Halaman

05 August 2013

Makna hari raya empat beradik

Oleh; Esah Abdullah 

Alah bisa tegar biasa, begitulah boleh diandaikan kepada empat beradik iaitu Muhammad Kamarul Hamizan, 11, Kamalia Nur Balqis, 9, Fatin Nurzalia, 7 dan Muhammad Faris Fauzan,6 dari Rumah Tunas Harapan (RTH) Seberang Takir, kelihatan ceria untuk menyambut kedatangan hari raya yang bakal menjelang beberapa hari lagi.



Keceriaan yang terpamir pada wajah mereka mungkin kerana sudah biasa menjalani kehidupan bersama adik-beradiknya di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi yang masuk tahun ketiga tahun ini.


Empat beradik ini adalah diantara 250 orang pelajar anak yatim dan pelajar fakir miskin yang menerima Pengurniaan Sumbangan Hari Raya daripada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu semalam.

Kisah mereka yang diabai ibu bapa pernah mendapat liputan media masa beberapa tahun lalu dan diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menempatkan mereka di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir.

Namun begitu anak sulung daripada empat beradik iaitu Muhammad Kamarul Amizan berkata tahun ini ingin menyambut raya di rumah Tok Ki di Pulau Duyong.

Memandang riak wajah yang jernih empat beradik itu mungkin ada menyimpan rasa rindu kepada kedua ibu bapanya tapi tidak mampu dilahirkan dengan kata-kata.

Apabila soalan rindu ibu diajukan, Muhammad Kamarul mengelengkan kepala sambil membelek baju raya ditangan yang baru diterima.

Penulis difahamkan ibu bapa empat beradik berkenaan tidak pernah datang ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi sejak kanak-kanak itu tinggal di situ sejak tiga tahun lalu cuma di ziarahi datuk sebelah bapanya yang tinggal di Pulau Duyong.
 

No comments: