Halaman

08 August 2013

Aidilfitri lebih bermakna di rumah baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika sebelum ini, seorang ibu tunggal terpaksa hidup berpindah-randah bersama empat anak dan seorang cucu akibat desakan hidup dan tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaimanapun, sejak setahun lalu, Puan Hasnah Ahmad, 49, tidak lagi gusar dan tertekan dengan beban sewa yang tinggi dan mencari tempat perlindungan yang selesa.

Ibu kepada lapan anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), Siti Robiah Othman, 21 tahun itu kini menetap di perumahan berkembar Kampung Kubur Sharif, Padang Nenas, Batu Rakit. Malah, menurut ibu kepada tujuh cahaya mata itu, satu Syawal kali ini adalah yang pertama beraya di rumah baru berkenaan bersama 39 keluarga lain di kawasan perumahan itu.


“Alhamdulillah, sungguh selesa, rasa lebih tenang dan tenteram sejak tinggal di rumah yang disediakan kerajaan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu ini.

 “Dengan ruang tamu, dapur dan tiga bilik tidur serta persekitaran yang agak luas untuk bercucuk tanam, saya dan keluarga rasa rumah begini sudah cukup baik untuk kami berlindung,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Puan Hasnah yang mula menetap di rumah itu sejak 20 Ogos lalu, menyifatkan rumah bantuan perumahan itu seperti `bulan jatuh ke riba’ kerana sudah lama dia dan keluarga mengimpikan sebuah kediaman yang selesa serta dapat berteduh dari hujan panas tanpa sebarang risiko berbanding mendiami di rumah serba kekurangan di kawasan pantai sebelum ini.

Dia yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 termasuk RM150 untuk Siti Robiah yang memegang kad OKU, merasakan hari raya kali ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Anak-anak semua yang tinggal di luar Terengganu, insya-Allah akan balik berhari raya di rumah ini.

“Walaupun persiapan ala-kadar saya tetap bersyukur dan gembira kerana tinggal di rumah jauh lebih sempurna berbanding sebelum ini, selain dikelilingi jiran tetangga yang baik hati serta tidak lokek menghulurkan bantuan walaupun kebanyakan kami hidup`kais pagi makan pagi’,”katanya.

Untuk rekod, sebanyak 40 Perumahan berkembar berharga RM45,000 seunit dengan kos keseluruhan kira-kira RM2 juta dibangunkan di kawasan itu menerusi sumbangan Maidam dengan Affin Islamik Bank RM1 juta, manakala selebihnya dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) bagi kerja-kerja menyediakan kemudahan infrastruktur.

Peserta yang menduduki rumah Maidam tidak akan diberi hak milik sebaliknya dikenakan sewa RM50 sebulan kerana konsep agensi berkenaan membantu penduduk miskin berkenaan, sementara mereka memiliki rumah sendiri.


No comments: