Halaman

08 July 2013

PRK KUALA BESUT: WUJUDKAN PERTANDINGAN YANG SIHAT DAN MENJAGA KESUCIAN BULAN RAMADHAN

Analisa khas Ruslan Rahman dari Kuala Besut:


Suasana Kuala Besut masih lagi tenang, walaupun tarikh pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut sudah diumumkan iaitu pada 24 Julai dan penamaan calonnya pada 12 Julai.
  Biarpun penamaan calon akan diadakan di Kompleks Rakan Muda Kota Putera (Kg.Raja) hanya tinggal 4 hari lagi, tetapi suasana PRK masih lagi suram, lebih-lebih lagi pihak pembangkang.
  Apakah Pas merasakan terlalu sukar untuk menang, lantas jentera mereka tidak dapat digerakkan dengan bersemangat atau sebaliknya bakal membuat strategi serangan akhir?
 Namun di pihak jentera BN, mereka lebih mendahului, malah pengumuman calon BN akan dibuat terlebih dahulu oleh BN pada sebelah siang esok, 9 Julai dan Pas dijangka mengumumkan di sebelah malam.  Memanglah dengan angka 2 434 majoriti kemenangan BN dalam PRU 13 baru lalu, rata-rata bercakap tentang kesukaran pembangkang untuk mewujudkan persaingan, jauh sekali untuk menang.
 Akan tetapi, BN mengambil pendekatan jangan selesa dengan keadaan itu, bimbang menjadi alpa, sebab itu BN Besut meletakkan sasaran menambah majoriti kemenangan sehingga 4,000 undi.
  Dengan sasaran 4,000 undi yang diletakkan itu menjadikan jentera pilih raya kecil BN itu tidak duduk sahaja, malah terpaksa berhempas pulas untuk mencapai angka majoriti kemenangan sebanyak itu. Kehidupan masyarakat di Kuala Besut tidaklah ketara dari segi perbezaan politik kerana rata-rata memilih untuk tidak bersengketa dan mahu mengekalkan kehidupan yang harmoni.
  Pendekatan wakil rakyat BN sebelum ini, Allahyarham Dr Rahman yang melayani semua pihak dan difahamkan dalam ucapan Allahyarham di mana mana tidak pernah mengecam mana-mana pihak, membuatkan imej BN amat suci di Dun Kuala Besut.
 Allahyarham dikatakan mengamalkan pendekatan profesional sebagai seorang doktor yang melayani semua pesakitnya tanpa mengira soal perbezaan fahaman parti politik, kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya.
 Suasana kempen di bulan Ramadhan nanti mungkin memberi kebaikan bagi mengelakkan ketegangan dan kempen-kempen keterlaluan, terutama oleh pihak lawan sebelum ini. Parti Pas yang terlalu inginkan kemenangan bagi menjadikan 16-16 kerusi DUN Terengganu, tetapi pada masa yang sama mereka berdepan dengan PRK Kuala Besut yang merupakan kubu kuat BN membuatkan mereka jadi ‘tidak menentu'.  
   Hendak menggunakan taktik dan strategi yang keras dan kasar amat tidak sesuai, kerana ia berlangsung di bulan Ramadhan.
  Namun ada juga pemimpin Pas yang kaitkan Ramadhan itu bulan jihad dalam konteks peperangan. Penerangan Pemuda Pas Pusat melalui kenyataan terbuka ketuanya secara terang-terangan mengaitkan pilihan raya di bulan Ramadhan adalah sesuai dengan bulan jihad, kononnya sama dengan peperangan yang Nabi Muhammad lalui di bulan Ramadhan.
  Inilah perbuatan yang tidak wajar mengaitkan Pas dan membuat anologi atau bandingan dengan sirah Nabi Muhammad, seolah-olah orang Islam lain yang tidak menyertai Pas tidak berada di pihak Islam dan Nabi Muhammad.
 Apa pun kita berharap Pas menjaga kemurnian dan kesucian agama Islam di bulan Ramadhan ini supaya tidak menafsirkan ‘jihad’ itu sebagai peperangan, dalam dalam konteks ini peperangan yang berhadapan dengan BN dalam PRK.
 Marilah kita sebagai umat Islam bersatu menentang musuh Islam yang sebenar iaitulah golongan yang anti Islam dan Melayu di negara ini.
  Kita yakin semua boleh mengenali siapa kawan yang sebenar dan siapa musuh yang sebenar, janganlah kerana menurut hawa nafsu inginkan kuasa parti yang ‘bertopengkan Islam” sanggup berpakat dengan dengan pakatan atau parti yang terang-terangan memusuhi Islam dan sanggup untuk memusnah kerajaan yang diketuai Melayu Islam yang sedia ada ini.



No comments: