Halaman

13 February 2013

Jambatan baru Seberang Takir ditender Jun ini

Oleh: Aida Abd Rahman


Terengganu bakal memiliki sebuah jambatan moden baru bagi menghubungkan Seberang Takir ke pusat bandar tidak lama lagi berikutan projek itu bakal ditender pada Jun ini.

Projek yang dibangunkan menerusi pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dijangka akan siap dalam tempoh tiga tahun selepas penyerahan menjalankan kerja kepada pemaju terlibat dikeluarkan pada September nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jambatan yang unik kerana boleh dibuka dan ditutup sebagai laluan kapal ke muara sungai Terengganu itu menjadi laluan alternatif yang baru kepada orang ramai dari Seberang Takir untuk ke Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Jambatan itu akan menjadi jalan lingkaran kedua yang melibatkan dari Bulatan Ladang, seterusnya menghala ke muara Sungai Terengganu melalui jambatan berkenaan sampai ke Seberang Takir. Selain itu, terdapat laluan baru empat lorong yang akan dibina daripada Seberang Takir menghala ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Daripada Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan menggunakan laluan empat lorong sedia ada menghala ke Semarak, daripada Semarak terus menghala ke Jambatan Sultan Mahmud, daripada Jambatan Sultan Mahmud ke Bukit Besar, seterusnya ke Jalan Pasir Panjang diikuti ke Kediaman Seri Iman,” katanya di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Menteri Besar berkata, pembinaan jambatan itu nanti pastinya memberi keselesaan dan faedah kepada rakyat di negeri ini terutama bagi yang tinggal di utara dan selatan Kuala Terengganu untuk mengelak kesesakan menghala ke bandar Kuala Terengganu, selain mampu menjimatkan kos dan masa.

Katanya, jambatan baru itu nanti akan menjadikan Terengganu mempunyai empat jambatan semuanya, selain Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Sekati dan Jambatan Manir.

 “Projek pembinaan Jambatan Manir sedang menunggu peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk dijadikan empat lorong dan ditinggikan arasnya sebagaimana Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Pulau Sekati bagi membolehkan laluan bot,” katanya.