Halaman

15 November 2011

Fitnah tangkap khalwat - MB buat laporan polis

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said membuat laporan polis berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 3.35 petang, hari ini (14 November).



"Saya diarah untuk membuat laporan polis berhubung fitnah itu, dan bersama ini saya serahkan bahan cetak fitnah tersebut (kepada polis) bagi membantu siasatan,” kata Datuk Wan Ahmad Nizam kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Turut serta, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Kata Wan Ahmad Nizam, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas individu yang melakukan perbuatan memfitnah itu.

Sebelum ini, Dato' Seri Ahmad berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa penulis blog yang dikatakan memfitnah beliau kononnya ditangkap khalwat.