Halaman

21 June 2011

Limpahan dua kali ganda pengunjung ke Pesta Terengganu di Menara Kuala Lumpur

Oleh: Aida Abd Rahman



Pesta Negeri Terengganu di Menara Kuala Lumpur dijangka mampu mencapai matlamat bagi melonjak kadar kemasukan pelancong ke Terengganu berikutan jumlah pengunjung yang melawat tapak pesta itu meningkat dua kali ganda daripada sasaran awal.

Program yang bermula kelmarin (18 Jun) sehingga 26 Jun ini menarik lebih 7,000 pengunjung berbanding jangkaan 3,000 pengunjung dalam tempoh dua hari ia dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata jumlah pengunjung yang melawat pesta yang mengetengahkan Terengganu dan pelbagai produk negeri itu berlaku di luar jangkaan awal.

“Saya menjangkakan 2,000 hingga 3,000 pengunjung akan mengunjungi pesta itu, bagaimanapun jumlah pelawat mencecah sehingga 6,630 orang, iaitu seramai 2,741 terdiri daripada pelawat tempatan, manakala 4,889 pelawat luar negara,” katanya di majlis perasmian program itu, kelmarin.



Menurut Datuk Abdul Rahin, pesta yang dibuka secara percuma kepada pengunjung mulai jam 10 pagi hingga 8 malam bertujuan memperkenalkan kebudayaan, kesenian, permainan tradisional dan pelbagai produk keluaran tempatan Terengganu.

Pada masa yang sama, pengunjung tempatan dan luar negara boleh mengenali Terengganu dengan lebih dekat serta mengambil peluang mengunjungi negeri ini selepas ini.

Di samping memberi peluang kepada rakyat tempatan dan antarabangsa mengetahui dengan lebih mendalam mengenai seni dan budaya Terengganu, ianya secara tidak langsung dapat membantu mempertingkatkan lagi usaha mempromosikan warisan dan destinasi pelancongan di Malaysia khususnya di Terengganu.



"Pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-2020 5454 atau melayari laman web www.menarakl.com.my," kata Puan Zuraidah Mohd Said, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian 03-2020 5454 / 03-2020 5448 dan layari laman sesawang di www.menarakl.com.my