Halaman

25 August 2013

Sambutan tetamu rumah terbuka Speaker di luar dugaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong, meriah dengan kehadiran ramai tetamu di luar jangkaan.

Menurut Haji Zubir, beliau mensasarkan 3,000 orang tetamu dari sekitar Kuala Terengganu dan Marang akan membanjiri rumah terbukanya yang diadakan jam 2 petang hingga 6 petang, di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu itu.

Bagaimanapun, kehadiran tetamu yang bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat mencapai lebih 5,000 orang dan hanya berakhir kira-kira lima jam kemudian.

“Saya tidak sangka sambutan amat baik dan meriah memandangkan ini pertama kali saya mengadakan majlis rumah terbuka selepas memegang jawatan Speaker DUN Terengganu sejak 16 Jun lalu.

“Majlis ini juga bukan sahaja untuk orang ramai dan sahabat handai, malah untuk meraikan jentera parti Barisan nasional (BN) yang bekerja keras ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (RU13) lalu walaupun saya tewas untuk merampas Parlimen Kuala Terengganu, terima kasih kepada pengundi saya di parlimen ini.

Katanya, pelantikan sebagai Speaker merupakan amanah yang tidak terduga selepas gagal pada PRU13 lalu, malah sambutan luar biasa pada majlis rumah terbuka itu membuktikan ramai yang menyokong serta menghargai tugas baru beliau sekali gus menyuntik semangat serta komitmen untuk melaksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, bukan hanya jiran, penduduk sekitar, golongan profesional dan wakil rakyat, pemimpin kerajaan dan juga Umno, beliau turut menjemput golongan anak yatim bagi berkongsi kegembiraan dan kemeriahan di majlis julung kali itu.

“Kita merancang, namun Allah s.wt juga merancang dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya bersyukur kerana inilah rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t melalui kerajaan negeri yang tahu menilai yang mana intan, yang mana permata dan yang mana kaca dan Allah meletakkan saya di tempat yang baik serta tidak pernah saya impikan sebelum.

 “Tanggungjawab sebagai Speaker satu amanah cukup besar yang perlu saya jaga baik dari segi perpaduan dan keamanan rakyat Terengganu di bawah Duli yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf kepada semua pengundi dan juga jentera parti yang gigih bekerja bersama beliau pada pilihan raya lalu, biarpun keputusan akhir gagal memihak kepada BN.


No comments: