Halaman

31 December 2012

Ibu bapa pilih saat akhir beli kelengkapan sekolah

Oleh: Suriati Ali

 Masih ramai ibu bapa di Terengganu memilih saat akhir untuk membeli barangan kelengkapan sekolah anak masing-masing walaupun menyedari sesi persekolahan 2013 bakal bermula esok.

 Rata-rata mereka gemar berbuat demikian kerana mengetahui barangan yang diingini tidak akan habis selain enggan berasak-asak bersama pengunjung lain untuk membeli kelengkapan seperti pakaian sekolah, kasut dan beg.



Tinjauan ke Karnival Kermbali Ke Sekolah di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) , Kuala Terengganu mendapati hampir kesemua 60 premis perniagaan diserbu ibu bapa yang ingin mendapatkan peralatan sekolah seperti beg, pakaian seragam dan alat tulis pada harga diskaun antara 10 hingga 20 peratus.

Seorang pengunjung, Mohd. Shah Samad, 45, berkata beliau dapat menjimatkan hampir RM150 ketika membeli-belah di situ.

 "Saya harap kempen seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun depan kerana ia membantu ibu bapa meringankan beban kewangan menjelang sesi persekolahan tahun baru," katanya yang mempunyai tiga anak masih bersekolah.

 Bagi Hamidah Hamid, 37, pula beliau gemar berbelanja di TTC kerana dapat membeli pelbagai barangan keperluan dengan jenama terkenal di situ.

 "Apabila saya dapat tahu kempen ini akan berakhir pada 31 Disember, saya terus ambil cuti hari ini untuk datang membeli-belah kerana kawan saya beritahu TTC ni penuh sesak setiap kali cuti hujung minggu dengan kehadiran ibu bapa dan anak mereka," kata ibu kepada empat anak ini.

 Selain 60 premis di TTC, sebanyak 40 buah pasar raya di seluruh Terengganu turut menyertai kempen itu yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi pelbagai barangan keperluan sekolah.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat PDNKK Negeri Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata, beliau berharap kempen itu akan dimanfaatkan ibu bapa untuk berbelanja dengan lebih bijak.

 

132 pelajar terima beg dan peralatan sekolah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 132 pelajar Sek Keb Tok Dir hari ini menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah sempena program ‘Back To School’ anjuran Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu dengan kerjasama Pergerakan Puteri Umno Bahagian Marang.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, program ini merupakan acara tahunan Pergerakan Puteri Umno Malaysia dan dilaksanakan di setiap negeri.

"Peruntukan sebanyak RM5000 bagi menjayakan program ‘Back To School’ telah diberikan kepada setiap negeri dan menjadi tanggungjawab kami untuk salurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Bagi negeri Terengganu, Parlimen Marang telah dipilih dan setiap pelajar kurang berkemampuan yang telah dikenalpasti oleh pihak pengurusan sekolah ini menerima sumbangan dalam bentuk beg dan peralatan sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian dan penyerahan sumbangan sempena program ‘Back To School' dan Agihan Bantuan Pakaian Sekolah di sekolah tersebut, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan Ketua Puteri UMNO Marang, Puan Marina Endut.

Katanya, memasuki tahun keempat dianjurkan program yang dibuat secara gilirin di setiap parlimen di negeri ini dulunya pernah diadakan di Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Pergerakan Puteri Umno sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan dan diharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan barangan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjaga kebajikan rakyat terutama yang melibatkan pendidikan, justeru beliau mengharapkan sokongan penuh daripada penduduk setempat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti agar nasib rakyat terus terbela di bawah pimpinan kerajaan BN.

 

Penduduk dinasihat berjaga-jaga banjir pusingan kedua

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan penduduk tempatan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan mudah dilanda banjir supaya berjaga-jaga kerana banjir mungkin melanda semula negeri ini berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Beliau berkata, beradasarkan ramalan pihak berkuasa banjir pusingan kedua mungkin berlaku jika taburan hujan berlebihan dan semua pihak perlu berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Saya minta ibu bapa awasi anak-anak mereka kerana berdasarkan pengalaman lalu, termasuk banjir yang baru saja berlaku, penduduk menjadi korban banjir kerana kelalaian kita.

“Mereka yang mati lemas bukan kerana banjir melanda kawasan mereka secara tiba-tiba, tetapi mereka lamas ketika menahan pukat, bermain sampan atau kanak-kanak bermain basikal di kawasan yang dilanda banjir dan terjatuh di tempat dalam,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai agensi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mangsa banjir masih diletakkan dalam keadaan berjaga dan mereka akan bertindak pada bila-bila masa mengikut keadaan.

Sehingga ini, katanya, kerugian dan mangsa sebenar masih belum dipastikan dan siasatan sedang dijalankan bagi membolehka bantuan sewajarnya diberikan kepada mangsa terbabit.



Banjir kembali melanda Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman


Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan terutama Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu sejak pagi tadi menyebabkan beberapa penempatan ditenggelami air semula walaupun keadaan banjir dilaporkan hampir pulih sehingga lewat malam tadi.



Menurut Portal Kenyataan Banjir Negeri Terengganu, sehingga jam 3 petang ini, seramai 760 mangsa daripada 181 keluarga mula dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sekitar Hulu Terengganu sejak pagi tadi.

