Halaman

24 February 2014

Klinik kesihatan baru akan dibina di Pulau Redang

Oleh: Noraini Jusoh

Sebuah klinik kesihatan baru bakal dibina di Pulau Redang April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pembinaan klinik kesihatan yang akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan lebih canggih merupakan keperluan untuk penduduk di pulau itu sekaligus bertujuan meningkatkan taraf kesihatan mereka.

“Dalam mesyuarat tindakan daerah baru-baru ini, saya telah dimaklumkan oleh jurutera JKR Daerah Kuala Terengganu bahawa pembinaan klinik baru akan dilaksanakan di Pulau Redang pada April ini.

“Klinik tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang ditubuhkan sejak tahun 1977 dan beberapa kali diubah suai bagi menjaga kebajikan orang Pulau Redang supaya mendapat kemudahan kesihatan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pemberian dana pakaian sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, baru-baru ini.

Katanya, beliau akui memang menjadi satu masalah kepada penduduk kerana kekurangan kemudahan di klinik Pulau Redang sekarang ini.

 “Dengan adanya klinik kesihatan baru itu nanti, penduduk boleh mendapatkan rawatan dengan lebih selesa berbanding dengan klinik kesihatan sedia ada yang masih belum mempunyai peralatan mencukupi untuk merawat pesakit di pulau ini,” ujarnya.

Katanya, sudah tiba masanya penduduk Pulau Redang yang berjumlah kira-kira 2000 orang menikmati kemudahan klinik kesihatan yang dilengkapi peralatan yang lebih canggih dan serba lengkap.