Halaman

01 January 2013

Lapan sekolah di Hulu Besut ditutup hari ini


Sekolah Kebangsaan Pasir Akar antara yang ditutup

Oleh: Mohammad Ishak 

Lapan buah sekolah termasuk dua sekolah menengah yang kebanyakannya di Hulu Besut tidak dibuka untuk sesi persekolah penggal pertama 2013 sebaliknya  ditutup ekoran berlakunya banjir gelombang kedua yang melanda daerah ini sejak petang semalam sehingga pagi ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassn berkata, tiga daripada sekolah berkenaan ditutup kerana dinaiki air, tiga lagi dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir dan dua sekolah menengah ditutup iaitu SMK Putra dan SMK Bukit Payong kerana jalan menuju ke sekolah berkenaan ditenggelami banjir yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan pagi ini.

Katanya, pihaknya telah menghubungi dan memantau keadaan banjir yang berlaku di sekolah-sekolah terbabit dan mendapati ianya terpaksa ditutup demi keselamatan pelajar dan murid.

“ Semua pentadbir sekolah berkenaan telah diminta untuk menganti hari cuti persekolahan yang diambil pada hari ini pada satu hari yang akan mereka tentukan kemudian”, katanya

 Menurutnya, seramai 3,026 murid telah mendaftar memasuki Tahun 1 di daerah Besut bermula sesi persekolah tahun ini dengan seramai 620 di kawasan Jerteh, 855 di Kota Putera, 458 di Hulu Besut, 602 di Kuala Besut dan 491 di kawasan Jabi.

Bagaimanapun, dari jumlah yang mendaftar hanya 2554 hadir pada hari ini ekoran banjir yang masih melanda daerah Besut hari ini.

Katanya, bagi kelas Pra-sekolah pula seramai 1837 telah mmendaftar pada tahun ni dengan 491 di kawasan Jabi, 381 di kawasan Kota Putera, 349 di Jerteh, 266 di Hulu besut dan 350 di Kuala besut.

Sementara itu bagi Tingkatan 1 pula seramai 3672 pelajar telah mendaftar membabitkan 1401 di sekolah-sekolah dalam kawasan Kota Putera, 779 Jertih, 552 Kuala Besut 507 Hulu Besut dan 463 di Jabi. .