Lima penempatan itu, Balai Raya Kampung Ceting sembilan keluarga (34 mangsa); Balai Raya Kampung Peladan dua keluarga (11); Masjid Kampung Perah 101 keluarga (412); Surau Lubuk Periuk 38 keluarga (80) dan Surau PPSK Kampung Menerong 45 keluarga (223).

Manakala Jabatan Meterologi Malaysia melaporkan, hujan sekejap-kejap kadangkala lebat di beberapa kawasan di seluruh Terengganu dijangka berterusan sehingga 2 Januari ini (Rabu).

Kedaaan yang berterusan kemungkinan mengakibatkan beberapa kawasan rendah dan berisiko banjir akan dilanda bencana alam itu semula sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang perlu dipindahkan ke pusat pemindahan.


Risda, Ketengah bantu tingkat pendapatan keluarga tani

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pelbagai program secara bersepadu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 petani dan pekebun kecil di wilayah Ketengah.


Perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan Program Pembangunan Tanam Semula, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perladangan dan Pengurusan Kilang Sawit, Pembangunan Pendidikan dan Latihan serta Pembangunan Pengurusan dan Pemasaran Unggas serta Haiwan bagi faedah golongan sasar.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohamad Zuki yang mewakili Risda dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, mewakili Ketengah.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Haji Hasan Malek; Pengurusi Risda, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Dato’ Ibrahim Muhamad.

Menteri Besar pada sidang media selepas majlis itu berkata, MoU berkenaan merupakan pakatan startegik antara dua agensi di bawah kementerian yang sama dan bakal menggabungkan kepakaran keadua-dua agensi itu bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan petani.

Katanya, selain mempunyai kepakaran dalam pembangunan industri tanaman getah dan kelapa sawit, Risda juga memiliki Koleh Risda yang menjana pengeluaran graduan dalam pelbagai bidang.

“Begitu juga dengan Ketengah yang memiliki Kolej Ketengah dan sudah tentu gabungan tenaga kedua-dua agensi ini bakal meningkatkan mutu pendidikan yang memberi faedah kepada anak-anak petani dan pekebun kecil,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta kakitangan Risda, Ketengah dan semua agensi kerajaan di bawah kementerian berkenaan supaya menjalankan tugas dengan baik bagi merealisasikan hasrat kerajaan membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, sudah banyak program dilakukan kerajaan bagi tujuan itu ditambah pula dengan usaha memberikan taraf pendidikan terbaik kepada anak-anak pekebun kecil, petani dan peneroka.

“Kita tidak mahu ada kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan yang bertindak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘musuh dalam selimut’ yang menikam kerajaan dari belakang,” katanya.


JKNT panjangkan waktu melawat pesakit

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan waktu melawat di kesemua enam hospital berkuatkuasa 1 Januari ini.

Pengarahnya, Dr. Anwa Sulaiman berkata, ia bersesuaian dengan permintaan orang ramai yang mahu waktu melawat lebih panjang khususnya pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Beliau berkata, sesi waktu melawat yang dilonggarkan itu juga diharap dapat mengurangkan kesesakan pelawat yang bertumpu ke hospital dalam tempoh masa lawatan pendek serta mengurangkan masalah kesesakan tempat letak kereta di hospital.

“Untuk itu, kita telah membuat beberapa pindaan terhadap waktu melawat di hospital selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 JKNT panjang waktu melawat pesakit “Bagi sesi lawatan tengah hari pada setiap Ahad hingga Khamis, ia akan dipanjangkan dari pukul 12 hingga 2 petang berbanding dari pukul 1 hingga 2 petang manakala sesi petang (pukul 5 petang hingga 7 malam) pula dikekalkan.

“Pada Jumaat, Sabtu dan Cuti Umum pula, waktu lawatan tengah hari bermula 11 pagi hingga 2 petang (sekarang 1.00 hingga 2 petang).

 Sesi lawatan petang 4 hingga 7 petang (sekarang 5 hingga 7 petang),” katanya. Menurutnya, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masih tidak dibenarkan masuk melawat sebagai langkah pencegahan untuk mengelak risiko penyakit berjangkit.

 “Pendekatan it terus dilaksanakan kerana menyedari kanak-kanak mempunyaui daya ketahanan atau umuniti rendah berbanding orang dewasa.

 “Berdasarkan pengalaman, didapati anak yang dibawa boleh menganggu pesakit-pesakit lain kerana gemar berkejaran antara mereka, berbuat bising dan merosakkan peralatan perubatan,” katanya.

 


Faizal rekod nama di Liga Hoki India

Oleh: Aida Abd Rahman

Seorang lagi atlet kelahiran Terengganu, Faizal Saari, 21, berjaya mencipta rekod apabila menempatkan diri di persada antarabangsa selepas dilamar oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam Liga Hoki India (HIL) yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 16 Januari depan.

Kelibat penyerang skuad hoki negara yang membantu Terengganu pada aksi final membenam Pahang untuk menggenggam Piala Tun Abdul Razak ke-50 itu, kian menyinar sehingga mampu berada di kelompok pemain berstatus bintang dari seluruh dunia yang bakal beraksi dengan lima kelab dalam HIL.

Di sebalik tanggungjawab yang cukup besar bakal dipikul dalam tempoh singkat itu nanti, Faizal dikatakan turut mendapat habuan berbaloi apabila bakal menerima gaji sebanyak AS$26,000 (RM79,560).

Selain Faizal, penjaga gawang negara, S Kumar juga terpilih untuk beraksi dengan kelab Uttar Pradesh Wizards.

Kumar pula AS$15,000 (RM45,900). Jumlah itu difahamkan lebih besar berbanding gaji diterima oleh pemain negara yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).

Faizal yang sering menjadi tonggak utama skuad negara, sebelum ini pernah menimba pengalaman di Liga Australia bersama kelab Southern Hotshots tetapi dia tidak dapat menyertai sepanjang satu musim berikutan masalah visa.

Atlet itu kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club sekitar Julai lalu, tetapi dia terpaksa menolaknya berikutan khidmatnya lebih diperlukan skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November lalu.

“Inilah impian yang saya nantikan sejak dulu lagi iaitu untuk beraksi di luar negara. Saya memang mahu belajar sesuatu yang baru selain daripada beraksi di LHM.

 “Sudah tentu saya gembira kerana terpilih untuk beraksi di HIL sebab bukan mudah untuk menempatkan diri di liga yang juga disertai ramai pemain hebat.

“Bagi saya wang bukan soal utama tapi seperti yang saya katakan tadi, kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman baru,” katanya.

Selain itu,  Faizal dijangka berangkat ke India pada 8 Januari ini kerana jurulatih kelabnya itu mahu menemui pemain pada hari berikutnya.

 

TPM Lawat Mangsa Banjir di Kemaman

Oleh : Fauzi Mohd


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman petang tadi.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Dato'Seri Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Noriah Kasnon.

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh dua kilometer dari Stadium Mini Kemaman dan ia ternyata menceriakan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang dikelolakan Kelab Putera 1Malaysia.
Sejurus selepas itu, serta melawat kawasan banjir di beberapa lokasi lain menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.


Pada sebelah pagi, Muhyiddin bersama isterinya melawat mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan.




























E-book bukan punca kemerosotan UPSR

Oleh: Noraini Jusoh

Penggunaan e-book dalam kalangan murid sekolah rendah bukanlah punca utama kemerosotan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, punca kemerosotan UPSR di Terengganu seperti yang didakwa pihak pembangkang adalah disebabkan pemberian e-book oleh kerajaan negeri kepada murid sekolah rendah tidak boleh diterima sama sekali.

"Kerajaan negeri menafikan perkara ini disebabkan penggunaan e-book masih baru di kalangan pelajar kita dan kesan atau hasilnya tidak boleh dilihat dalam masa terdekat.

"Justeru, tidak adil pihak pembangkang menjadikan penggunaan e-book sebagai satu isu yang menjejaskan pencapaian pelajar kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2012 dan Penyampaian Bantuan Peperiksaan Awam 2013 DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, baru-baru ini.

Katanya, ramai pelajar yang mempunyai asas dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) hasil penggunaan e-book yang diperkenalkan kerajaan negeri lebih mesra dan mahir dalam bidang tersebut apabila melangkah ke sekolah menengah.

Menurut beliau, penggunaan e-book bukan bertujuan melalaikan pelajar tetapi sebaliknya untuk memantapkan penguasaan mereka terhadap bidang ICT.

"Justeru, selain pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak menggunakan e-book untuk tujuan pembelajaran,” katanya.

 

30 December 2012

Penduduk ambil kesempatan bermain air banjir

Oleh: Suriati Ali

Segelintir penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil kesempatan bermain air banjir yang semakin pulih bersama anak masing-masing .

 Ada di antara mereka, terutama golongan remaja mambasuh motosikal, mendayung sampan dan mandi tanpa memikirkan risiko yang bakal dilalui.





Menurut portal banjir , tiada mangsa banjir di DUN Tepoh dilaporkan berpindah ke Pusat Perpindahan Banjir walaupun DUN lain, termasuk Tepoh, Kuala Berang, Air Puteh dan sebagainya mencatatkan ratusan mangsa terpaksa berpindah.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata mangsa yang terlibat dengan pemindahan banjir dinasihatkan agar dapat memaklumkan alamat rumah yang ditinggalkan kepada Balai Polis berhampiran atau kepada anggota polis yang bertugas di pusat pemindahan banjir.

 Katanya, ini untuk memudahkan menghubungi pemilik kediaman jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa pihak polis menjalankan rondaan.

 Sehubungan dengan itu juga, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka dan berwaspada dengan amaran banjir yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

 ``Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak bermain dengan air kerana arus deras apabila hujan lebat yang berterusan, tambahan pula pada masa ini musim cuti persekolahan dan malang tidak berbau,’’ ujarnya.

Pak Soh sayang pemimpin



 Oleh: Mohammad Ishak 

Tidak semua rakyat negara ini bencikan pemimpin sebaliknya masih ada rakyat yang sayangkan kepada pemimpin walaupun sudah tidak lagi memimpin negara.

Perasaan sayang dan cintakan kepada pemimpin terpahat kepada seorang pesara, Jusoh Muda, 63, dari Kampung Gertak Jerbung,Pasir Akar,Hulu Besut, apabila beliau turut menyelamatkan potret bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peristiwa itu berlaku ketika Jusoh yang juga bekas tukang kebun Sekolah Kebangsaan Pasir Akar, dekat sini, menemui potrat Tun Mahathir yang terjatuh dan terbenam dalam lumpur di bilik guru sekolah itu semalam.

Jusoh yang menyertai gotong royong membersih sekolah berkenaan yang dilanda banjir menemui potrat Mahathir dalam lumpur kemudian mengambilnya untuk dibersihkan selut yang terlekat pada potret berkenaan.

“Walaupun di bekas pemimpin saya amat menghormatinya kerana Tun Mahathir seorang negarawan ulung negara,” katanya.

Katanya, beliau terpaksa membersih semula dengan membuang selut dan meminta guru sekolah itu mengantung semula gambar bekas Perdana Menteri itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Apa yang dilakukan itu adalah contoh baik seorang rakyat yan g begitu hormat dan menyanjung tinggi terhadap seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

DOLAK DALIH SEORANG YANG TELAH TERLANJUR KATA MENFATWAKAN ORANG UMNO KAFIR

Oleh: RUSLAN ABDUL RAHMAN-Pengarang Teganukita.

(Klik foto untuk paparan video)

 Ia bukan baru, kalau seorang yang dilahirkan pada masa ucapan mengatakan orang Umno itui kafir, sekarang ini anak itu telah dewasa dan mungkin telah mempunyai beberapa orang anak.


31 tahun membuat fatwa sendiri bahawa orang Umno itu kafir amatlah besar dosanya kerana apabila orang Umno kafirnya banyaklah kesannya termasuk kepada pembuat ucapan dan amanat itu sendiri, apatah lagi kepada pengikut yang menyakini kebenaran fatwa itu.

Amanat atau ucapan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (selepas ini diringkaskan sebagai Haji Hadi sahaja) yang mengkafirkan orang Umno dibuat pada tahun 1981 iaitu kira-kira 31 tahun yang lalu, lama sekali.

Sewaktu mempertahankan tuduhan bahawa orang Umno kafir pada tahun 1986 sewaktu berucap di Besut beliau menggariskan tiga faktor utama orang Umno kafir:

- Ahli-ahli Umno telah menyokong perlembagaan negara yang bukan merupakan perlembagaan Islam.

- Pemerintah yang terdiri daripada orang-orang Umno telah meletakkan perlembagaan negara lebih tinggi dari al-Quran

- Kezaliman yang ditunjukkan oleh pemerintah terhadap orang-orang Islam, khususnya Pas, jelas menunjukkan mereka (orang Umno) tidak Islam.


Penulis memetik kenyataan Haji Hadi yang sewaktu itu adalah berjawatan Naib Yang DiPertua Agung Pas sewaktu berucap di suatu perhimpunan mengalu-alukan pembebasan tahanan ISA di Kampung Pasir Akar Besut, sebagaimana laporan pada 17 Jun 1986.

Permintaan Haji Hadi untuk menjelaskan kebenaran amanat atau tuduhannya bahawa orang Umno itu kafir adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Walau bagaimanapun untuk bersiaran selama satu jam di telivisyen RTM atau TV 3 secara langsung itu cuma helah beliau sahaja untuk menimbulkan keraguan kononnya selama ini pihak kerajaan memutar-belitkan kenyataan beliau.

Dulunya ramai pendokong Pas sendiri pernah menafikan amanat tersebut, kononnya rekaan Umno, tetapi akhirnya kita dapat membuktikan rekod suara asal Haji Hadi mengenai ucapannya itu melalui simpanan di Pejabat Menteri Terengganu Terengganu.

Apabila suara asal ucapan itu kita siarkan, pemimpin dan pendokong Pas tidak mampu menafikannnya lagi. Kalau kita melihat rakaman kenyataan Haji Hadi kelmarin sewaktu disoal oleh wartawan mengenai perkara berkenaan (Amanat Hadi) ternampak jelas di wajahnya beliau amat tidak selesa dan bercakap dalam keadaan yang tergagap-gagap bila diasak wartawan.


Zaman sekarang era media baru, berbagai saluran boleh digunakan sama ada web tv, youtube, penerbit VCD dan seumpamanya boleh dilakukan untuk berhujah dan member penjelasan dan tidak perlu menunggu stesen penyiaran menjemput beliau untuk membuat penjelasan secara langsung (live).

Malah dalam tembual dengan wartawan itu beliau sanggup menghina bekas pengikut setianya seorang guru yang menghasilkan buku kafirkah aku’ dengan berkata, itu guru sekolah rendah dan mengajar A B C sahaja, sesuatu yang tidak wajar seorang yang berilmu agama menghina sesama insan.

Dari bahasa badan (body language) jelas memperlihatkan apa sebenarnya di dalam hati beliau (sama-samalah pembaca , penonton dan pendengar menilainya yang terdapat di youtube) dan tidak perlulah penulis mengulas lagi kerana gambar video itu telah menceritakan segala-galanya.

