Halaman

08 September 2013

Merdeka Raya rapatkan hubungan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 1500 tetamu menghadiri sambutan Majlis Merdeka Raya Sempena 20 Tahun Penubuhan Kolej Universiti Tati (TATiUC) bersama anak-anak syarikat yang berlangsung di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abd Rahman (gambar) berkata, buat julung kalinya sambutan hari raya dibuat secara bersama dan diraikan secara serentak oleh empat anak syarikat setelah siapnya Dewan Canselor TATiUC yang dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 3 Oktober depan.

"Majlis ini berjaya menghimpunkan pihak atasan dan kakitangan TATI Production, Ruane-TATI Sdn Bhd, TATI Skill Training Centre (TATISTC) termasuk TATiUC sendiri di bawah satu bumbung bagi mengeratkan hubungan dan merapatkan lagi silaturahim sesama mereka.

“Seramai 3000 pelajar TATiUC turut terlibat secara langsung dengan mengambil bahagian dalam menghias kiosk dan menyediakan menu serta hidangan Aidilfitri yang mewakili fakulti masing-masing bagi merebut gelaran Rumah Aidilfitri Terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kiosk yang mewakili lima fakulti yang bertanding sempena sambutan Majlis Merdeka Raya tersebut.

Katanya, pertandingan Suara Emas Aidilfitri turut diadakan untuk memeriahkan suasana dan mencungkil bakat terpendam khususnya di kalangan pelajar TATiUC.

Tambah beliau, Majlis Merdeka Raya berkenaan yang menyediakan pelbagai juadah popular Terengganu turut dihadiri ketua-ketua jabatan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Kemaman.



No comments: