Halaman

10 August 2013

Atlet sukan Woodball raih insentif tertinggi

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suyara Sukur (pelatih)
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Mohd Fauzan Mohamad
Percubaan kali pertama atlet sukan Woodball, Mohd Fauzan Mohamad, 19, pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 Kuala Lumpur, membuahkan hasil apabila beliau menerima insentif tertinggi daripada kerajaan negeri.

Mohd Fauzan memenangi pingat emas bagi kategori individu lelaki dengan insentif RM5000, serta pingat perak bagi kategori berpasukan lelaki dan beregu lelaki, masing-masing sebanyak RM3000, menjadikan insentif keseluruhan yang diterimanya RM11,000.

"Saya bangga kerana ia adalah penyertaan pertama saya bagi acara Woodball dan permainan ini baru diperkenalkan dalam Sukma. Sebelum ini saya hanya bermain woodball sebagai sukan riadah di sekolah sahaja.

Syed Muhammad Iskandar Putra
"Oleh kerana sukan ini tidak dipertandingkan pada Sukma tahun hadapan, jadi saya mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan. Insyaallah, saya yakin akan menyumbang lebih banyak pingat emas kepada kontinjen Terengganu pada Sukma 2015 nanti,” katanya.

Selain Mohd Fauzan, Syed Muhammad Iskandar Putra, turut menjadi antara penerima insentif tertinggi apabila menerima RM10,000 menerusi dua pingat emas yang dimenangi bagi acara mendayung, iaitu men pairs dan men eight sepanjang temasya itu berlangsung.

Beliau yang sudah dua tahun menyertai Sukma akan menggunakan insentif yang diterima bagi tujuan pembelajarannya di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dalam jurusan Pengurusan Harta Tanah.

Ain Wahida Ibrahim
Selain itu, atlet sukan lawan pedang, Ain Wahida Ibrahim merupakan satu-satunya atlet wanita yang menerima pingat berganda di mana beliau mendapat insentif RM4000 bagi dua pingat gangsa yang dimenangi dalam acara sabre wanita dan sabre berpasukan.

YB Rozi Mamat
"Saya sedih kerana saya menjadi harapan untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen Terengganu bagi sukan lawan pedang.Tapi Alhamdulillah, walaupun pingat gangsa, saya masih menyumbang pingat kepada kontinjen.

"Alhamdulillah, insentif yang diterima menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus berjaya dalam sukan ini,” katanya kepada pemberita.

Majlis penyampaian insentif kemenangan Sukma Ke-16 Kuala Lumpur yang berlangsung di Taman Tamadun Islam, baru-baru ini telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Rozi Mamat.

 


No comments: