah s.w.t bahawa pada 1 Februari 2014, kira-kira jam 9.40 malam di dalam terowong semasa menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, saya dalam keadaan sedar dan waras melihat sendiri kejadian pemain saya Evaldoe Rodriques pemain T-Team yang memakai jersi nombor 16 ditumbuk di bahagian muka,” demikian ayat terkandung dalam lafaz sumpah Azlan, malam tadi.

Selepas Azlan, seorang pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali turut melafaz sumpah yang sama, dengan disaksikan Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Ab Rashid Jusoh dan semua pegawai serta pemain T-Team dan Terengganu. Majlis mengangkat sumpah berkenaan diadakan sempena Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Azlan yang ditemui selepas majlis itu berasa lega dan bersyukur kerana dapat menyelesaikan satu perkara yang cukup penting bagi membuktikan kebenaran dakwaannnya sebelum ini, bahawa insiden di Larkin itu benar-benar berlaku.



 “Saya rasa apa yang sudah saya dan pemain saya lakukan pada malam ini adalah satu langkah terpuji bagi membuktikan kebenaran kejadian itu.

"Terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa memberi sokongan cukup padu kepada pasukan kami,” katanya.

Terdahulu, beliau sebagai individu yang menyaksikan `insiden Terowong Larkin' menceritakan detik-detik bagaimana kejadian itu terjadi dan menyifatkannya amat menggerunkan, sekali gus mendorong T-Team menarik diri dari meneruskan perlawanan pada babak kedua, 1 Februari lalu.



No comments: