09 Jun 2011

Skuad bola jaring hadiahkan pingat perak

Oleh: Aida Abd Rahman



Skuad bola jaring Terengganu menepati sasaran sekurang-kurangnya memungut pingat perak selepas dijinakkan juara bertahan, Wilayah Persekutuan, dalam perlawanan akhir bola jaring Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 Kuala Lumpur, di Stadium Juara Bukit Kiara, pagi ini.

Terengganu terpaksa akur dengan kelebihan jaringan yang besar memihak pasukan tuan rumah, 49-21, sekaligus membenarkan Wilayah Persekutuan terus mempertahankan kejuaraannya bagi acara itu.Sementara skuad bola jaring Kedah muncul pemenang pingat gangsa.


Dalam pada itu, Terengganu berjaya melangkah ke final selepas mengalahkan Johor dalam perlawanan sengit yang berakhir dengan jaringan 47-42.

Dalam perlawanan separuh akhir itu, Tuan Nor Farhah Nur Pa sebagai penjaring gol utama (GS) beraksi cemerlang dengan menjaringkan 36 gol dan dibantu oleh Nur Hazwani Izzati yang menjaringkan lima gol serta Siti Nor Farhana, enam gol.



Dengan kejayaan mara ke final, pasukan bola jaring menghadiahkan koleksi pingat perak ke enam buat kontinjen Terengganu yang menjadikan pungutan keseluruhan 39 pingat melibatkan 23 emas dan 10 gangsa.

Sementara skuad bola jaring Wilayah Persekutuan menepati ramalan mara ke peringkat akhir pada Sukma kali ini selepas menumpaskan Kedah 61-37 di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Berbaki tidak sampai 40 pingat emas lagi, Terengganu masih kekal di tangga pertama dengan diekori kontinjen Johor.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...