Halaman

25 February 2014

Kerajaan negeri rancang bina sekolah menengah rendah di Pulau Redang

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri merancang untuk bina sebuah sekolah menengah rendah di Pulau Redang bagi memudahkan anak-anak pulau itu meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, ketika ini hanya terdapat sekolah rendah sahaja di pulau itu menyebabkan murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terpaksa meneruskan persekolahan di tanah besar.

“Kalau ikutkan perancangan, sekolah yang bakal dibina berkonsepkan kompleks yang menempatkan sebuah sekolah rendah dan menengah di satu kawasan.

“Ia akan memberi kelebihan kepada pelajar tingkatan satu hingga tiga di pulau ini meneruskan pelajaran tanpa perlu bersekolah di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pemberian dana pakaian sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, baru-baru ini.

Katanya, selain memudahkan pelajar meneruskan persekolahan, keselamatan mereka juga lebih terjamin apabila bersekolah di tempat sendiri.

Menurut Bazlan, lebih kurang 300 anak Pulau Redang sedang mengikuti pembelajaran di peringkat menengah, sekarang ini.

“70 daripadanya bersekolah di SMK Bukit Besar dan selebihnya di SMK Padang Midin, SMK Ibrahim Fikri dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Katanya, beliau mengharapkan pembinaan sekolah menengah rendah yang bakal mengubah nasib anak-anak pulau ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.