Apabila orang Umno menjadi kafir bermakna segala urusan orang Umno itu tidak sah, termasuk dalam soal nikah-kahwin dan bagaimana kalau dikatakan yang membuat amanat orang Umno kafir itu sendiri dinikahkan orang jurunikah Umno?

Bagaimana zuriat-zuriat yang dilahirkan hasil pernikahan yang diuruskan oleh orang ‘yang telah menjadi kafir’ kerana menjadi orang Umno? Itu persoalan besar bukannya kecil bila membabitkan fatwa dan hukum sebegitu.

Berita Harian bertarikh 19 Julai 1982 pernah melaporkan umat Islam mengecam pertubuhan politik yang terbabit dengan kegiatan membiarkan pengikut mereka melakukan perpecahan di dalam masyarakat dengan sembahyang dua imam dalam satu masjid dan dua masjid dalam satu kampung.

Pada masa itu, di Besut kejadian mengadakan sembahyang Jumaat di tempat berasingan dua sekampung adalah paling banyak iaitu 26 tempat. Di Setiu lima tempat, Marang empat tempat, Kuala aTerengganu tiga tempat, Hulu Dungun dua tempat manakala Dungun satu tempat. Malahan sehingga kini masih berlaku lagi.

Fatwa Mufti Terengganu pada tahun 1986 dengan jelas diedar menyebut mendirikan sembahyang Jumaat berasingan dalam satu kariah adalah haram. Malah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh kerajaan negeri Terengganu semasa Pas memerintah Terengganu dengan jelas melarang dan menjadi kesalahan yang boleh dihukum denda bagi mereka yang mendirikan masjid tanpa kebenaran dan tidak boleh mendirikan sembahyang Jumaat selain di masjid yang diisytiharkan sahaja. (Rujuk Bahagian IV Enakmen, berkenaan masjid).

Justeru itulah ahli-ahli agama berpendapat, Haji Hadi perlu menarik balik amanat dan fatwa orang Umno itu kafir dan memohon maaf atas keterlanjurannya itu.



Banjir hampir pulih

Oleh: Aida Abd Rahman

Banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya 662 mangsa berada di enam pusat pemindahan di seluruh Terengganu sehingga jam 1.30 petang ini berbanding 2,617 mangsa sehingga 8.30 pagi tadi.

Menurut Portal Kenyatan Banjir negeri Terengganu, lima daripada enam pusat pemindahan berkenaan di sekitar Dungun, iaitu Dewan Sivik Batu 48 (397 mangsa), Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah (tiga), bangunan JKKK Nyior (lapan), Balai Raya Kampung Durian Mentangau (22, ) dan Dewan Majlis Sukan Negara (113).

Sementara satu lokasi pemindahan di Kuala Terengganu ialah di Sekolah kebangsaan Kompleks Gong Badak yang menempatkan seramai 119 mangsa.

 Kesemua mangsa terdiri daripada 168 keluarga. Jumlah mangsa yang berpindah menurun dengan ketara selepas cuaca cerah dan tiada hujan lebat dilaporkan di beberapa daerah sejak pagi tadi.

 Kesemua daerah juga dilaporkan pulih sepenuhnya kecuali di beberapa kawasan di Dungun dan Kuala Terengganu.

Sebelum ini, seramai 2,617 mangsa dilaporkan masih ditempatkan di pusat pemindahan sehingga pagi tadi, berbanding 15,529 mangsa pada petang semalam.

 

JKNT kumpul lebih RM44 ribu untuk TKP

Oleh: Suriati Ali 

 Kesengsaraan penduduk di Palestin yang dizalimi tentera rejim zionis Israel mendapat perhatian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) apabila mampu mengumpul sejumlah RM44,476.70 untuk Tabung Kemanusiaan Palestin (TKP.

 Kesemua hasil sumbangan orang ramai, termasuk kakitangan jabatan itu, pesakit dan pelanggan diserahkan kepada wakil Media Prima di pejabat JKNT, Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini.

 Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata pihaknya terharu kerana kutipan sumbangan yang dilancarkan pada 29 November lalu melebihi sasaran sebenar.

“Pihak kami hanya sasar RM20,000, mungkin kesedaran dan keprihatinan orang ramai terhadap nasib rakyat Palestin cukup tinggi, sejumlah RM44,46.70 dapat dikumpul.

 “Komitmen dan kerjasama semua kakitangan dengan meletakkan tabung kutipan di kaunter pertanyaan di hospital dan klinik seluruh Terengganu nyata mendapat perhatian orang ramai,” katanya kepadamedia selepas majlis penyerahan TKP.

JKNT berharap melalui usaha itu, lebih banyak lagi jabatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan persatuan turut bersama-bersama membantu dan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin .

Dr Anwa, berkata pada masa sama, pihaknya akan menjayakan Program Khatan Kanak-kanak Kemboja dengan melibarkan kira-kira 50 kanak-kanak, dijangka pada Jun tahun depan..

 “Bagi menjayakan program itu, usaha mengumpul sumbangan untuk membeli pelbagai kelengkapan belajar dan barangan keperluan rakyat itu akan dilaksanakan.

 “Kita mensasarkan sumbangan untuk rakyat Kemboja kira-kira RM20,000 di mana kaedah dan perlaksanaan mengutip sumbangan hampir sama seperti TKP,”katanya.

              


PAS ‘SESAT BARAT’ DOH

Oleh: Langtelipot

Sebenarnya bila Pas yang suatu masa dulu mewakili parti yang dikatakan mahukan kepada Islam, tapi akhirnya bergabung dengan parti yang bersifat selain dengan ideologi Islam, ramai pendokong Pas yang berfikiran waras sudah tidak yakin lagi dengan perjuangan parti itu.

Mereka telah mula merasakan Pas sudah tidak berada di atas landasan perjuangan asal lagi. Mereka sudah lihat kenyataan-kenyataan tegas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang atau ringkasnya Haji Hadi sudah tiada lagi bila berada bersama-sama dalam pakatan pembangkang iatu bersama DAP dan PKR.

Dulu bukan main lagi katanya Haji Hadi menolak sebarang ideologi selain Islam. Sekarang DAP yang ideologinya menolak perlaksanaan Islam termasuk fahaman semua agama sama sahaja (pluralisma), hak asasi manusia termasuk dari segi kebebasan sex pun mereka boleh terima dan berpakat.

Tidakkah itu semua bertentangan dengan Islam? Jadi apakah’ tahaluf siasi’ yang dibolehkan Islam kalau itulah sebenarnya rakan pakatan Pas.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat (Adun Batu Rakit) berkata, tahaluf siasi itu dalam bahasa Arab yang bermakna pakatan politik, bukan bermakna bila menggunakan perkataan Arab ia jadi Islamik.

“Kita lihatlah pula isi kandungan pakatan itu dan dengan golongan macam mana pakatan politik yang kita buat itu, itulah ukurannya, bukan soal bahasa yang digunakan,” tegas Ustaz Haji Khazan. Bagi mereka yang berpegang teguh kepada asas perjuangan Pas kini sudah ramai yang lari meninggalkan parti itu.

Mereka sudah tidak percaya lagi dengan ucapan, pesanan dan amanat Hadi yang mengatakan Umno terpesong dan kafir kerana kini Pas juga melakukan apa yang Umno buat seperti pakatan dengan bukan Islam, malah Pas lagi dahsyat berpakat dengan golongan yang terang-terang menolak Islam iaitu DAP dan berbeza dengan cara pakatan Umno.

Ramai di kalangan mereka sudah menyesal mengkafirkan Umno sehingga berlaku sembahyang dua imam, sembelihan orang Umno tidak boleh dimakan, nikah imam Umno tidak sah dan sebagainya.

Hinggakan Haji Hadi sanggup mengugurkan perjuangan Negara Islam yang selama ini menjadi dasar perjuangannya lalu ditukar kepada Negara Kebajikan, bahkan sanggup mengatakan dalam al-Quran tidak ada Negara Islam.

Umno berpakat dan mengetuai pakatan tetapi Haji Hadi dalam ucapan dasar Pas semasa muktamar baru-baru ini menyebut Pas hanya akan menjadi komponen kepada Pakatan untuk kononnya menubuhkan kerajaan baru menggantikan Barisan Nasional (BN). Sekadar jadi komponen buat apa.

Sekiranya jatuhlah BN, tapi kerajaan yang diketuai DAP atau PKR yang menolak Islam dan orang-orang Melayu, buat apa…..itu yang menyebabkan orang Pas sendiri tolak Pas sekarang.

Hendak laksanakan undang-undang Islam dan hudud, itu hanya gimik dan penipuan kepada pengikut Pas sahaja supaya terus menyokong Pas.

Sebenarnya dalam pakatan mereka,Majlis Pimpinan Pakatan yang bermesyuarat mengenai hudud stelah membuat keputusan bahawa hudud tidak akan dilaksanakan sebagai menghormati dasar bersama Pakatan Rakyat dan Perlembagaan Negara.

Kenyataan yang dikeluarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara ini berbunyi: “Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan.”

Dalam erti kata lain, hudud boleh terus diperbincang, dibahaskan, dipolitikkan, digembar-gemburkan, dibayangkan atau diimpikan oleh PAS selama-lamanya dan semahu-mahunya, tetapi tidak akan sekali-kali boleh dilaksanakan. Maka inilah keputusan rasmi Pakatan Rakyat dan keputusan ini sah, kekal dan wajib dihormati oleh semua parti sekutunya.

Ketika PAS mula-mula bergabung dengan PKR dan DAP, hudud tidak pun menjadi isu. Apabila PAS mengumumkan untuk menukar hala tuju dari Negara Islam kepada Negara Kebajikan juga tiada menyebut pun apa akan jadi kepada hudud yang diperjuangkan selama ini.

Dan apabila Buku Jingga dibentangkan juga tiada menyentuh sedikitpun soal hudud oleh Haji Hadi yang sama sama menandatangani pakatan Buku Jungga itu. Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena bila pilihanraya semakin hampir, hudud kembali berkumandang oleh puak-puak Pas ini, terutama di Kelantan dan Terengganu..

Jelaslah pemimpin Pas yang sudah ketahui parti mereka hilang sokongan cuba meraih sokongan semula melalui kaedah menjual hukum hudud.. Hududkah di Kelantan dan Kedah negeri yang diperintah oleh Pas. Hududkah negeri Selangor dan Pulau Pinang yang Pas berada dalam pakatan dalam membentuk kerajaan negeri itu…

Semua bohong, semua sandiwara belaka. Sebelum ini, PAS menganggap memerangi UMNO itu sebagai jihad kerana UMNO tidak melaksanakan hudud, maka kini, mengapa PAS tidak pula wajib memerangi PKR dan DAP atas alasan yang sama.

Sesungguhnya, tiada alasan bagi PAS untuk mengamalkan dwi-standard dalam soal hukum Allah S.W.T. DAP tetap teguh menolak Islam, tetapi PAS yang semakin hari semakin sekular. Sudah sampai masanya PAS sedar bahawa Islam itu bukan untuk dilihat, tetapi diamalkan. Islam itu untuki dihayati bukan untuk dilaungkan.

Islam itu di hati, bukan di mulut, slogan, jubah, serban.. Kerana Islam itu tidak di hatilah maka PAS sibuk menghakimi orang lain dan gagal melihat diri sendiri sehingga DAP telah dengan mudah mentarbiahkan PAS menjadi sekular. Ingatlah, yang akan dihisab nanti ialah apa jua yang terdetik di hati dan fikiran yang mengiringi perbuatan masing-masing. Manusia tidak akan dihisab atas perbuatan dan niat orang lain.

Justeru, mulai hari ini, eloklah PAS mula melihat ke dalam diri sendiri terlebih dahulu serta menginsafi diri sebelum ke hulu ke hilir mencari dan ‘menegur’ kemungkaran orang lain, sehingga tidak sedar diri sendiri telah tersesat jauh.

Jika selama ini PAS gemar menghakimi orang lain, maka hari ini semua orang sedang menilai dan menghakimi PAS.

 

MB turun padang sertai gotong royong bersih rumah mangsa banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang menyertai para sukarelawan membersih kawasan yang dilanda banjir di daerah Kemaman, semalam.

Menteri Besar dan Isteri bersama-sama membersih rumah penduduk yang di landa banjir
Beliau dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud sempat meluangkan masa membantu membersih kawasan rumah mangsa yang dilanda banjir di sekitar bandar baru Bukit Mendok dan Kampung Pengkalan Pandan.

Turut serta dalam aktiviti gotong royong tersebut adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Rohani Abdullah; Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad serta Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Senator Rohani Abdullah yang mengetuai Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kemaman merupakan orang kuat dalam aktiviti gotong-royong tersebut.



Bagi melancarkan aktiviti gotong royong Skuad Sayang turut dibantu oleh para sukarelawan yang lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta badan-badan bukan kerajaan yang lain.



Seperti kebiasaan, sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat Menteri Besar tidak melepaskan peluang bertanya khabar dan beramah mesra dengan para penduduk.

Beliau bersama isteri turut membantu para sukarelawan membersihkan rumah penduduk yang teruk dipenuhi lumpur akibat banjir yang melanda negeri ini minggu lalu.

 





Pantai Batu Buruk kembali jadi tumpuan

Oleh: Aida Abd Rahman

Selepas lebih seminggu sukar menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga di luar rumah akibat cuaca mendung dan hujan, keadaan yang semakin pulih sejak Jumaat lalu mendorong orang ramai berpusu-pusu membanjiri pusat rekreasi di sekitar bandar ini.

Tinjauan Teganukita Jumaat lalu, mendapati pusat peranginan dan riadah paling popular di bandar ini, Pantai Batu Buruk umpamanya, sesak dengan pengunjung serta kenderaan yang memenuhi lokasi itu bersama keluarga masing-masing sejak jam 4 petang.

Taman awam yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung serta menjadi lokasi persinggahan utama pada hujung minggu, bertukar sepi sejak musim tengkujuh melanda Terengganu dan Pantai Timur.

Suasana di situ mula berubah apabila ramai ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak bermain di taman permainan, membeli pelbagai makanan yang dijual di tepi-tepi jalan serta menaiki kereta kuda yang disediakan untuk disewa di tepi pantai.

Seorang pengunjung, Wan Airufiza Wan Ariffin, 34, berkata cuaca cerah sejak pagi lagi mendorongnya membawa empat anak yang berusia 12 hingga tiga tahun ke pusat peranginan itu sebagai memenuhi hasrat anak-anak untuk beriadah.

 “Sebelum ini sukar untuk menunaikan permintaan mereka sebab hujan tidak berhenti-henti. Hari ini, Alhamdulillah, berpeluang memenuhi masa bersama anak-anak sambil mereka bermain sepuas-puasnya,” katanya.

Seorang pelatih jururawat dari Kedah, Cik Aimie Nadya Abd Alim, 19, berkata suasana meriah di sekitar pusat peranginan itu seperti pesta hari keluarga dengan pelbagai ragam manusia terutama kanak-kanak.

“Tempat parkir juga sesak sehingga terpaksa meletakkan kereta jauh dari teman permainan. Bagaimanapun, saya dan keluarga seronok dapat berkumpul sambil menikmati udara yang segar dan suasana indah di pantai ini,” katanya.

 

Bekalan air di dua daerah terganggu akibat banjir

Oleh: Noraini Jusoh



Syarikat Air Terengganu (SATU) memaklumkan bekalan air di daerah Kemaman dan Dungun terganggu berikutan banjir yang melanda negeri ini minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata, ekoran banjir tersebut Booster Pam Seberang Tayor di Kemaman dan Loji Air Tepus di Dungun telah ditenggelami air.


Berikutan itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik ke dua premis berkenaan, menyebabkan operasi pam juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

"Gangguan ini akan melibatkan seramai 2,634 akaun pengguna bekalan air SATU di daerah Kemaman dan seramai 1371 di daerah Dungun,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Teganukita, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sukar untuk menganggarkan bila tempoh gangguan ini akan berakhir kerana ia bergantung kepada paras air banjir.

Katanya, kerja-kerja membaikpulih hanya dapat dilaksanakan apabila banjir surut dan dijangka bekalan air akan pulih dalam masa seminggu selepas kerja-kerja membaikpulih pam dilakukan.

Antara kawasan di daerah Kemaman yang terlibat dengan masalah gangguan air ialah Kg Air Putih, Felda Seberang Tayor, Kg Teladas, Kg Dadong, Felda Lubuk Lesong, Bandar Sri Bandi, Kg Seberang Tayor Hilir, Kg Batu 16, Kg Pasir Gajah (Batu 10), Kg Paman dan Kg Padang Kubu.

Manakala di daerah Dungun melibatkan Kg Dendang, Kg Wa, Kg Cermin Kiri, Kg Jerangau Sungai, Kg Rantau Panjang, Kg Tersusun, Kg Surau, Kuala Jengai, Kg Pelampong, Kg Minda, Kg Talong, Kg Tepus, Penjara Tegar dan Kedai Lay By Bukit Besi.

 

Pelabur China bakal melabur lebih RM1.5 bilion di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Beberapa pelabur dari negara China menyatakan kesanggupan mereka untuk melabur dalam pelbagai bidang di Terengganu tahun depan dengan nilai pelaburan melebihi RM1.5 bilion.

Antara bidang yang bakal diceburi pelabur berkenaan ialah industri tekstil, kesihatan, lot-lot perkedaian dan pelancongan, khususnya di Tasik Kenyir.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hasil pertemuannya dengan sekumpulan pelabur dari negara itu kelmarin, mereka bersetuju untuk melabur di negeri ini pada tahun depan dengan jumlah pelaburan yang besar.

“Seorang pelabur menyatakan kesanggupan mereka membuka sebuah hospital swasta di Kijal manakala Persatuan Industri Tekstil China (PITC) bersetuju untuk melabur RM40 juta bagi membina kompleks tekstil kedua di Bandar Baru Kijal,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam meraikan pelabur dari China di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi PITC Dai Bing Nam dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pelabur dari negara berkenaan akan membina lot-lot perkedaian di Bandar Baru Kijal bagi menempatkan lebih ramai peniaga tekstil di kawasan itu.

“Mereka juga bercadang untuk membina gudang bagi menyimpan bekalan tekstil di kawasan tersebut bagi menjadikannya hab tekstil yang terbesar di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, seorang usahawan dari China bersetuju membuka hospital swasta yang menempatkan pelbagai peralatan canggih di Strawbery Park, Kijal, dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pelabur dari China juga melahirkan rasa kagum mereka dengan keindahan Tasik Kenyir dan belum dibangunkan sepenuhnya dan bersedia melabur di kawasan itu dengan pelaburan yang besar.

 “Perbincangan lanjut akan diadakan pada tahun depan bagi membolehkan mereka melabur di Tasik Kenyir dengan perancangan yang mereka tetapkan dan dipersetujui kerajaan negeri,” ujar beliau.



29 December 2012

Sukarelawan sertai gotong royong bersih sekolah



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 200 sukarelawan mewakili pelbagai pertubuhan sukarela menyertai gotong royong membersih Sekolah Kebangsaan Pasir Akar, Hulu Besut, yang terbabit dalam bencana banjir Ahad lalu.

Sukarelawan terbabit mewakili belia MAYC Besut, Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Gotong royong itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, YB Nawi Mohamad dan Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdul Halim Hassan.

Sekolah berkenaan adalah antara sekolah paling teruk dilanda banjir di Hulu Besut tahun ini menyebabkan banyak peralatan dan barangan yang disimpan tidak dapat diselamatkan pihak sekolah.

Sukarelawan yang menyertai gotong royong itu terpaksa mendapatkan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan membuat semburan air di atas lantai simen yang diselaputi lumpur.

Nawi berkata, pihaknya menyambut baik kehadiran anggota sukarelawan yang tanpil menawarkan diri untuk membersih sekolah berkenaan serta masjid di DUN Hulu Besut selepas kawasan itu dilanda banjir kelmarin.

Menurutnya, selain sokongan sukarelawan berkenaan beberapa badan NGO lain termasuk Kelab Media Perlis (KMP) turut menjayakan program anjuran Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut itu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang tanpi membantu menyertai gotong royong mem bersih kemudahan awam selain bantuan kemanusiaan kepada penduduk du Hulu Besut.